(Sambungan daripada artikel Merempuh Halangan Menulis Fiksyen (2) – Plot.)
Mencipta watak adalah salah satu daripada cabaran penulis.
Kita melihat terlalu banyak watak klise seperti lelaki tampan, kaya, dan dingin, dan pasangannya pula perempuan comel, tidak kaya, dan kelam kabut.
Akibatnya, plot jadi lebih kurang sama dan mudah dijangka.
Menurut guru-guru penulisan skrip drama saya, Tuan Shahrulezad Mohammedin dan Tuan Zabidi Mohamed, sebuah kisah yang menarik adalah bersifat character-driven iaitu plot digerakkan oleh karakter watak.
Bagi mencipta karakter watak, kita sediakan terlebih dahulu empat perkara berikut:
- Latar kehidupan
- Ciri fizikal
- Personaliti
- Identiti
Contoh: Karakter Nabi Yusuf
- Latar kehidupan: Mangsa buli abang-abang sendiri
- Ciri fizikal: Tampan
- Personaliti: Berakhlak mulia, tegas, beriman
- Identiti: Berkebolehan mentafsir mimpi
Contoh: Karakter isteri al-Aziz (Zulaikha)
- Latar kehidupan: Perempuan elit, isteri pembesar negara
- Ciri fizikal: Jelita
- Personaliti: Sangat berani
- Identiti: Mempunyai kuasa politik di sebalik jawatan suaminya
Dalam Surah Yusuf, dapat kita baca bagaimana karakter Yusuf dan karakter Zulaikha mencetuskan sebab dan akibat yang tidak dijangka.
Antaranya seperti,
- Zulaikha menggoda Yusuf kerana ketampanannya.
- Yusuf dipenjara atas sebab kegagalan Zulaikha menggodanya.
- Yusuf dibebaskan dari penjara disebabkan kebolehan mentafsir mimpi.
Reka biodata watak supaya kita lebih mengenali karakternya. Biodata watak tidak semestinya ditunjukkan kepada pembaca, sebaliknya menjadi rujukan kita sendiri sepanjang penulisan supaya tidak tersasar.
Lebih unik karakter watak itu, lebih banyak sebab dan akibat menarik yang boleh kita wujudkan dalam karya.