Pada bulan Februari lalu, pihak KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) melancarkan buku teks digital.
Ini merupakan langkah awal bagi melayani generasi Z yang tidak-suka-kertas.
Sumber berkata, ia boleh diakses online oleh pelajar, ibu bapa dan guru yang mempunyai kata laluan pada bila-bila masa. Jika ibu bapa itu mahu akses pukul 3 pagi pun boleh. Tiada isu server kerajaan down selepas waktu pejabat.
Antara syarikat besar yang mungkin terlibat dalam inisiatif ini termasuklah Google dan juga YTL.
Pendigitalan ini dibuat berperingkat dalam tiga fasa atau mereka panggil sebagai gelombang.
Gelombang pertama (2013-2015)
Buku Teks Digital yang dihasilkan berbentuk asas atau plain, tiada unsur interaktif. Buku Teks Digital Asas ini menggunakan format pdf dan epub.
Pengalaman saya menguruskan tim ebook, bagi menghasilkan satu buku 10 muka surat memerlukan masa 3 minggu. Jika buku teks yang mempunyai beratus muka surat, pastinya berbulan.
Kementerian telah memuat naik 313 judul buku teks yang boleh diakses secara percuma melalui portal 1BestariNet menggunakan ID yang telah dibekalkan kepada semua guru dan murid.
Kita akan melihat lebih banyak lagi program kementerian bagi menyiapkan para guru dan sekolah untuk bagi melayani generasi tanpa kertas ini.
Bagi gelombang kedua (2016-2020)
Pada fasa ini barulah diperkenalkan buku teks interaktif. Versi ini dikatakan akan menggunakan format epub3.
Mungkin contohnya para pelajar boleh terus menjawab kuiz dan ujian di dalam buku tersebut. Dan markah ujian tersebut terus sampai kepada guru. Guru tidak lagi merungut perlu menanda kerja rumah para pelajar di rumah.
Malah mungkin juga buku teks interaktif ini ada unsur seperti video, bunyi dan animasi. Tidak perlu lagi para guru penat menerangkan perjalanan sperma bertemu ovum dan sebagainya.
Format epub3 (epub versi ketiga) ini sudah lama dibincangkan dari tahun 2013. Cuma pada waktu sekarang masih belum ada sofwer yang memudahkan para penerbit menerbitkan buku dalam epub3. Ada beberapa percubaan sofwer daripada Adobe dan beberapa syarikat besar, tetapi saya tidak berapa menggemarinya lagi.
Gelombang ketiga (2021-2025)
Pada fasa ini pula dikatakan buku teks digital akan bersifat lebih futuristik atau lebih interaktif. Siap ada versi Augmented Reality lagi.
Umpamanya gelombang kedua hanya guna cili merah rasa pedas, gelombang kita ini lebih pedas kerana guna cili padi. (Saya belum jumpa perumpamaan yang sesuai bagi gelombang ketiga ini)
Bagi membayangkan apa yang bakal diberikan, mungkin bagi mata pelajaran sejarah kita boleh melihat zaman kesultanan melayu melaka secara real (3D). Pelajar boleh berkhayal mahu pergi ke mana-mana sahaja dalam istana Sultan Muzaffar Syah.