Menerbitkan buku melalui penerbit atau pun secara swaterbit?

“Mana akan terjual buku lebih banyak?

Menerbitkan buku melalui penerbit atau pun secara swaterbit?”

Pertama, soalan ini akan membuat kita delusi (dan orang boleh ambil kesempatan juga) kerana kedua-dua penerbit mahupun yang menawarkan perkhidmatan swaterbit ada agenda.

Penulis mesti memilih bukan disebabkan agenda orang lain, tetapi berdasarkan agenda tersendiri.

Kemudian lihat ciri-ciri cara kerja rumah penerbit dan perkhidmatan swaterbit sama ada dapat memenuhi agenda saudara.

Penawaran penerbitan

Perkhidmatan swaterbit tidak ada masalah menerima manuskrip saudara diterima pada bila-bila masa. Duit adalah masa dalam bisnes ini. Ada duit, kerja segera berjalan.

Penerbit mempunyai jadual penerbitan melibatkan buku-buku lain, ada borang PNL yang perlu diisi bagi menilai untung rugi apabila menerbitkan buku saudara. Mereka juga ada tempoh bertenang untuk menilai manuskrip yang diterima masuk.

Sekiranya saudara mempunyai kesabaran masa dua sehingga enam bulan, pilihlah penerbit. Jika tidak ada, perkhidmatan swaterbit.

Kuasa ke atas buku

Siapa yang memegang duit, maka dia berkuasa.

Perkhidmatan swaterbit bekerja menguruskan buku berdasarkan kewangan saudara.

Aspek kualiti kertas, jenis cetakan, jumlah dicetak, gred kualiti editor yang menyunting dan segala macam proses bergantung kepada harga pakej yang ditawarkan.

Saudara berkuasa kerana berduit.

Mainkan peranan untuk ambil tahu nama editor yang akan menyunting karya tersebut. Siapa pereka sampul buku, siapa pencetak.

Kenapa perlu ambil tahu?

Supaya saudara boleh semak sendiri hasil kerja mereka dalam komuniti, meminta sampel kerja dan menentukan hasil akhir.

Jangan serah kepala begitu sahaja. Saudara berkuasa kerana berduit.

Urus risiko duit yang diberikan.

Jika melalui penerbit, tidak banyak perkara saudara dapat usik melainkan saudara menunjukkan sisi ada pengetahuan mengenai penghasilan buku seperti itu.

Misalnya ketika sampul buku ditunjukkan oleh penerbit, saudara pula tak berpuas hati. Mohon dapatkan justifikasi rekaan.

Jika penerbit samar-samar, keluarkan beberapa sampul buku yang saudara lihat di Amazon mewakili tema seumpamanya untuk dipertimbangkan.

Kuasa semakan karya pula diberi melalui proses pembacaan pruf selepas naskhah siap dimurnikan.

Pada waktu itu, saudara berkuasa ke atas karya melalui pembetulan teks sebelum dihantar ke pencetak.

Penerbit berkuasa ke atas buku saudara kerana mereka yang berduit.

Maka urusan berkaitan penghasilan naskhah fizikal ditentukan oleh penerbit tanpa perlu merujuk kepada penulis.

Memasuki rangkaian kedai buku

Sehingga sekarang, maklumat yang konsisten diterima adalah diskaun pengedar yang ditetapkan ke atas buku swaterbit berbanding penerbit jauh lebih tinggi.

Situasi ini berlaku kerana penerbit mempunyai senarai buku lain yang mengikat proses tawar menawar dengan rangkaian kedai buku.

Inilah pistol bagi menurunkan atau menetapkan diskaun pengedar pada satu nombor.

Buku swaterbit memerlukan pistol yang lain. Iaitu angka jualan yang baik di luar rangkaian kedai buku sebagai kuasa negosisasi.

Jualan berlaku buku dalam tangan sendiri, kedai-kedai buku online, agen dan dropship. Semua angka ini adalah pistol masuk ke kedai buku.

Negosiasi dengan kedai buku termasuklah kemampuan jumlah minima buku yang dapat dihantar ke rangkaian kedai buku. Mencetak adalah kos pada penulis.

