Rahsia Penting Dunia Penterjemahan

Ingat lagi kisah mengenai kerjaya penterjemah yang buat tugasan secara senyap-senyap sehingga menimbulkan pelbagai salah sangka? Penterjemah, kerjaya dalam rahsia.

Namun, semua itu akan berubah.

Bagaimana?

Sedikit demi sedikit, rahsia dunia penterjemahan akan dibongkarkan!

Punyalah misteri dunia penterjemahan ini sehingga ia terpaksa dibuka lapisan demi lapisan.

Bercerita Tentang Penterjemahan

Betul, kita tidak boleh bercerita mengenai dokumen sulit yang diterjemahkan. Tetapi, kita boleh ceritakan serba sedikit secara umum tentang jenis dokumen yang biasa diterjemah. Tip and teknik penterjemahan yang betul dan biasa diamalkan juga boleh dikongsikan.

Ada perkara lain mengenai bahan terjemahan yang boleh diceritakan tanpa risau melanggar kontrak kerahsiaan dokumen, iaitu penterjemahan buku! Semakin ramai penerbit menyedari potensi pasaran buku antarabangsa yang diterbitkan dalam bahasa melayu.

Banyak buku berbahasa inggeris di luar sana perlu diterjemahkan supaya lebih ramai anak bangsa mendapat akses maklumat langsung dalam bahasa kebangsaan. Tidaklah lagi mereka mengagau mencari bahan dan maklumat berharga yang belum tentu ada dalam bahasa yang digunakan sepanjang hayat.

Perihal ini boleh diceritakan, kerana semua buku terjemahan itu adalah untuk bacaan umum. Yay! Tidak perlu berahsia lagi.

Ketahui dan Fahami

Kerja sebagai penterjemah ini sama sahaja seperti kerjaya lain di luar sana. Apabila kita baru bermula, langkah kita perlahan, setapak demi setapak.

Kita perlu memahami dunia kerjaya yang baru diceburi, perlu tahu selok belok pasaran, perlu tahu cara untuk mendapatkan kerja, perlu tahu cara menambah pengetahuan dan kemahiran, dan perlu belajar cara untuk memasarkan khidmat penterjemahan yang kita tawarkan.

Kita perlu bermula dari bawah. Bermula dengan kosong, kita mengorak langkah, mencari pelbagai maklumat, mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran, bagi memberikan hasil terjemahan yang bagus dan mudah difahami oleh pembaca. Insya-Allah apabila kita memberikan hasil terjemahan yang berkualiti, pintu rezeki akan terbuka lebih luas.

Tidak ada masa hadapan?

Tidak ada hala tuju?

Tidak boleh buat duit?

Siapa cakap?

Jangan pandang sebelah mata.

Rezeki itu ada di mana-mana. Insya-Allah! 

Mula Berkongsi

Ramai penterjemah lebih suka terus bekerja dalam rahsia. Ada yang berpendapat tidak banyak yang boleh dikongsikan mengenai dunia penterjemahan.  Ada yang memang tidak ada masa mahu berkongsi. Ada juga yang memang tidak mahu buka mulut langsung. Mereka semua pasti ada sebab musabab tersendiri.

Dalam era teknologi serba canggih, ilmu pengetahuan mudah dicari, semuanya ada di hujung jari sahaja. Begitu mudah untuk berkongsi ilmu pengetahuan, maklumat dan juga pengalaman yang kita ada. Apa yang penting adalah kemahuan untuk berkongsi.

Pernah dengar ungkapan tentang ajar si nelayan menangkap ikan untuk makan berkali-kali?

Ini versi saya:

Jangan berikan tugasan kepada penterjemah, dia akan buat sekali sahaja. Ajar tip dan teknik penterjemahan yang betul, supaya dia dapat menterjemah berkali-kali.

3 Comments

  1. Salam Puan,

    Saya amat bersetuju dengan pendapat Puan. Saya adalah penterjemah yang baru bermula tetapi saya tidak tahu di mana harus saya bermula, cara mendapatkan tugasan dan lain-lain.

  2. As salam..
    Bismillah…
    Saya sangat berminat menerokai bidang terjemahan…namun,bagaimana melakukannya tanpa meninggalkan kerjaya perguruan yg saya cintai ini…saya sangat mengkagumi bahasa arab dan mandarin..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *