Menulis Kerana Memberi

Ada masa yang kita perlu peruntukkan untuk berfikir hal-hal mendasar. Meneropong jauh ke dalam hati tentang perkara yang kita lakukan setiap hari agar kita tidak tersasar daripada destinasi yang telah kita tentukan sebelum ini.

Antara perkara yang kita lakukan setiap hari adalah menulis.

Menulis di facebook, komen youtube, sms rakan dan menyebarkan berita di whatsapp. Kesemua ini adalah penulisan. Maka kita boleh kata kebanyakan daripada kita ini penulis.

Maka salah satu hal mendasar tentang menulis adalah ‘mengapakah kita menulis’?

Ada yang menulis kerana ‘perlu berkata sesuatu’.

Ada yang menulis kerana ‘ada sesuatu yang perlu dikatakan’.

Ada yang menulis kerana ia jalan mencari sesuap nasi.

Ada yang menulis kerana mahu jadi terkenal.

Ada yang menulis kerana mengejar pahala dari tuhan.

Kita boleh berkata macam-macam kepada sebab-sebab penulis menulis. ‘Jangan menulis kerana wang ringgit’, ‘Aku menulis bukan kerana nama’ dan lain-lain.

Namun hakikat yang kita tidak boleh lepaskan adalah menulis itu sifatnya memberi.

Kita memberi dunia fantasi melalui cerita kepada pembaca cerpen.

Kita memberi jalan penyelesaian kepada masalah pembaca artikel how-to.

Kita memberi rasa tenang kepada pembaca artikel agama.

Maka adalah lebih elok jika kita menulis dengan hati yang terbuka, kerana sifat ‘memberi’ itu turut hadir dengan pelbagai reaksi penerima. Ada yang suka, ada yang benci. Ada yang menolak pemberian dengan kasar.

Hati orang yang memberi perlu besar dan elok semasa berhadapan dengan reaksi pembaca penulisan kita.

Kerana tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *