KLWBC Bajet

KLWBC2020: Bukan Kerana Duit Tetapi Tetap Perlu Bajet

Bersandarkan tulisan Tuan Zainal Rashid Ahmad yang bertajuk “KLWBC 2020: Mustahil semuanya tentang duit, duit dan duit”, kita membesarkan skop perbincangan dengan melihat beberapa perspektif lanjutan.

Secara umumnya kita semua bersetuju arah tuju utama tulisan beliau ini membawa erti; KLWBC daripada ‘semua untuk semua’.

Kita semua bertanggungjawab bagi menjayakannya dan kita semua diraikan.

Terdapat dua isi kecil tulisan tersebut yang memerlukan penjelasan lanjut supaya tidak kedengaran seperti menuding jari pada satu pihak.

Isi pertama adalah tidak adil bagi pemegang taruh dunia buku apabila ditulis sebagai sekadar tunggu dan lihat, ataupun bekerja seperti melepaskan batok di tangga.

Perlu kita senaraikan di sini golongan pemegang taruh yang dimaksudkan. Siapakah yang sebenarnya yang akan mendapat manfaat besar apabila KLWBC berjaya?

Senarai pendeknya adalah seperti berikut:

Pemegang taruh pertama, kerajaan.

Apabila rakyat banyak membaca, maka kesedaran demi menjadi lebih baik akan meningkat. Ilmu yang bertambah melalui pembacaan juga mampu meningkatkan produktiviti dan secara tidak langsung meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. 

Minat membaca yang meningkat akan turut menaikkan jumlah buku yang perlu diterbitkan hingga mencecah 30,000 judul setahun bagi meletakkan Malaysia setaraf negara maju.

Pemegang taruh kedua, rakyat.

Transisi tingkah laku rakyat apabila menjadikan membaca sebagai satu wadah ilmu, akan meningkatkan mobiliti sosial sekali gus membuka peluang kepada rakyat beranjak dari kedudukan B40 ke M40.

Taraf hidup dapat ditingkatkan apabila kita minat membaca dan membina ilmu melalui aktiviti pembacaan. Perubahan tindakan bermodalkan pengetahuan meningkatkan impak yang dimahukan.

Pemegang taruh ketiga, kombinasi penulis dan ekosistem penerbitan.

Penulis, penerbit, dan pencetak mendapat kesan positif apabila permintaan bahan bacaan semakin meningkat.

Pasaran yang membesar adalah idaman kepada rantaian nilai dalam industri buku.

KLWBC memungkinkan cetusan baru dalam pembinaan pembaca bagi menyelamatkan industri buku daripada terus menguncup dan mati. Lihat sahaja enam tahun kebelakangan ini satu demi satu syarikat penerbitan gulung tikar.

Ketiga-tiga pemegang taruh di atas adalah struktur yang normal kita lihat dalam setiap aktiviti melibatkan perubahan budaya dalam masyarakat. 

Kombinasi kerajaan – rakyat – pemain industri (swasta) seperti ini amat diperlukan kerana kerajaan bertindak sebagai pencetus, manakala pemain industri bertindak sebagai penggerak bagi membangunkan budaya baharu dalam kalangan rakyat yang akan menguntungkan semua pihak.

Maka ketiga-tiga pemegang taruh ini bersama-sama berganding bahu bagi mewujudkan budaya membaca dan budaya intelektual yang produktif – bukan sahaja semasa KLWBC2020, malahan berkekalan hingga ke akhir waktu.

Isi yang terakhir adalah petikan “Berapa bayarannya?” yang ditanya oleh mereka yang tampil ingin bekerjasama.

Pertama sekali kita ucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi bekerjasama secara rasmi dalam usaha yang murni ini.

Namun tidak adil sekiranya kita menyatakan yang mereka ‘meminta bayaran’ demi kerjasama tersebut.

Kita harus sedar bahawa yang mereka minta itu bukanlah bayaran demi bekerjasama, tetapi lebih kepada modal asas bagi melaksanakan kerja-kerja mereka.

Harus diingat bahawa kebanyakan mereka adalah golongan profesional yang sememangnya bernilai tinggi. 

Kerja-kerja mereka juga memerlukan bahan mentah dan pasukan sokongan yang bukannya percuma. 

Malah dalam kebanyakan masa, mereka tidak mengambil upah dan bayaran atas kerja mahir yang mereka lakukan. Cukup dengan mereka tidak perlu pula mengeluarkan duit demi kerjasama ini. Mereka sudah membuktikan komitmen dalam dunia perbukuan sebelum idea KLWBC muncul lagi.

Kita boleh berkata bahawa yang mereka minta bukanlah ‘duit untung’ tetapi modal atau bajet bagi menjalankan kerja-kerja yang diperlukan.

Malahan antara keluh-kesah yang kedengaran sekarang adalah – berapakah kos yang akan dibakar pada majlis pelancaran yang gilang-gemilang nanti?

Keresahan mereka berasas kerana tidak ada satu data yang menunjukkan majlis pelancaran mendorong momentum kejayaan ke atas perancangan yang dilakukan.

Ini sudah sedia maklum sebagaimana budaya majlis pelancaran buku yang tidak pernah memberi kesan besar kepada jualan buku secara keseluruhannya.

Para penggiat mengutarakan kebimbangan perihal nilai sebenar bajet operasi dan pemasaran yang sepatutnya mendominasi perbelanjaan bagi setiap kempen yang dirancang supaya berjaya.

Majlis pelancaran yang gilang-gemilang bukanlah rancangan pemasaran yang bagus.

Dalam zaman teknologi serba canggih ini, kita punya pelbagai cabang promosi yang jauh lebih berkesan dan menjimatkan. Malah kaedah ini dapat diukur dan diulang ukur bagi keperluan perencanaan kempen lanjutan.

Terima kasih Muhammad Sinatra atas tulisan tuan, Book Capital: A Formula for Change dalam akhbar NST pada Januari lalu yang membantu pembaca elit menyedari kewujudan KLWBC.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan penerbit, para penulis, dan influencer di media sosial yang membantu golongan marhaen menyedari kewujudan KLWBC.

Kita akan bersama-sama bekerja lebih keras demi menjadikan seluruh Malaysia sedar akan kewujudan KLWBC dan yang lebih utama; mula membudayakan membaca dan cinta ilmu sebagai penggerak hidup sehari-hari.

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on print
Share on email

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *