· 3 MINIT BACAAN · Dikemaskini

Imprint dalam Penerbitan Buku: Maksud, Fungsi, dan Contoh di Malaysia

Imprint adalah jenama atau anak syarikat di bawah sebuah penerbit besar. Faham maksud, fungsi, dan kenapa satu syarikat boleh ada banyak imprint untuk genre berbeza.

Imprint dalam Penerbitan Buku: Maksud, Fungsi, dan Contoh di Malaysia
// DAFTAR ISI (11)
  1. Apa beza imprint dengan penerbit?
  2. Kenapa penerbit guna sistem imprint?
  3. ”Adakah imprint memainkan peranan dalam menentukan perbezaan spesifikasi buku?”
  4. Imprint dalam Bahasa Melayu
  5. Apa beza imprint dengan label?
  6. Bolehkah penulis pilih imprint untuk manuskrip mereka?
  7. Soalan lazim
  8. Adakah ISBN berbeza untuk setiap imprint?
  9. Boleh ke penulis indie ada imprint sendiri?
  10. Imprint vs anak syarikat penuh, apa beza?
  11. Macam mana saya tahu imprint yang aktif di Malaysia sekarang?

Imprint ini biasanya digunakan oleh syarikat penerbitan buku yang besar.

Tujuannya untuk memecahkan buku-buku yang diterbitkan mengikut anak syarikat atau kategori.

Supaya tidaklah pembeli bila sebut terbitan Karangkraf, asyik teringat novel sahaja.

Jadi syarikat seperti Karangkraf wujudkan beberapa imprint seperti Karya Bestari untuk buku agama, Buku Prima dan Alaf 21.

Syarikat PTS pula suatu ketika dahulu ada beberapa imprint seperti PTS Profesional, PTS Islamika, PTS Litera, dan beberapa lagi. Sekarang mereka gabungkan beberapa imprint kepada PTS Publishing House sahaja.

Apa beza imprint dengan penerbit?

Penerbit adalah syarikat induk yang memiliki hak ke atas penerbitan buku. Imprint pula adalah jenama atau sub-brand di bawah penerbit itu.

Anggap sahaja macam syarikat besar yang ada beberapa brand kereta. Toyota dan Lexus dimiliki syarikat yang sama, tetapi dijenamakan berasingan untuk pasaran berbeza.

Begitu juga dalam dunia buku. Satu syarikat penerbitan boleh ada lima atau enam imprint, setiap satu menyasarkan jenis pembaca yang berbeza.

Kenapa penerbit guna sistem imprint?

Beberapa sebab utama:

1. Sasaran genre yang jelas. Bila imprint khusus untuk buku kanak-kanak, pembaca tahu apa yang dijangka. Tak campur dengan thriller dewasa atau buku motivasi.

2. Lindung persepsi brand utama. Penerbit yang dikenali sebagai penerbit serius boleh eksperimen dengan genre ringan melalui imprint baru, tanpa mengganggu reputasi nama utama.

3. Akuisisi penerbit lain. Bila penerbit besar membeli penerbit kecil, mereka kadang kekalkan nama penerbit kecil itu sebagai imprint. Pembaca setia kepada nama lama tidak terjejas.

4. Strategi pemasaran berbeza. Setiap imprint boleh ada strategi pemasaran, harga, dan saluran edaran sendiri.

”Adakah imprint memainkan peranan dalam menentukan perbezaan spesifikasi buku?”

Ya dan tidak.

Ia bergantung kepada penerbit.

Ada penerbit yang memecahkan imprint kepada anak syarikat.

Jadi setiap anak syarikat bersifat indipenden atau bebas menentukan hala tuju buku masing-masing mengikut citarasa pembaca mereka.

Ada yang berbeza jenis kertas digunakan dan ada yang beza saiz buku.

Pembaca buku agama mungkin suka kertas simili, pembaca buku novel pula mungkin suka kertas jenis bulky.

Imprint dalam Bahasa Melayu

Istilah “imprint” tidak ada terjemahan tepat dalam Bahasa Melayu. Dalam industri, kebanyakan editor dan penerbit Malaysia kekal guna perkataan “imprint” itu sendiri.

Kalau perlu diterjemahkan, antara cadangan yang boleh digunakan ialah “jenama penerbitan” atau “sub-jenama”. Tetapi dalam konteks profesional, sebut “imprint” lebih difahami.

Apa beza imprint dengan label?

Dalam industri buku, “imprint” dan “label” sering digunakan secara bergantian. Bezanya halus, tetapi:

  • Imprint lebih kepada sub-jenama penerbitan dengan identiti editorial sendiri
  • Label lebih biasa digunakan dalam industri muzik, kurang dalam industri buku

Kalau dalam perbualan industri buku Malaysia, kedua-dua istilah membawa maksud yang hampir sama.

Bolehkah penulis pilih imprint untuk manuskrip mereka?

Ya, dan ini penting bila menghantar manuskrip kepada penerbit besar.

Sebelum hantar, kaji imprint mana di bawah penerbit itu yang paling sesuai dengan genre dan gaya tulisan kita. Hantar terus kepada imprint yang betul tunjuk kita serius dan faham industri.

Sebagai contoh, kalau manuskrip kita novel romantik dewasa, jangan hantar ke imprint yang khusus untuk buku motivasi atau buku kanak-kanak. Walaupun di bawah penerbit yang sama, editor untuk setiap imprint berbeza dan ada kriteria penilaian sendiri.

Soalan lazim

Adakah ISBN berbeza untuk setiap imprint?

Tidak semestinya. ISBN dikeluarkan untuk setiap buku, bukan setiap imprint. Tetapi penerbit besar biasanya dapat blok ISBN yang dibahagikan secara dalaman antara imprint mereka.

Boleh ke penulis indie ada imprint sendiri?

Boleh secara teknikal. Kalau penulis yang menerbit sendiri (self-publish) mahu jenamakan beberapa buku mereka di bawah satu identiti, mereka boleh wujudkan “imprint” sendiri. Tetapi ia hanya bermakna kalau dah ada beberapa buku yang konsisten dengan jenama itu.

Imprint vs anak syarikat penuh, apa beza?

Imprint biasanya tidak ada entiti perundangan berasingan. Ia sekadar jenama editorial di bawah syarikat induk. Anak syarikat penuh pula adalah syarikat berasingan dari segi undang-undang dan kewangan, walaupun dimiliki oleh syarikat induk yang sama.

Macam mana saya tahu imprint yang aktif di Malaysia sekarang?

Layari laman web rasmi penerbit dan tengok bahagian “Our Imprints” atau “Brands”. Beberapa imprint yang disebutkan dalam artikel ini mungkin sudah digabungkan atau dimansuhkan, jadi sentiasa rujuk maklumat terkini dari penerbit.

// TOPIK