Ada soalan ditanyakan pada minggu lalu, “Dahulu saya membaca setiap status seorang influencer ini. Semakin lama semakin saya tidak mengikutinya lagi. Kenapa ya?”
Keadaan ini sama seperti kita mengikuti seorang penulis dan lama kelamaan kita mengubah haluan pembacaan kita. Buku tulisannya tidak menjadi keutamaan kita seperti dulu-dulu.
Kenapa?
- Perubahan makna hidup sendiri mempengaruhi pilihan kita mahu membaca tulisan siapa selepas ini.
Sebelum ini kita membaca influencer A yang kerap meluahkan pendapat mengenai isu masyarakat.
Lama-lama kelamaan kita mengubah haluan kerana kita sebenarnya mahukan penulisan isu masyarakat yang mempunyai idea-idea tindakan, bukan sekadar storytelling sahaja.
Influencer A tidak memiliki perkara itu, maka kita mengubah haluan. - Sifat manusia mahukan kesegaran, walaupun dalam hal belajar agama.
Newsfeed kita pernah dipenuhi video kuliah Ustaz Azhar Idrus, kemudian gelombang itu berganti dengan Ustaz Don….sekarang watak baharu pula yang kerap muncul.
Kita masih menghormati mereka sebagai orang berilmu. Tetapi manusia itu fitrahnya berkembang, maka kita mula mencari perspektif baharu dalam perkara yang ditekuni, maka kita mula memilih watak lain untuk kita ikuti. - Influencer itu sudah terlalu mudah dijangka
Manusia mahukan keterujaan dalam mendapatkan sesuatu. Malah, ketika memesan makanan di restoran pun kita ada bayangan dalam kepala, bagaimana bentuk hidangan itu nanti.
Jika terlalu mudah dijangka, kita pun hilang keterujaan. Baca ayat pertama, sudah tahu, akhirnya apa. Maka, kita mencari keterujaan lain.