Bagi mereka yang biasa dengan dunia internet marketing pasti kenal dengan trend ini. Trend di mana sebuah buku dijual dalam format PDF. Dijual melalui website dan juga social media yang lain.
Produk yang dijual oleh pemain industri internet marketing adalah dipanggil ‘Info-product’. Format ebook pdf adalah salah satu daripada banyak format produk tersebut. Ia boleh jadi video, audio dan juga buku bercetak juga.
Secara spesifiknya, format pdf adalah salah satu format dokumen digital yang meluas digunakan sebagai dokumen ‘boleh-baca-sahaja’. Maksudnya, ia bukan dokumen seperti Microsoft Word yang boleh kita edit.
Maka ia selari dengan keperluannya sebagai medium pertukaran maklumat.
Cara untuk hasilkan format tersebut amat mudah. Daripada sofwer microsoft word, klik pada menu File > Save As dan tukar format pilihan kepada ‘pdf’. Siap!
Persoalan paling besar bagi penulis, khususnya yang tidak biasa dengan internet marketing adalah: Boleh Jualkah eBook PDF tersebut?
Jawapannya ringkas sahaja: YA, ia boleh terjual dengan laku sekali!
Namun, ia akan terjual bukan kerana format itu semata-mata, dan bukan kerana isi ebook pdf kita itu semata-mata. Kita memerlukan satu ekosistem untuk membantu jualan ebook pdf kita. Antara komponen dalam ekosistem tersebut adalah:
– Salespage
– Sistem emel
– Sistem trafik (blog, social media, google seo dan lain-lain)
Dengan menyusun semua komponen tersebut yang digabung-jalinkan dengan elok menggunakan teknik surat jualan (copywriting), disertakan dengan tawaran yang berbaloi dan bernilai tinggi, maka barulah kita akan mampu menjual produk ebook pdf kita tadi.
Lihat sahaja Clickbank.com, ia satu pusat repositori produk-produk ebook pdf untuk dijual yang terkenal. Boleh juga lihat Klikjer.com, pemain tempatan yang fokus pada menjual ebook pdf penulis.
Jualan ebook pdf juga tidak kurang hebatnya. Pernah dilaporkan satu produk ebook dengan nilai utiliti yang tinggi terjual sehingga berpuluh ribu unit pada harga ratusan RM setiap unit.
Sekali lagi: kita BOLEH jual ebook pdf jika kena dengan nilai maklumat yang kita tawarkan tadi. Ia memerlukan kemahiran menjual, selain daripada kemahiran menulis isi buku tersebut.
Antara ketakutan kita sebagai penulis adalah persepsi pembaca yang songsang ataupun merendah apabila kita menjual ebook format pdf.
Hakikatnya, persepsi negatif pembaca bukan ditentukan oleh format buku tersebut, tetapi ditentukan oleh harapan yang tidak tertunai. Apabila produk dijual dengan penuh hype dan pembohongan, pastilah persepsi pembeli akan menjadi negatif kerana ia tidak mencapai expectation mereka.
Juallah format apa pun, hatta format buku bercetak berbelas-belas jilid, jika ia tidak memenuhi harapan pembaca maka ia tetap dipandang negatif.
Maka kita sebagai penulis perlu bersungguh-sungguh hasilkan pengisian yang betul-betul bernilai tinggi kepada pembeli. Maka selepas itu tidak kira kita jual dalam bentuk format pdf ataupun format yang lain, ia pasti memberi nilai yang tidak kurang daripada expectation pembaca tadi.
Oleh kerana nilai ebook pdf bergantung sepenuhnya pada persepsi pembaca ke atas nilai pengisian ebook tersebut, maka kita harus tahu juga pengisian jenis bagaimanakah yang biasanya bernilai tinggi dalam bentuk ebook pdf.
Ada 1 bentuk pengisian sahaja yang biasanya bernilai tinggi dan berbaloi dalam bentuk PDF iaitu: Bukan Fiksyen (non fiction).
Hampir kesemua ebook pdf adalah karya bukan fiksyen yang khusus kepada maklumat yang membantu pembeli meningkatkan taraf hidup mereka. Sangat jarang terlihat karya fiksyen dijual dengan laku dalam bentuk ebook PDF.
Jadi, jika kita mahu menjual dalam bentuk ebook PDF, maka kita perlu hasilkan pengisian yang bersifat non fiksyen khusus untuk meningkatkan taraf hidup pembeli. Antara pengisian yang biasa adalah laporan, kajian kes, modul latihan, langkah-demi-langkah dan juga templat.
Setelah siap ditulis semua pengisian tadi dan disimpan dalam bentuk pdf, kita boleh menjualnya dengan menghasilkan salespage khusus yang mengandungi ayat-ayat jualan produk tersebut. Pembeli kemudiannya boleh klik ke orderpage untuk membuat bayaran. Setelah bayaran disahkan, kita boleh emel secara manual sahaja kepada pembeli tadi.
Contoh sistem salespage-orderpage yang boleh kita jadikan contoh adalah notabisnes.net. Ia adalah koleksi ebook yang ditulis bagi membantu usahawan tempatan memulakan dan meningkatkan bisnes mereka. Ia adalah sistem yang dibuat sendiri dan memerlukan kemahiran programming (atau perlu bayar programmer sejumlah besar wang).
Platform onpay.my ada menyediakan sistem salespage dan orderpage yang memudahkan penulis. Kita tidak perlu bangunakn sistem tersebut tetapi cukup sekadar dengan mengubah apa yang patut. Jadi, separuh kerja sudah disiapkan oleh mereka!
Atau kita boleh gunakan platform klikjer.com untuk membantu kita. Mereka bergerak sebagai penerbit eksklusif bentuk digital, maka kita perlu hubungi dan berurusan sama seperti kita berurusan dengan penerbit lain. Cumanya mungkin lebih mudah budi-bicaranya.
Ebook PDF mungkin kelihatan terhad pasarannya. Namun, pasaran yang terhad tersebut berjumlah jutaan ringgit sekarang. Malahan, pembeli ebook pdf sudah mula meluas sekarang hingga kategori pesara pencen, pelajar universiti dan juga usahawan ada dan semakin selesa membeli produk pdf.