(Sambungan daripada artikel pertama, Merempuh Halangan Menulis Fiksyen (1) – Klise.)

HALANGAN 2: PLOT

Perkara kedua yang biasa disebut-sebut menjadi halangan memulakan penulisan ialah penciptaan plot.

Kaedah What If seperti dalam artikel pertama, boleh juga membantu mencipta plot. Walau bagaimanapun, bagi sebuah plot yang baik, perlu ada ciri-ciri berikut:

1. Visi Watak Utama

Semua yang bermula mesti ditamatkan. Begitu juga dengan cerita yang ditulis.

Berikan visi atau matlamat yang mahu dicapai oleh watak utama, supaya plot kita ada hala tuju.

Bagi mencapai matlamat utama, konflik utama perlu diselesaikan.

Apabila ada matlamat dan konflik, maka misi untuk mencapainya menjadi sebuah jalan cerita.

Saya beri contoh, seorang mahasiswa yang kelaparan namun tiada wang untuk membeli makanan.

Watak utama: Mahasiswa.

Visi utama: Mengisi perut yang lapar.

Konflik utama: Tiada wang.

Misi: Bekerja separuh masa bagi mendapatkan wang.

Jadi, kisah ini dimulakan dengan konflik ketiadaan wang untuk membeli makanan, dan ditamatkan dengan kejayaan mendapat wang untuk membeli makanan dan mengisi perut yang lapar.

2. Sebab & Akibat

Plot ialah jujukan siri sebab dan akibat yang membentuk jalan cerita.

Wujudkan rantaian sebab dan akibat dalam perjalanan watak utama mahu mencapai matlamat utama.

Contoh dalam kisah Nabi Yusuf:

  • SEBAB Yusuf dibenci oleh abang-abangnya, AKIBATNYA dia dibuang ke dalam perigi buta.
  • SEBAB Yusuf dibuang ke dalam perigi buta, AKIBATNYA dia ditemui oleh pedagang.
  • SEBAB Yusuf ditemui oleh pedagang, AKIBATNYA dia dijual di pasar sebagai hamba.
  • SEBAB Yusuf dijual sebagai hamba, AKIBATNYA Al-Aziz membeli dan membawa ke rumah.
  • SEBAB Al-Aziz membawa Yusuf ke rumah, AKIBATNYA Zulaikha jatuh cinta.

Dan seterusnya sehingga tamat cerita.

SEBAB adalah kejadian-kejadian yang tidak disangka berlaku sepanjang misi watak utama, sama ada malang ataupun bertuah, yang menggerakkan plot.

3. Sub-Plot

Sub-plot ialah cerita di dalam cerita.

Wujudkan sub-plot sebagai penambah perisa dan pengembangan watak yang membantu cerita.

Contoh filem Seniman Bujang Lapok:

Plot: Tiga bujang lapok bermatlamat menjadi pelakon di Studio Jalan Ampas.

Sub-plot: Kisah cinta tiga segi antara Ramlee – Cik Salmah – Shariff Dol.

Nantikan artikel ketiga dalam siri ini, halangan membina watak.