Cukupkah Menulis 20 Minit Sehari?

Berapa lama masa diambil untuk menulis buku dalam satu hari? Satu jam? Dua jam? 12 jam? Ataupun 25 jam?

Masa itu bergantung kepada jadual seharian kita. Adakah kita seorang penulis sepenuh masa ataupun kita turut menjalankan perniagaan?

Malah ada penulis merupakan pekerja pejabat bekerja bermula jam 8:00 pagi hingga 5:00 petang. Jadi pada waktu bila mereka menulis?

Baik, kita anggapkan mereka menulis pada waktu malam. Persoalannya berapa jam pula masa di ambil? Ada yang menjawab setiap hari mereka menulis selama 20 hingga 45 minit. Kurang daripada satu jam!

Ada rakan penulis kami yang memang prolifik menulis selama 20 minit sahaja sehari. Dia memberitahu minggu pertama dia bermula memang seakan tiada apa yang mampu ditulis. Masuk minggu seterusnya barulah dia boleh konsisten menulis 500 patah perkataan sehari!

Ya, dalam tempoh 20 minit!

“Cukupkah masa sebanyak itu?”

Sebenarnya dalam melaksanakan apa kerja dan tugasan sekalipun. Masa itu perkara yang penting.

Namun yang lebih utama adakah kita menggunakan sepenuhnya masa 45 minit itu untuk menulis? Ataupun hanya 10 minit saja menulis selebihnya mencari idea.

Atau lebih parah lagi masa lain dalam tempoh menulis itu digunakan untuk komen gambar yang baru muat naik di media sosial.

Sekiranya kita mahu konsisten menulis tiga hingga enam buah buku setahun, disiplin masa menulis ini perlu dijaga dengan sebaiknya sebagaimana kita menjaga rantai dan cincin emas yang ada dalam simpanan.

Ada juga yang tidak menetapkan masa, tetapi menetapkan jumlah bilangan patah perkataan.

Poin utama di sini, apabila kita mahu menulis, perlu letakkan objektif dengan jelas.

Baik, sekarang kita sudah jelas berkenaan masa menulis. Kita teruskan kepada topik selanjutnya, apa yang perlu dibuat sebelum mula menulis?

Seorang penulis profesional pernah berkongsi, sebelum novel mula ditulis terlebih dahulu mereka akan bincangkan jalan cerita keseluruhan novel. Mudahnya kita sebut sinopsis setiap bab.

Dengan sinopsis setiap bab, penulis tidak perlu lagi menggunakan masa menulis untuk berfikir mencari idea. Mereka hanya perlu menulis saja.

Seperti pengembara yang sudah ada peta perjalanan, mereka tidak perlu lagi mencari maklumat semasa mengembara hanya perlu teruskan melangkah hingga tiba ke destinasi.

“Bagaimana mahu menulis sinopsis setiap bab?”

Kita jumpa dalam artikel seterusnya.

3 Comments

  1. “Sekiranya kita mahu konsisten menulis tiga hingga enam buah buku setahun. Disiplin masa menulis ini perlu dijaga dengan sebaiknya sebagaimana kita menjaga rantai dan cincin emas yang ada dalam simpanan.”

    Komen: Ayat pertama itu tergantung. Sepatutnya jangan dinoktahkan ayat pertama itu, sebaliknya gunakan sahaja ‘koma’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *