· 7 MINIT BACAAN · Dikemaskini

Cara Terbit Buku Sendiri: Langkah Asas untuk Penulis di Malaysia

Mahu terbit buku sendiri tetapi tidak tahu mula dari mana? Langkah asas pilih servis terbit buku, cari kilang pencetak, dan pasarkan kepada pembaca.

Cara Terbit Buku Sendiri: Langkah Asas untuk Penulis di Malaysia
// DAFTAR ISI (18)
  1. Mencari Servis Terbit Buku
  2. Mencari Kilang Pencetak
  3. Mempromosikan Buku Anda
  4. Kos Penerbitan Buku
  5. Siapkan manuskrip sebelum ke mana-mana
  6. ISBN dan pendaftaran rasmi
  7. Pilihan cetakan: digital vs offset
  8. Anggaran kos (rujukan kasar)
  9. Edaran dan jualan
  10. Strategi pemasaran asas
  11. Kesilapan biasa penulis self-publish
  12. Soalan lazim
  13. Berapa lama keseluruhan proses dari manuskrip siap ke buku di tangan pembaca?
  14. Boleh untung ke self-publish di Malaysia?
  15. Patut self-publish atau cuba penerbit dulu?
  16. Macam mana kalau buku pertama gagal?
  17. Boleh ke guna nama samaran?
  18. Kesimpulannya

Menjadi penulis dan terbit sendiri bukanlah satu perkara yang mudah. Terdapat banyak kerja dan proses yang terlibat dalam tulis dan terbit buku.

Walau bagaimanapun, terbit buku sendiri membolehkan penulis mempunyai kawalan penuh ke atas projek mereka.

Sebagai contoh, penulis boleh tetapkan desain cover dan layout buku itu ikut citarasa sendiri.

Berikut adalah beberapa langkah untuk membantu penulis untuk menerbitkan buku sendiri.

Mencari Servis Terbit Buku

Mencari penerbit buku mungkin kelihatan seperti satu-satunya cara untuk menerbitkan buku anda.

Namun, ada juga cara untuk menerbitkan buku sendiri.

Langkah pertama untuk menerbitkan buku anda sendiri adalah mencari servis terbit buku yang menyediakan servis suntingan (editing), desain cover, reka bentuk layout, dan juga percetakan.

Anda boleh mencari di internet atau meminta rujukan daripada penulis yang lain.

Pastikan anda memahami syarat-syarat dan kos yang terlibat sebelum membuat keputusan.

Salah satu penyedia servis ini adalah Kuras Buku.

Mencari Kilang Pencetak

Setelah anda menyelesaikan proses menulis, dah siap layout dan cover. ISBN juga sudah dapat, kini masanya untuk kita cetak buku tersebut.

Secara umumnya ada dua jenis cetakan iaitu cetakan digital dan cetakan offset.

Pilihan cetakan yang anda pilih akan bergantung pada bajet dan kuantiti buku yang anda ingin cetak.

Pastikan anda mempertimbangkan jenis kertas dan saiz buku semasa proses awal reka bentuk layout buku supaya mendapat kos yang sesuai dengan bajet.

Bagaimana Penulis Boleh Terbit Buku Sendiri?

Contoh buku yang baru siap cetak di kilang.

Mempromosikan Buku Anda

Langkah paling awal dalam terbit buku sendiri adalah mempromosikan buku kita.

Dan biasanya selepas buku siap dicetak, kita akan lebih giat dan fokus dalam mempromosikan buku tersebut.

Terdapat banyak cara untuk mempromosikan buku, termasuk media sosial, iklan secara online, dan acara buku.

Pastikan anda memilih platform pemasaran yang sesuai dengan buku anda dan anggaran pemasaran kita.

Mempromosikan buku bukanlah satu usaha yang mudah.

Teruskan usaha kita sehingga mendapat pulangan modal yang setimpal.

Kos Penerbitan Buku

Kos untuk menerbitkan buku sendiri bergantung pada beberapa faktor, termasuk jenis buku, pilihan cetakan dan bajet pemasaran.

Kos cetakan digital bergantung pada bilangan halaman dan jenis kertas yang digunakan.

Kos cetakan offset pula bergantung pada bilangan halaman, jenis kertas, dan kuantiti cetakan.

Adalah penting untuk mempertimbangkan kos pemasaran apabila membuat bajet untuk menerbitkan buku anda sendiri.

Siapkan manuskrip sebelum ke mana-mana

Sebelum cari servis terbit atau kilang pencetak, pastikan manuskrip benar-benar siap.

Maksud “siap” di sini bukan sekadar habis ditulis. Manuskrip yang siap diterbitkan adalah yang sudah melalui beberapa pusingan suntingan dan dibaca oleh orang lain.

Edit sendiri dahulu. Selepas siap draft pertama, biarkan dua minggu sebelum baca semula. Bila baca dengan mata segar, banyak kesilapan dan kelemahan struktur akan kelihatan.

Cari pembaca beta. Beri kepada 3-5 orang yang dipercayai untuk baca. Dengar maklum balas mereka. Yang berguna bukan komen “best” atau “bagus”, tetapi yang kata bahagian mana mereka kurang faham atau mula bosan.

Ambil editor profesional. Kalau bajet membenarkan, upah editor untuk suntingan struktur dan suntingan salinan. Editor yang baik akan kuatkan manuskrip dengan ketara.

Jangan terburu-buru ke fasa cetak. Buku yang tidak siap dan dicetak akan mengecewakan pembaca, dan pembaca yang kecewa tidak akan beli buku kita lagi.

ISBN dan pendaftaran rasmi

Sebelum cetak, dapatkan ISBN.

ISBN (International Standard Book Number) adalah nombor unik yang mengenali setiap buku. Tanpa ISBN, buku sukar diedar di toko buku rasmi dan tidak boleh didaftar dengan beberapa platform online.

Di Malaysia, ISBN dikeluarkan secara percuma oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Permohonan boleh dibuat melalui laman web PNM.

Selain ISBN, ada juga:

  • Deposit Buku Wajib. Penerbit perlu serahkan beberapa salinan buku kepada PNM dan beberapa perpustakaan lain selepas penerbitan. Ini wajib di sisi undang-undang.
  • Pendaftaran hak cipta. Hak cipta wujud secara automatik bila kita tulis sesuatu, tetapi pendaftaran rasmi memberi bukti yang lebih kuat sekiranya ada pertikaian.

Nota: Rujuk laman web PNM dan MyIPO untuk maklumat dan borang terkini, kerana prosedur kadang berubah.

Pilihan cetakan: digital vs offset

Dua pilihan utama cetakan buku:

Cetakan digital. Sesuai untuk kuantiti kecil (10 hingga 500 unit). Kos per unit lebih tinggi, tetapi tiada minimum yang besar. Sesuai untuk uji pasaran dahulu sebelum komit cetak banyak.

Cetakan offset. Sesuai untuk kuantiti besar (biasanya 500 unit ke atas). Kos per unit lebih rendah bila kuantiti besar, tetapi pelaburan awal tinggi. Kualiti cetakan biasanya lebih konsisten.

Print on Demand (POD). Buku dicetak satu-satu bila ada pesanan. Tiada stok yang perlu disimpan. Sesuai untuk penulis yang tak nak risiko stok tidak terjual. Kos per unit paling tinggi.

Pilihan cetakan bergantung kepada bajet, jangkaan jualan, dan tahap risiko yang sanggup ditanggung.

Anggaran kos (rujukan kasar)

Kos terbit buku sendiri di Malaysia berbeza-beza, tetapi sebagai rujukan kasar untuk buku novel 200-300 halaman:

  • Suntingan profesional: RM800 - RM3,000 bergantung kepada tahap suntingan
  • Reka bentuk kaver: RM300 - RM1,500
  • Layout buku: RM500 - RM1,500
  • Cetakan digital 100 unit: RM1,500 - RM3,000
  • Cetakan offset 1000 unit: RM4,000 - RM8,000
  • ISBN: percuma melalui PNM
  • Pemasaran awal: RM500 - RM3,000

Jumlah bagi cetakan kuantiti kecil biasanya RM5,000 hingga RM10,000. Jumlah bagi cetakan kuantiti besar (1000+) biasanya RM8,000 hingga RM15,000.

Nota: anggaran ini berdasarkan pengalaman umum industri dan akan berubah mengikut keadaan pasaran. Selalu dapatkan beberapa sebut harga sebelum komit.

Edaran dan jualan

Selepas buku siap cetak, persoalan seterusnya adalah cara nak jual.

Toko buku besar. Popular Bookstore, MPH, BookXcess, dan Times Bookstore kadang terima buku self-publish, tetapi syaratnya ketat. Mereka biasanya ambil margin yang tinggi (40-50%) dan ada kriteria penilaian dalaman.

Toko buku indie. Toko buku bebas seperti Tintabudi, Petakar, Buku Jalanan biasanya lebih terbuka kepada buku self-publish. Margin lebih rendah, tetapi pasaran lebih kecil.

Online direct. Jual terus melalui Shopee, Lazada, atau laman web sendiri. Margin tertinggi, tetapi kena uruskan penghantaran dan khidmat pelanggan sendiri.

Acara dan pameran buku. PBAKL (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur), KLIBF, dan pameran kecil di universiti atau perpustakaan. Sini boleh jumpa pembaca secara langsung.

Pilih saluran yang sesuai dengan jenis buku dan sasaran pembaca.

Strategi pemasaran asas

Cara terbaik untuk pasarkan buku self-publish adalah bina audien sebelum buku siap.

Mula awal. Kongsi proses penulisan di media sosial sejak draft pertama. Bila buku siap, audien sudah ada yang berminat.

Pembaca awal (ARC). Hantar salinan percuma kepada pembaca tertentu sebelum lancar rasmi, dengan harapan mereka beri ulasan jujur di media sosial atau Goodreads.

Pelancaran buku. Adakan acara pelancaran, sama ada fizikal atau dalam talian. Ini momentum awal yang penting.

Influencer atau book reviewer. Hantar salinan kepada blogger buku, BookTuber, atau Bookstagram Malaysia. Pastikan mereka memang minat genre kita, bukan asal hantar.

Iklan berbayar. Facebook Ads dan Google Ads boleh berkesan kalau target dengan betul. Mula dengan bajet kecil untuk uji apa yang berkesan.

Kesilapan biasa penulis self-publish

Beberapa kesilapan yang sering berlaku:

1. Skip suntingan profesional. Manuskrip yang tidak disunting profesional akan kelihatan amatur, walaupun ceritanya bagus.

2. Reka bentuk kaver amatur. Kaver yang lemah membunuh jualan walaupun kandungan buku bagus.

3. Cetak terlalu banyak pada cetakan pertama. Risiko stok tidak terjual sangat tinggi. Mula dengan kuantiti kecil, cetak ulang kalau perlu.

4. Tiada strategi pemasaran. Banyak penulis sangka selepas buku siap, jualan akan datang sendiri. Realiti, pemasaran ambil masa dan tenaga lebih banyak daripada menulis.

5. Harga terlalu rendah atau terlalu tinggi. Harga buku novel Malaysia biasanya antara RM20-RM45. Terlalu rendah, pembaca syak kualiti. Terlalu tinggi, susah laku.

6. Tiada platform untuk pembaca hubungi penulis. Sekurang-kurangnya akaun media sosial yang aktif. Pembaca yang suka buku kita akan cari penulis di internet.

Soalan lazim

Berapa lama keseluruhan proses dari manuskrip siap ke buku di tangan pembaca?

Biasanya 3-6 bulan, termasuk suntingan, reka bentuk, cetakan, dan pelancaran. Boleh lebih cepat kalau semua siap, tetapi terburu-buru selalunya kompromi kualiti.

Boleh untung ke self-publish di Malaysia?

Boleh, tetapi bukan jaminan. Banyak penulis self-publish hanya pulihkan modal selepas beberapa tahun. Yang untung besar biasanya yang dah ada audien sedia ada sebelum terbit, atau yang menerbitkan beberapa buku dalam siri yang sama.

Patut self-publish atau cuba penerbit dulu?

Kalau manuskrip pertama, cuba hantar kepada penerbit dulu. Tolakan oleh penerbit memberi maklum balas berguna tentang manuskrip. Kalau ditolak semua, atau kalau mahu kawalan penuh, baru pertimbang self-publish.

Macam mana kalau buku pertama gagal?

Biasa. Banyak penulis terkenal pernah ada buku yang tak laku. Yang penting adalah belajar dari pengalaman dan teruskan menulis. Buku kedua dan ketiga selalunya lebih baik kerana penulis dah faham apa yang berkesan.

Boleh ke guna nama samaran?

Boleh. Banyak penulis Malaysia menggunakan nama pena. Ini biasa terutama untuk genre yang sensitif atau yang tak nak campurkan kerjaya utama dengan identiti penulis.

Kesimpulannya

Menerbitkan buku sendiri membolehkan penulis untuk mengambil kawalan penuh ke atas karya mereka.

Walau bagaimanapun, proses menerbitkan buku sendiri memerlukan kerja keras dan modal yang tinggi.

Teruskan usaha anda dalam mempromosikan buku.

Semoga berjaya menerbitkan buku anda sendiri!