Jika tidak bernegosiasi, penulis menanggung lebih banyak kos termasuk kos menunggu.

Kedai buku tidak membeli buku secara tunai, mereka bekerja secara consignment. Mereka akan ambil dahulu, jual, mana yang terjual akan dibayar. Mana yang tidak terjual akan dipulangkan pada satu tempoh.

Saudara boleh menunggu beberapa bulan untuk mendapatkan hasil jualan.

Logo penerbit dan persepsi pasaran

Logo penerbit membawa persepsi kualiti karya.

Bagi sesetengah tempat, logo ini adalah lesen memasuki sesetengah institusi, pertimbangan pemarkahan prestasi dan memotong separuh kerja teruk untuk mencapai sesuatu.

Pemilihan penerbit berdasarkan logo bergantung kepada apakah game-plan penulis.

Penulis swaterbit memerlukan penjenamaan diri sebagai kualiti karya. Bagaimana pembawaan di media sosial, pembangunan hasil buku akhir mendukung jenama diri.

Kelebihan menguasai pasaran

Penerbit lama mempunyai sejumlah rangkaian untuk menjual. Bermula dari yang bersifat tradisional sehinggalah yang bersifat digital.

Sekiranya swaterbit kerja-kerja membina rangkaian jualan diusahakan sendiri. Bermula diri sendiri sebagai channel, diikuti dengan media sosial sehinggalah ke padang sebenar.

Penyedia perkhidmatan swaterbit boleh mencadangkan ke mana dan siapa mesti penulis bertemu.

Mempunyai saluran jualan yang banyak tidaklah bermaksud buku akan terjual, itu memerlukan kemahiran lain, pemasaran dan jualan.

Baik penerbit dan swaterbit tidak boleh menjanjikan buku akan terjual lebih banyak

Kedua-duanya tidak boleh berjanji perihal kejayaan jualan. Itu adalah kuasa pasaran.

Pasaran menerima buku penulis berdasarkan perencanaan pemasaran dan jualan.

Penulis yang kenal pembaca akan lebih mudah membentuk permintaan pasaran.

Mahu kenal pembaca, ambil tahu apa yang mereka sedar, faham dan percaya.

Katakan saudara menulis buku mengenai kisah pemergian ibu. Apakah ciri-ciri pembaca yang bersedia membeli dan membaca?

Sedar

Pembaca saudara adalah orang yang sedar dia sangat kasih kepada ibu.

Faham

Dia faham pemergian ibu itu menyakitkan dan dia memerlukan sesuatu sebagai bantal emosi bagi meredakan rasa rindu itu dan belajar untuk let go.

Percaya

Dia percaya, membaca buku saudara merupakan solusi kerana tulisan saudara mengenai ibu meraikan apa dalam fikiranya juga. Disebabkan itu dia sedia membeli.

Jika ketiga-tiga ini memenuhi pencarian bakal pembaca. Kebarangkalian pembelian lebih tinggi. Kempen pemasaran saudara disusun agar mencapai objetif ini.

Dengan izin Allah, ia akan dipermudahkan.

Pemasaran memerlukan frekuensi, iaitu kekerapan menyampaikan.

Kesimpulan

Jualan mana lebih sukses, melalui penerbit atau swaterbit bergantung kepada keupayaan saudara menanggung risiko, bekerja lebih, memahami pembaca.

Mereka boleh menjanjikan kualiti buku yang baik kerana alat kerja itu dalam tangan mereka.

Buku terjual? Itu cerita lain.

Lakukan dalam keadaan saudara tahu dan ada pengetahuan. Lakukan dalam keadaan, sebanyak mana risiko wang dan masa saudara mampu kata okay.

Ada orang okay sahaja terbakar sepuluh ribu ringgit untuk mencuba. Ada orang seribu ringgit terbakar pun sudah menggelupur.

Ada orang okay sahaja menunggu tiga bulan sambil itu buat manuskrip lain. Ada orang, baru sebulan penerbit tak menghubungi rasa macam setahun.

Tingkat sanggup menerima risiko ini berbeza antara satu sama lain. Ini memang betul-betul mengenai kenal diri.

Share jika maklumat ini membantu saudara

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on print
Share on email

Leave a Comment