Kenapa Mahu Jadi Penterjemah

Kerjaya sebagai penterjemah semakin disedari kewujudannya. Setiap penterjemah pasti ada sebab tersendiri mengorak langkah menceburi bidang ini.

1. Ada bakat

Penterjemah perlu ada bakat. Bukan bakat menyanyi atau menari. Biasanya, penterjemah adalah individu yang tidak suka berada di atas pentas, kerana lebih suka bekerja di belakang tabir.

Bakat yang dimaksudkan adalah bakat bahasa atau language flair.

Penterjemah perlu memahami teks bahasa sumber (dalam kes ini, Bahasa Inggeris) dan memindahkan makna teks itu ke dalam struktur ayat Bahasa Melayu yang sejadi, sedap dibaca dan mudah difahami oleh pembaca.

2. Ada minat

Penterjemah perlu ada minat pada segala-galanya bahasa. Perlu ada minat membaca kerana akan membaca pelbagai jenis teks dalam Bahasa Inggeris.

Perlu ada minat menulis kerana akan menterjemah dan menulis kembali teks sumber itu ke dalam Bahasa Melayu.

Perlu ada minat untuk menambah baik kosa kata bahasa supaya setiap makna yang mahu disampaikan dapat dilakukan dengan bahasa yang betul dan mudah difahami.

3. Boleh buat lebih baik

Ada juga yang mahu menjadi penterjemah kerana mereka rasa boleh menterjemah dengan lebih baik berbanding karya terjemahan sedia ada di pasaran.

Ini kerana karya terjemahan sedia ada itu tidak sedap dibaca! Bahkan, gaya bahasa yang kaku mematahkan semangat untuk membaca sehingga habis.

Apabila karya terjemahan tidak diterjemahkan dengan betul, para pembaca lebih suka membaca buku itu dalam bahasa asalnya.

Ini adalah cabaran kepada penterjemah. Kita perlu menghasilkan karya terjemahan yang sejadi (natural), sedap dibaca dan mudah difahami oleh pembaca.

Lebih penting, ia tidak boleh berbau Inggeris lagi!

4. Orang asyik minta tolong

Pernahkah orang lain asyik minta tolong kita menterjemahkan teks atau dokumen untuk mereka?

Mula-mula, teksnya sedikit sedikit sahaja. Kita pun buat atas dasar sukarela membantu kawan atau kenalan di tempat kerja. Lama kelamaan semakin banyak.

Eh, biar betul. Kenapa orang asyik minta bantuan kita untuk menterjemah dokumen?

Mungkin sebab tidak ramai individu yang boleh menulis dalam Bahasa Melayu yang baik di organisasi itu.

Sekiranya kita memberikan hasil terjemahan yang bagus, lebih ramai individu yang datang meminta bantuan kemahiran menterjemah kita. Bakat terpendam mula bersinar!

5. Suka-suka, isi masa lapang.

Pernahkah anda mendengar cakap-cakap seperti ini? “Bosanlah. Apa yang kita boleh buat? Kita menterjemahlah!”

Serius! Memang ada yang berbuat begitu.

Antara contoh popular, ramai penulis blog yang menterjemah artikel dalam bahasa asing dan menyiarkan versi Bahasa Melayu di laman blog mereka.

Ada juga yang menterjemah petikan dan kata-kata individu tersohor serta resipi makanan lazat secara suka-suka dan berkongsi di laman sosial mereka.

6. Cari duit poket tambahan

Memang ada ruang untuk memperoleh pendapatan dalam dunia penterjemahan. Mencari duit poket tambahan dengan menawarkan perkhidmatan penterjemahan.

Kita perlu tahu cara yang betul untuk memasarkan diri sebagai penterjemah. Paling penting, kita mesti memberikan hasil terjemahan yang baik supaya bayaran yang diterima itu berbaloi dengan setiap titis keringat yang mengalir membasahi bumi.

7. Mahu kerja dari rumah

Kerjaya penterjemahan ini memang boleh dilakukan dari rumah.

Perlu dua fasiliti sahaja, komputer dan akses internet. Apabila bekerja sendiri, disiplin diri perlu kuat. Kita yang akan merancang perjalanan hari, sama ada bergigih menyiapkan tugasan atau sambil lewa buat kerja suka hati.

Kerja keras, insya-Allah hasilnya banyak. Sambil lewa, hasilnya pun macam main ‘chak chak’ sahaja. Sekejap ada, sekejap tiada.

Selebihnya adalah bergantung pada

  1. usaha keras kita mencari kerja dan memasarkan diri, dan
  2. bakat dan kemahiran kita menterjemah.

Insya-Allah, rezeki itu ada di mana-mana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *