· 1 MINIT BACAAN

Setiap label ada cerita tentang apa yang hilang

Label adalah pengakuan bahawa kita sudah hilang kepercayaan fitrah antara satu sama lain. Dulu kita mempercayai petani di pasar tani, mempercayai tukang jahit di kampung, mempercayai penulis di rak buku tanpa perlu bukti bertulis.

Setiap label ada cerita tentang apa yang hilang

Dulu, telur ialah telur.

Sekarang ada telur kampung, telur organik, telur bebas hormon. Setiap label baru yang muncul menandakan satu perkara yang sama, iaitu telur biasa sudah berubah, dan kita memerlukan kata-kata baru untuk balik kepada apa yang pernah menjadi default tanpa perlu dijelaskan.

Buah-buahan ditanda dengan label tanpa pestisid. Pakaian datang dengan tag buatan tangan. Madu dipromosi sebagai asli. Lukisan ditampal sijil original. Setiap perkataan ini sebenarnya satu pengakuan bahawa versi palsunya sudah terlalu banyak di pasaran, dan versi asli pula terpaksa membayar lebih untuk membuktikan dirinya. Sekarang giliran penulis pula.

Ada cadangan untuk meletakkan label khas pada karya yang ditulis sepenuhnya oleh manusia, tanpa bantuan mesin. Bunyinya pelik pada mulanya. Kenapa kita memerlukan sijil untuk perkara yang dulu menjadi titik mula bagi setiap karya?

Tetapi ia mengikut pola yang sama. Bila yang mudah menjadi murah dan berlimpah, yang sukar pula perlu ditanda dengan jelas.

Label bukanlah jaminan kualiti. Label adalah pengakuan bahawa kita sudah hilang kepercayaan fitrah antara satu sama lain. Dulu kita mempercayai petani di pasar tani, mempercayai tukang jahit di kampung, mempercayai penulis di rak buku tanpa perlu bukti bertulis.

Sekarang kita mempercayai logo kecil di atas kotak dan ayat-ayat penjamin di balik bungkusan.

Kebanyakan label akan pudar dengan masa juga. Sebab bila majoriti pasaran sudah ikut acuan baru, asli akan kembali menjadi norma yang tidak perlu diumumkan, dan label itu sendiri kehilangan maknanya.

Yang patut kita perhatikan bukanlah label itu sendiri. Tetapi apa yang sudah hilang dalam pasaran, sehingga label itu diperlukan untuk membezakan.