Dulu saya kerap menerima soalan ini, “Berdosakah kalau tulis novel tidak ikut teknik surah Yusuf?”
Saya menulis entri ini atas kapasiti sebagai Penyusun buku ‘Panduan Menulis Novel: Teknik Surah Yusuf‘.
(Saja letak jawatan Penyusun, nampak macam hebat sikit. Padahal …..)
Penulisan mengenai teknik surah Yusuf ini dimulakan sudah lama. Jadi, sebelum buku ini keluar sudah banyak kecaman timbul.
Terutamanya di kalangan penulis sastera dan juga ahli agama.
Malah tujuan kami susun satu demi satu teknik sehingga ia menjadi buku juga adalah bagi menjawab persoalan-persoalan pak-pak ustaz pada waktu itu.
Saya lebih suka memanggil ‘teknik’ ini sebagai ‘framework’.
Kerangka Kerja Melajukan Kerja Menulis
Kenapa saya gunakan perkataan framework?
Dulu jika kita hendak design website, ia mungkin mengambil masa yang lama, tetapi sekarang banyak design laman web sudah boleh dibangunkan dengan pantas hanya menggunakan themes atau template yang ada.
Kemudian timbul pula satu persoalan. Jika guna template, apa yang membezakan website aku dengan orang lain? Tetaplah kerja web developer itu wujud untuk edit setiap template itu menjadi berbeza mengikut kehendak klien. Dan tetaplah memakan masa.
Sekarang muncul pula apa yang kita panggil sebagai theme framework. Ia memudahkan web developer untuk design template mengikut kehendak klien dengan pantas!
Framework menjadikan kerja yang kita lakukan lebih pantas sebab kerangkanya sudah ada. Kita cuma perlu tambah dan godek sikit-sikit supaya menjadi karya sendiri.
Dari awal kami berguru, kami selalu diingatkan banyak skil boleh dicapai sekiranya kita tahu memilih kerangka kerja untuk melakukannya.
Puan Ainon pernah berkata, “Berfikir secara kreatif bukan satu bakat. Tetapi jika kita menggunakan kerangka berfikir yang tepat, semua orang boleh jadi kreatif.”
Jadi untuk berfikir secara kreatif, kami gunakan framework berfikir ‘6 thinking hats’.
Saat buku dalam bahasa Melayu masih tidak banyak di kedai-kedai buku, puan berfikir salah satu sebabnya mungkin kerana penulis kita tidak tahu teknik yang betul untuk menulis buku supaya kerja menulis lebih laju.
Bagaimana Menyiapkan Buku Lebih Laju
Saat itu masih ada penulis buku sastera yang bangga berkata begini, “Novel ini saya ambil masa 3 tahun untuk disiapkan!”
Ya, malah ada yang lebih lama daripada itu.
Masa yang lebih lama diambil untuk menyiapkan sesebuah novel tidak menjadikan karya itu bagus dan dibaca ramai orang.
Dari situlah timbulnya idea untuk mendesain framework menulis novel.
Bagaimana hendak membangunkan framework daripada kosong? Apa asasnya?
Maka beliau memilih surah Yusuf untuk diteliti bagaimana kisah dalam surah itu dibangunkan.
Seindah-indah Kisah
“Kenapa surah Yusuf? Kenapa tidak surah lain?”
Soalan ini pun saya rasa macam tidak perlu dijawab secara panjang. Sebenarnya ramai sahaja yang membuat kajian yang sama tetapi menggunakan novel-novel bestseller. Jika kita lihat sekarang sudah ada pun AI (artificial intelligence) yang boleh menghasilkan novel.
Jadi, puan Ainon sebenarnya boleh memilih novel-novel bestseller pada ketika itu, cuma pastinya banyak persoalan lain yang timbul, “Betul ke novel ini laris sebab plot dia best?” atau “Penulis ini sudah terkenal, itu pasal novel dia laku keras!”
Jadi beliau memilih surah Yusuf selepas membaca ayat ke-3:
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah….”
Allah sudah sebutkan inilah seindah-indah cerita. Jadi lebih mudah untuk kita jadikan kisah ini sebagai batu asas kajian.
Bila dibaca kisah Nabi Yusuf dalam surah ini ternyata ia menceritakan perjalanan lengkap nabi Yusuf sejak dari kecil sehingga besar.
Termasuk dalam kisah nabi Yusuf adalah kisah cubaan membunuh, cemburu, hakim yang korup, dan isteri curang.
“Bukankah banyak saja novel yang menggunakan kisah-kisah sebegini? Tetapi kenapa tidak menarik untuk dibaca?”
Jadi timbul hipotesis baru:
Apa yang membezakan plot-plot ini sedap dibaca adalah bagaimana plot itu ditulis dan diceritakan.
Bagaimana hendak menceritakan watak jahat, dan bagaimana pula hendak menceritakan babak cemburu?
Adakah perbuatan jahat dihukum dalam cerita?
Bagaimana pula hendak menggambarkan kejelitaan seorang wanita dan kehenseman seorang lelaki?
Berapa banyak pula nisbah dialog dengan ayat naratif?
Dan banyak lagi persoalan lain dikaji dan dikeluarkan dalam bentuk langkah demi langkah supaya mudah diikuti.
“Ada framework penulisan lain yang boleh dicontohi?”
Ada banyak.
Sejak kita sekolah dulu pun cikgu sudah ajar basic framework tulis karangan cara mudah.
Selain surah Yusuf, ada juga kisah Nabi Musa yang bila dikaji ia sesuai dijadikan framework menulis kisah superhero.
Framework sepatutnya memudahkan kerja. Jika tuan mahu tambah perencah-perencah lain sewaktu menggunakan framework surah Yusuf, dipersilakan.
Bagi saya, fungsi framework melajukan kerja-kerja penulisan dibuat.