Wartawan Dalam Diri Kita

“Kak Lopez, semalam saya tengok Pak Jackson naik motor dengan bini baru… muda lagi, bergetah!” kata Mak Britney sambil memilih ikan di pasar tani.

“Isy, kau biar betul. Mana kau tahu itu bini muda dia? Tapi rapat tak perempuan tu peluk Pak Jack? Kalau rapat, sahlah bini baru itu,” jawab Kak Lopez.

“Nak kata rapat, tak sempat nak tengok lama-lama. Nampak pun sekali lalu sahaja. Tapi mesti rapat punya, naik motor takkan renggang-renggang,” balas Mak Britney. Matanya dijegilkan sedikit.

Tak sampai 4 jam, semua ahli Persatuan Bini Peringkat  Kampung Kayu Mulia sudah kecoh dengan ‘berita’ yang Pak Jackson ada isteri baharu.

Hakikatnya, tak siapa tahu sejauh mana benarnya ‘kisah’ Pak Jackson. Yang digembar-gemburkan.

~ ~ ~

Situasi ini biasa buat dalam kehidupan seharian kita. Tak kiralah di sini, Malaysia tercinta mahupun di Amerika, di Zimbabwe sekali pun, sama sahaja.

Manusia memang suka bercerita.

Cuma ramai yang tak sedar cerita apa yang dibawa, sejauh mana impak cerita yang dibawa kepada dirinya sendiri, masyarakat sekeliling, daerah tempat tinggalnya, budaya yang dijunjung – dan kepada DUNIA.

Oleh itu suka saya mulakan, dalam cerita kita, sebenarnya ada huruf ‘B’ yang sebenarnya menjadi pangkal kepada perkataan cerita.

Dalam ‘C’, ada ‘B’.

Setiap cerita yang dibawa, itu adalah berita.

Belum tentu benar, tapi sebaik sahaja si pemula cerita menyampai kepada sepasang telinga lain yang mendengar. Ia adalah berita.

~ ~ ~

Saya berpendapat, budaya menyampai berita ini amat baik. Ia perlu diteruskan. Malah ia seharusnya terus disuburkan.

Dengan cara inilah kita berkongsi ilmu kepada manusia. Inilah medan menyampai kisah generasi terdahulu kepada yang mendatang,

Cerita kita hari ini, adalah berita untuk mereka rujuk sebagai cop mohor imej generasi sebelum mereka untuk dibuat contoh tauladan atau sempadan.

Kerana itulah, cara memberita amat penting. Implikasinya maha hebat.

~ ~ ~

Dunia hari ini, hampir semua orang boleh menulis berita. Platformnya pelbagai. Yang berFacebook, Twitter, blog, Insta, macam-macam cara.

Caranya juga pelbagai. Menulis, suara, video semuanya amat mudah pada hari ini.

Mari kita gunakan semua medium ini sebaiknya.

Jadikan ia satu medan untuk kita menyampaikan apa juga yang kita mahu dunia tahu, tapi dengan cara yang bijaksana.

Biar bila orang baca cerita kita, orang terima ia sebagai berita. Orang tahu anda bukan pejuang papan kekunci yang tiada arah tuju, semua benda anda tahu, semua benda anda nak tembak.

Dahulu, mata pena lebih tajam daripada mata pedang. Sekarang, keyboard QWERTY lebih ganas daripada bom atom.

Atau setidak-tidaknya, papan kekunci inilah yang boleh letup beberapa biji bom atom.

Tiga kata prinsip yang saya pegang setiap masa ialah lihat, faham dan beritakan.

Jika tidak penuhi ketiga-tiga tapisan ini, susah saya nak lepaskan sesebuah cerita untuk diterbitkan.

Kita akan kupas perihal konsep tiga sekawan ini dalam entri-entri yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *