Reviu untuk pembaca, kritik untuk penulis
Profesor Abdullah pernah berpesan, reviu buku haruslah yang elok sahaja. Pada mulanya pesan ini terdengar terlalu lembut. Tetapi semakin difikirkan, semakin jelas dia sebenarnya membezakan dua kerja yang sering kita campur aduk hari ini. Reviu untuk pembaca, untuk menggalakkan pembacaan. Kritik untuk penulis, secara peribadi, bukan di hadapan umum.
Profesor Abdullah Hassan pernah berkata, “Reviu buku haruslah yang elok sahaja.”
Pada mulanya saya rasa pesan ini terlalu lembut. Bukankah pembaca patut tahu kalau sesebuah buku itu lemah?
Tetapi semakin lama saya fikir, semakin saya faham. Prof itu sebenarnya membezakan dua kerja yang selalu kita campur aduk.
Reviu adalah untuk pembaca. Tujuannya menggalakkan orang membaca buku itu. Pengulas adalah pencadang, bukan hakim. Kalau seseorang rasa buku itu tidak menyentuh hatinya, dia tidak perlu menulis reviu. Diam pun sudah cukup.
Kritik pula adalah untuk penulis. Tujuannya membantu penulis menjadi lebih baik. Kritik berlaku secara peribadi, antara penulis dengan penulis, atau antara penulis dengan editornya. Kritik bukan pertunjukan, ia perbualan tertutup.
Masalah dengan ekosistem reviu hari ini bukanlah reviu yang terlalu positif. Masalahnya adalah reviu yang dibeli, ditaja, atau didorong oleh komisen affiliate. Itu bukan reviu. Itu iklan yang berpakaian reviu.
Mungkin prof itu betul. Kalau kita ingin memberitahu penulis ada bahagian bukunya yang boleh diperbaiki, hubungilah dia secara peribadi.
Selebihnya, kalau buku itu menyentuh hati kita, ceritakanlah. Kalau tidak menyentuh, biarkan diam.