Penterjemah Kerjaya Penuh Rahsia

Ingat lagi tak, soalan popular yang sering ditanya oleh cikgu masa sekolah dahulu.

Soalan apa itu?

Soalan ini…

Apa cita-cita kamu apabila besar nanti?

Jawapan paling popular adalah mahu jadi cikgu, doktor, askar dan polis.

Walaupun saya tidak ingat apa jawapan saya kepada soalan cikgu itu, namun saya yakin  penterjemah bukan jawapannya. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi penterjemah.

Mungkin pada ketika itu, perkataan ‘penterjemah’ itu sendiri tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan saya. Makna penterjemah pun mungkin saya tidak tahu. Apatah lagi mahu menyimpan cita-cita menjadi seorang penterjemah apabila besar nanti.

Mengapa kerjaya sebagai penterjemah ini tidak menjadi pilihan popular?

Kerja Dalam Senyap

Kebanyakan penterjemah bekerja dalam senyap. Ini kerana kerja mereka melibatkan pelbagai jenis dokumen termasuk dokumen sulit syarikat yang perlu dipelihara kerahsiaannya.

Demi menjaga kerahsiaan itu, si penterjemah tidak boleh bercerita kepada sesiapapun tentang tugasan yang sedang dilakukan.

Tambahan pula, dia sebenarnya terpaksa mematuhi kontrak tugas yang sudah ditandatangani bersama klien. Jadi tidak ramai yang tahu, ada pilihan kerjaya sebagai penterjemah.

Siapa sangka kerja penterjemah ini umpama bekerja sebagai agen perisikan. Penuh kerahsiaan.

Tidak Berduit?

Tidak ramai yang melihat kerjaya penterjemah ini sebagai kerjaya yang boleh buat duit.

Menjadi penterjemah bebas yang tiada jaminan manfaat insurans kesihatan, EPF, bonus, cuti tahunan, anugerah cemerlang, majlis rasmi syarikat dan pelbagai manfaat lain yang diterima oleh pekerja di syarikat-syarikat besar, sememangnya sesuatu yang mencabar!

Kita sendiri perlu merancang sendiri semua itu dan mempunyai disiplin pengurusan kewangan yang kuat. Bak kata orang tua-tua, kerja ini tidak masa depan!

Tiada Perkongsian

Ia tidak popular kerana kita semua tidak berbicara mengenainya!

Banyak salah faham sering muncul apabila kita tidak tahu mengenai sesuatu perkara. Benda yang sama sedang berlaku kepada dunia penterjemahan.

Antara sebab utama, tidak ramai penterjemah mahu berbicara mengenai dunia mereka secara terbuka kerana mereka lebih suka bekerja dalam senyap. Tidak terlalu kecoh bercerita mengenai apa yang mereka lakukan.

Ramai penterjemah ini pendiam orangnya.

Lagipun, apa sahaja yang boleh diceritakan?

Bayangkan situasi ini…

“Saya sedang menterjemah dokumen daripada bahasa inggeris kepada bahasa melayu. Maaf tidak boleh cerita lebih daripada itu kerana dokumen ini RAHSIA…”

Tentu orang yang mendengar juga stres.

Namun, semua ini akan berubah!

Bagaimana?

Nanti saya kongsikan dalam artikel seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *