Baru-baru ini, saya berkesempatan berkongsi tentang penulisan fiksyen dan sedikit bab Teknik Surah Yusuf kepada para pelajar Malaysia di Dongyang Mirae University, Seoul.
Disebabkan masa terhad, saya berkongsi berdasarkan apa yang sering mereka hadapi apabila mahu berkarya.
Soalan saya, “Apakah halangan untuk menulis novel, yang bukan alasan?”
Berikut lima perkara yang mereka senaraikan:
- Klise
- Plot
- Watak
- Ayat
- Idea
Saya tersenyum menerima maklum balas mereka ini, kerana sesiapa sahaja yang baru berkecimpung dalam bidang ini pasti memberikan jawapan serupa.
Bagi mengatasi ketandusan idea, saya ada tuliskan dalam artikel ini. Saya tidak akan ulas lagi berkenaan itu.
Bermula daripada entri ini, saya akan kongsikan satu per satu kaedah merempuh empat halangan lain yang biasa dialami oleh penulis baru.
HALANGAN 1: KLISE
Antara dua darjat? Cinta tiga segi? Putus sudah kasih sayang?
Sejak zaman Habil dan Qabil, Laila Majnun, Romeo & Juliet, Penarek Becha, Engku Zaleha dan Ghazali, sehingga zaman ledakan drama Korea (K-Drama) sekarang, tema-tema ini masih wujud dan digunakan dalam kebanyakan karya. Malah tema beginilah yang menguasai carta karya agung daripada bangsa apapun di seluruh dunia.
Tidak menjadi isu apabila kita menggunakan tema yang biasa, kerana ia universal.
Saya beri contoh tema antara dua darjat.
Darjat tidak semestinya kaya vs miskin.
Lihat drama Descendants of the Sun, sejenis pertembungan darjat. Percintaan antara pegawai tentera yang prinsipnya membunuh demi melindungi, dengan doktor yang prinsipnya menyelamatkan nyawa juga untuk melindungi.
Cipta kelainan pada cerita kita dengan persoalan What If? (Bagaimana sekiranya…?)
Contoh.
Tema: Cinta tiga segi.
Klise: Lelaki A dan Lelaki B bersahabat baik dan sama-sama sukakan Si Gadis. Lelaki A bersikap dingin, tetapi Si Gadis sebenarnya suka kepada dia. Lelaki B lebih gentleman, tetapi hanya bertepuk sebelah tangan.
Anti Klise: WHAT IF.
What if, Lelaki A yang bersikap dingin sebenarnya menghidap Dissociative Identity Disorder.
What if, Lelaki B baru terbuka hati selepas 15 tahun dikecewakan, dan ibunya yang sudah tua amat berharap bermenantukan Si Gadis.
What if, Si Gadis suka kepada kedua-dua lelaki dan tidak dapat membuat pilihan.
Boleh bayangkan apa akan berlaku dalam kisah tiga manusia ini?
Izinkan otak berkreatif. Berikan What If kepada watak supaya plot menjadi komplikated dan tidak klise lagi.