Apabila kita menulis dengan niat untuk diterbitkan menjadi buku yang dijual, kita harus sedar bahawa ianya sudah jadi satu transaksi bisnes.
Buku yang kita tulis itu tadi bukan sahaja menjadi satu karya seni kita, tetapi juga menjadi satu produk yang didagangkan antara kita, penerbit dan pembeli.
Kenapa Terbit Buku Sendiri
Oleh kerana buku tersebut, kita menjadi titik yang menyambungkan antara seni kita dan bisnes penerbit. Maka kerap timbul konflik antara kedua-duanya. Antara penulis yang mahu ekspresi seni mereka kekal asli dan tidak terusik dek ketamakan penerbit yang mahu buat duit.
Kita tidak mungkin dapat menghalang penerbit daripada turut sama campur tangan dalam penghasilan buku kita. Tidak mungkin sama sekali. Ini kerana penerbit menanggung risiko yang lebih besar berbanding penulis.
Risiko Modal
Penerbit mengeluarkan modal wang ringgit dalam bentuk modal untuk mencetak dan juga modal usaha dalam bentuk pasukan editorial yang berpengalaman menghasilkan buku khusus untuk khalayak penerbit tadi.
Berbanding penulis, yang mengeluarkan wang ringgit dalam bentuk modal idea yang diterjemahkan dalam bentuk buku yang kita beli dan juga mengeluarkan modal usaha kita menghadam, menapis, menjalin dan menulis pelbagai idea dan inspirasi tadi menjadi satu bentuk yang konkrit: manuskrip kita.
Di sinilah letaknya kunci untuk meleraikan konflik penulis-penerbit itu tadi. Hasil karya penulis yang sebenar-benar asli bukanlah buku yang diterbitkan, tetapi manuskrip yang kita hantar kepada penerbit itu tadi.
Buku yang dihasilkan oleh penerbit daripada manuskrip itu adalah hasil kerja penerbit, bukan penulis. Ini kita ambil secara umum. Ada kes yang mana buku juga ada hasil kerja penulis. Itu lebih kepada pengecualian.
Yang penting adalah perbezaan yang jelas antara penulis dan penerbit. Penulis hasilkan manuskrip, penerbit hasilkan buku.
Manuskrip penulis adalah hasil karya seni. Kemahiran yang yang diperlukan adalah kemahiran seni.
Buku yang penerbit hasilkan adalah barang dagangan. Kemahiran yang diperlukan adalah kemahiran bisnes digabungkan dengan kemahiran seni.
Berfikir Seperti Penerbit
Apabila penulis juga bertindak sebagai penerbit, buku yang dihasilkan jatuh bawah kategori self-publish atau terbit-sendiri. Apabila terbit sendiri inilah kita perlu sedar bahawa diri kita turut sama perlu berfikir sebagai orang bisnes untuk jual buku kita tadi.
Penulis yang terbit sendiri perlu fikir tentang menjual buku mereka sendiri juga. Bukan semata-mata sunting dan cetak buku.
Buku yang dicetak tetapi tidak dibeli pembaca bukan sahaja satu kerugian, tetapi juga satu bentuk kebodohan yang nyata.
Penulis adalah orang yang bijak. Bertindaklah seperti orang yang bijak juga.