3 Langkah Asas Menulis Berita

Saya kongsikan tiga cara mudah untuk mula menulis berita.

Tak kiralah sepanjang atau sependek mana berita yang nak ditulis, siapa pun yang ditemuramah sebagai subjek, ini asasnya.

Pertama: Rencah Wajib Masakan

Tiga perkara wajib untuk dikutip dari lokasi berlakunya perkara yang hendak diberitakan (selepas ini akan dirujuk sebagai ‘tempat kejadian’):

1. Fakta

Gunakan prinsip soalan-soalan 5W1H (what, where, who, when, why, how) untuk mendapatkan segala fakta tentang kejadian yang berlaku.

Kayu ukur tanda semua soalan di atas terjawab ialah, bila ada orang tanya anda tentang apa yang berlaku, anda boleh cerita kepadanya dengan tepat tanpa sebarang ragu-ragu atau syak wasangka.

“Macam mana dia boleh jatuh motor?” Soalan.

“Sebab sewaktu dia bawa laju tadi, tiba-tiba tayar pancit.”

Lebih cantik, jika ia dapat dijelaskan mengikut tertib kronologi peristiwa, satu demi satu.

Di sinilah perlunya prinsip ‘Lihat’ dan ‘Faham’ yang cuba disemai melalui blog ini.

Untuk faham tentang sesuatu, anda perlu ‘lihat’ peristiwa itu berlaku.

‘Lihat’ tidak sentiasa bermaksud secara literal, sepasang mata anda terjojol melihat peristiwa.

Dalam kejadian seperti kemalangan di jalanraya, kebarangkalian untuk proses lihat secara literal berlaku, amat tipis.

Jadi, ‘lihat’ juga boleh berlaku macam yang anda selalu lihat dalam drama penyiasatan CSI. Anda tiba di tempat kejadian, lihat hasil atau impak daripada peristiwa yang berlaku. Dari situ, anda dapatkan maklumat daripada saksi atau ‘officer-in-charge’ menceritakan kronologi peristiwa.

Itulah proses ‘lihat’ yang anda lakukan. Barulah datang proses ‘faham’.

2. Kata

Dapatkan kata-kata sebenar, dalam Bahasa Inggeris diistilah sebagai ‘quote’ daripada orang yang terlibat secara langsung dengan peristiwa yang berlaku.

Sumber yang layak biasanya pihak berkuasa yang menyelia peristiwa, jurucakap yang dilantik pihak penganjur acara, mangsa kejadian, atau saksi mata-kepala yang sanggup beri keterangan.

Cuba elakkan daripada guna saksi yang ‘kawan saya yang tengok tadi kata…’. Kalau saya sendiri pun, tak berani nak guna input daripada ‘saksi’ sebegini sebab jika tak kena gaya, kita yang ‘seksa’.

Sebagai wartawan, sekalipun kita pakar dalam sesuatu perkara tapi kita bukanlah orang yang ‘in-charge’ dalam peristiwa itu, pastikan topi ‘wartawan’ itu melekap atas kepala ketat-ketat.

3. Mata

Dapatkan gambar. Supaya pembaca dapat juga melihat kejadian yang mata anda berpeluang lihat.

Kedua: Mudahkan Pembaca

Untuk mengelak daripada mengulas terlalu panjang tentang ini, saya beri tiga tips:

1. Setiap ayat yang ditulis, panjangnya pastikan dapat dibaca dalam satu nafas percakapan orang biasa. (Bukan macam adik berbaju yang nyanyi a..b..c..fa..so..la..ti..do.. dalam iklan Maxis 1-0)

2. Perenggan pertama cerita secara ringkas tentang kejadian yang berlaku menjawab semua soalan WH.

Perenggan kedua masukkan ‘kata @ quote’ daripada sumber.

Perenggan ketiga dan seterusnya, ikut kreativiti anda sendiri.

3. Perkara paling penting di bahagian awal berita, perkara kurang penting di akhir berita. Perkara tak penting buang sahaja tak perlu masukkan dalam berita, buat semak otak pembaca.

Ketiga: Pastikan Neutral Dari Fahaman Peribadi

Saya boleh jadi penyokong tegar pasukan Harimau Malaya (Auuummmm!!!) tapi bila tulis berita tentang perlawanan mereka dengan Thailand, jangan sampai pembaca dapat kesan perkara itu.

Sesebuah berita seharusnya melaporkan tentang sesuatu kejadian. Bukan mengulas bagaimana ia sepatutnya berlaku atau menyatakan sokongan atau kutukan tehadap sesuatu perkara.

Kita memberita, cerita apa yang berlaku. Pembaca yang tentukan apakah perasaan mereka selepas membaca berita itu.

Sebab itu di sebahagian potal berita atau blog, dah mula ada butang respon perasaan tentang berita yang disiarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *