Bagaimana Wartawan Bekerja?

Anda masih ingat filem Superman zaman Christopher Reeve?

Watak Clark Kent dan Lois Lane yang elegan bekerja di Daily Planet. Memakai kot sepanjang hari, hatta waktu sedang kerja di lapangan pun masih berdandan cara sama.

Suasana dalam pejabat yang sentiasa berlatar belakangkan bunyi mesin taip dipetik laju, kertas-kertas berterbangan dan suara jerit menjerit dalam pejabat.

Ini suasana tahun 1978, pada tahun filem pertama Superman dikeluarkan.

Tahun 2002, filem Spiderman diterbitkan, boleh dikatakan ini adalah filem Spiderman yang pertama diterbitkan secara ‘serius’ kerana ia kemudiannya diikuti dengan beberapa siri  filem superhero ini beberapa tahun selepasnya.

Jika Clark Kent jadi wartawan, Peter Parker pula menjadikan kerjaya jurufoto sebagai sumber pendapatan.

Senarionya tidak jauh berbeza. Pejabat Daily Bugle juga dilapik dengan bunyi papan kekunci moden untuk menghidupkan suasana. Cuma kebanyakan ‘scene’ dibuat di dalam pejabat Pak Editornya, J. Jonah Jameson.

Seakan satu imej skeptik dicampak kepada industri ini, Pak Jameson pun kuat menjerit juga.

Jika anda tanya adakah ini keadaan yang saya hadapi tiap hari di tempat kerja, saya jawab, tidak dan ya.

‘Tidak’ kerana dalam kebanyakan masa saya tidak berdepan dengan situasi ini.

‘Ya’ kerana ada masanya, kena juga.

~ ~ ~

Soalan yang saya nak timbulkan di sini bukan bagaimana suasana kerja di agensi berita/syarikat akhbar, tapi hendak ajak lihat, kenapa kerjaya ini dijadikan sebagai landasan menghidupkan watak?

Ya, betul apa yang anda fikir.

Kerjaya sebagai wartawan memudahkan pereka cerita untuk mengaitkan watak dengan situasi-situasi yang membolehkan beliau mendapat info segera tentang keadaan masyarakat.

Jadi bila ada situasi bahaya, senanglah dia nak masuk pondok telefon dan tukar baju. (Yang saya masih tak faham logiknya. Kalau ada orang beratur nak guna telefon, perempuan pula, nampak dia buka baju seluar, kan jadi satu hal lagi? Tak pasal-pasal timbul fitnah)

Peranan ini tak boleh dilakukan dengan kerjaya lain. Jika guna kerjaya polis, tentara atau bomba berpakaian seragam sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai.

Kalau peranan sebagai ahli muzik, ahli perniagaan, dan lain-lain, terpaksa guna gajet atau informer tambahan. Kacaulah penyamarannya.

Jadi kerjaya yang paling ‘pass’, bak kata rakan-rakan Indonesia saya, ialah jadi tukang liput.

Berpakaian biasa, tapi boleh menyelit ke sini sana.

Orang tak perasan, orang pun tak marah kalau banyak tanya. Kadang-kadang orang lebih suka luah perasaan kepada wartawan berbanding pihak berkuasa.

Inilah kelebihan yang dipegang para wartawan. Tapi jaga-jaga, ‘with great power, comes great responsibility’.

~ ~ ~

Apa tujuan kisah-kisah ini dibawa?

Hanya satu tujuan. Mahu membincangkan peranan KITA pada hari ini.

Penyebaran berita menjadi amat mudah, terlalu banyak landasan yang boleh diguna, tapi terlalu sikit pula method untuk mengawal penularan info yang tidak berwibawa.

Lihat sahaja waktu tragedi MH370 (pray for their safety ‘till end), aplikasi whatsapp menjadi landasan pertama menyebar berita yang entah apa-apa.

Kemudian ia merebak ke laman-laman sosial, lantas ia jadi berita hangat dunia.

Tanyalah diri anda kembali, berapa kali anda dapat mesej sama daripada orang-orang berlainan?

Kesahihan berita tidak diketahui, alih-alih nak selamatkan diri, letak disclaimer konon “copy paste dari grup sebelah”.

Jika anda ahli keluarga mangsa, adakah informasi dari pihak tak bertauliah ini membantu menenangkan suasana?

Bagaimana pula dengan situasi masyarakat? Perasan tak, situasi jadi huru-hara?

Salah menyalahkan, perang antara pahlawan papan kekunci bermula.

Pada yang nak ambil kesempatan, mulalah keluar teori itu ini, tampal gambar macam-macam semata-mata untuk tarik trafik ke portal masing-masing.

Di mana nilai kita?

~ ~ ~

Jika nak dibahas secara akademik, memang panjang nak diulas.

Tapi inilah usaha yang nak dimulakan bersama.

Kita semua ada kuasa yang besar di hujung jari. Jangan fikir besar-besar, satu mesej yang anda taip kepada insan paling rapat, hanya untuk tontonan bersama pun boleh beri impak besar kepadanya.

Kalau nak fikir cara penguatkuasaan, ketatkan hukuman, penjara semua orang yang beri idea, tulis, sebar berita yang tidak sahih, memang tak habis kerja.

Cara yang paling mudah, ialah mulakannya dengan diri kita sendiri.

Wartawan Awam adalah orang yang sanggup bersama dalam usaha ini. Usaha kecil bermula hari ini, harapnya akan diserap jadi budaya warga Malaysia dan dunia, sedikit-demi sedikit.

Seperti ulat memakan daun, usahanya kecil, perlahan-lahan tapi konsisten. Sedar sahaja, daun dah habis dimakan.

Wartawan Awam sanggup menerima semua info yang sampai kepadanya. Tapi selepas itu dia yang tapis jika ia layak untuk disebar ke dunia massa.

Wartawan Awam sanggup dianggap tidak cool kerana tidak share sesuatu info di dinding FB dan akaun Insta-nya, ‘until they are convinced on the validity of the news’.

Di sinilah datangnya prinsip ‘Lihat – Faham – Beritakan’.

Saya fikir, lihat sahaja pada tiga perkataan ini, anda boleh tangkap ertinya.

Tapi untuk kebaikan bersama, nanti saya kongsi tentang geng tiga serangkai ini dalam penulisan-penulisan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *