Nama Caliph Buskers tiba-tiba naik mendadak selepas Anugerah Juara Lagu yang lepas.
Azmi Saat dari kumpulan Caliph Buskers bertanya, “Apakah sebenarnya yang dikatakan berjaya dalam bidang muzik?”
Begitu juga dengan kita sebagai penulis. Pada tahap mana kita ingin angkat skil penulisan kita?
Apa definisi kejayaan dalam penulisan cerpen? Bagaimana sebuah cerpen dikatakan mecapai tahap berjaya?
Sepertimana manusia memberi definisi kepada kecantikan, definisi kejayaan juga subjektif. Ia boleh terbahagi kepada beberapa perkara berikut:
- Karya (cerpen) diterbitkan dan dapat dibaca dan difahami (sampai) oleh ramai pembaca.
- Cerpen memanfaatkan sekurang-kurangnya seorang pembaca.
- Penulis mendapat pulangan dari segi material, iaitu wang saku bertambah.
- Penulis boleh menulis banyak cerpen berkualiti dalam sela masa yang pendek.
Menurut Randy Ingermason, kejayaan dalam penulisan bergantung kepada empat perkara iaitu sasaran pembaca, kualiti karya, kebolehcarian karya dan pengeluaran.
Formula kejayaan yang beliau asaskan adalah seperti berikut:
Kejayaan = (Sasaran Pembaca) x Kualiti x Kebolehcarian x Pengeluaran
Mengapa Randy menggunakan simbol darab dalam persamaan ini? Sebab keempat-empat faktor ini perlu dikuasai oleh penulis. Apa-apa yang didarabkan dengan sifar, hasilnya juga kosong.
Jadi, apabila penulis bersederhana dalam mana-mana faktor, hasil yang didapatkan juga sederhana. Tetapi, apabila penulis tidak menguasai salah satu daripada faktor ini, hasilnya gagal atau tidak setimpal dengan usaha.
Mari kita lihat semua faktor ini, satu per satu.
Sasaran Pembaca
Sasaran pembaca adalah kumpulan individu yang kita mahu gembirakan melalui setiap karya yang ditulis. Sebagai contoh, penulis Ain Maisarah menulis untuk target pembaca remaja dan setiap karya penulis ini ditulis supaya sesuai dengan golongan sasaran, dari segi objektif, kandungan dan bahasa.
Apa yang perlu dilakukan adalah menyesuaikan karya kita dengan menyentuh titik emosi pembaca yang berpadanan dengan pengalaman dan umur. Sebagai contoh, cerita untuk remaja akan lebih mudah menyentuh suis emosi mereka sekiranya kita penulis perihal keadaan di sekolah dan masalah dengan kawan-kawan, cerita dan pengalaman masuk asrama dan sebagainya.
Jadi, berapa ramai pembaca yang berada dalam kumpulan sasaran kita? Tidak ada angka tepat untuk ini, tetapi lebih banyak, lebih baik. Lebih seronok apabila kita tulis cerita yang memanfaatkan supaya ia turut menjadi catatan amal untuk kebaikan di akhirat.
Kualiti Karya
Setiap orang mempunyai definisi berbeza untuk kualiti.
Berbalik kepada definisi kejayaan tadi, sebuah cerpen dikatakan berkualiti apabila ia dapat difahami pembaca dan dimanfaatkan dengan baik.
Sabda Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh.” – Hadith Riwayat Muslim.
Sebagai penulis Mukmin, kita definisikan kualiti ini sebagai menulis cerita-cerita yang memanfaatkan supaya ia boleh menyambung catatan pahala kita walaupun sesudah kita meninggal dunia.
Kebolehcarian Karya
Adakah karya yang kita hasilkan boleh sampai dengan mudah kepada pembaca yang disasarkan? Terdapat lebih daripada 130 juta buku sudah diterbitkan di seluruh dunia. Di Goodreads sahaja, 100 000 judul antologi atau kumpulan cerpen disenaraikan sebagai karya popular. Semudah mana pembaca menemukan karya kita?
Sebab itu, kita perlu menulis karya yang berkualiti. Apabila pembaca mendapati kita menulis karya yang bagus, mereka akan menyebarkan maklumat itu kepada orang lain. Pemasaran mulut ke mulut akan berlaku. Maka, rancanglah karya dan matlamat kita dari sekarang supaya hasilnya mencapai kualiti yang dimahukan.
Pengeluaran
Berapa cerpen yang kita boleh hasilkan dalam setahun?
Apabila tiga faktor sukses tadi sudah sama rata, satu perkara yang akan mencetus lebih banyak kejayaan adalah jumlah karya yang ditulis dalam setahun.
“Jika kamu menjadi seorang penulis, kamu harus melakukan dua perkara, iaitu banyak menulis dan membaca.” – Stephen King
Buku James Patterson diterbitkan selang beberapa minggu dan setiap satu daripada buku itu laku keras. Dia menjadi penulis paling laris dalam dunia disebabkan dia mempunyai karya yang banyak.
Tetapi, walaupun jumlah karya penting, tetapi ia harus menjadi faktor terakhir selepas penulis jelas dengan tiga faktor selainnya.
Rancang Kejayaan Sebagai Penulis
Dalam membuat perancangan, keempat-empat faktor ini perlu dititikberatkan:
- Tentukan golongan sasaran pembaca kita.
- Sentiasa tingkatkan kualiti karya melalui latihan, supaya pembaca kita dapat terus membaca karya yang lebih baik dan bermanfaat.
- Tambahkan kebolehcarian karya melalui peningkatan kualiti karya, menggunakan kos, masa dan tenaga yang minimum.
- Banyakkan jumlah karya di pasaran, untuk golongan sasaran pembaca yang sama supaya mudah dijenamakan.
Yang baik itu daripada Allah. Segala kekurangan dan kesilapan itu adalah daripada kelemahan saya sendiri.
Jom selfie. Mari muhasabah diri.