Enam Langkah Pemula Memilih Penerbit

Adakah penulis mesti tahu semua perkara, iaitu luar dan dalam mengenai operasi rumah penerbitan?

Bunyinya seperti banyak perkara mesti kita jelas sebelum memilih rumah penerbit. Tetapi jangan berlebih-lebih sehingga tidak dapat bertindak. Hanya ambil tahu perkara-perkara yang mempunyai kesan langsung kepada kita dan karya yang dihasilkan.

Pada masa sama, jaga kualiti diri sebagai penulis agar dilihat mahal dalam pasaran.

Mulakan daripada yang asas dahulu.

Jenis Penerbit dan Penulis

Pertama, latar belakang rumah penerbit dalam operasi penerbitan. Pada masa ini, cukup mudah kita mendapatkan maklumat daripada para penulis.

Dapatkan, “Kenapa,” daripada tiga kumpulan. Korek-korek cerita daripada penulis yang masih bersama rumah penerbit, penulis yang keluar dari rumah penerbitan secara aman dan penulis yang keluar dari rumah penerbit dalam keadaan marah-marah.

Lapan tahun lalu, saya bertanya kepada Tuan Ann Wan Seng kenapa melompat-lompat dari satu rumah penerbitan ke rumah penerbitan sedangkan ada penerbit yang memberi pulangan lumayan dari aspek royalti.

“Saya bantu kawan-kawan. Mana rumah penerbitan yang kecil, saya bantu lonjakkan nama rumah penerbit dengan menulis di bawah mereka,” kata Tuan Ann Wan Seng yang memberikan kekuatan nama beliau kepada rumah-rumah penerbitan.

Ada penulis membangunkan jenama diri berdasarkan rumah penerbitan. Penerbit yang mewakili karya pula akan membantu membangunkan karakter penulis dalam pasaran melalui pembawaan yang sama seperti ciri-ciri buku dihasilkan.

Bedah Isi Kontrak

Hadam betul-betul kontrak yang ditandatangani. Ada dua situasi penulis baharu akan cepat-cepat menandatangani kontrak. Pertama, penulis mahu lihat buku segera berada dalam pasaran. Kedua, suka kepada perwatakan orang yang berada dalam rumah penerbitan.

Apabila penulis menandatangani kontrak kerana suka cara individu dalam rumah penerbitan melayan, maka hukum logik diganti dengan hukum emosi. Situasi tidak timbul pada peringkat awal sehinggalah orang yang disukai sudah bertukar kerja dan penerbit melalui perubahan struktur dalaman.

Bertanya Sekali Sekala

Sekali-sekala bertanya kerja-kerja asas dalam rumah penerbit. Misalnya, kenapa penerbit tidak segera mengulang cetak buku kita meskipun sudah habis dalam pasaran.

Habis dalam pasaran hanya dapat ditentukan apabila penerbit tahu jumlah stok berbaki dalam stor.

Selain itu, peruntukan bajet bulanan untuk buku ulang cetak dan cetak buku baharu ditetapkan oleh penerbit setiap bulan.

Pada peringkat awal, penerbit mencetak banyak judul baharu bagi membangunkan back title yang berpotensi menjana aliran tunai pada masa akan datang.

Setiap Penerbit Ada Risiko

Ingat peraturan asas, setiap rumah penerbitan merupakan risiko kepada penulis.

Tidak ada satu yang akan memberikan kita seratus peratus apa yang dimahukan. Cari rumah penerbit yang dapat kita bertahan pada satu tempoh masa.

Kurangkan Sembang Fitnah

Penulis merupakan orang seni. Apabila bergosip kerap meletakkan diri sebagai mangsa. Semakin bercerita semakin menunjukkan kebodohan yang nyata. Maklumat betul sedikit tetapi salah lebih banyak.



Dalam jurnal-jurnal komunikasi kerap memberikan dapatan yang sama, maklumat akan berubah apabila beralih dari satu orang ke satu orang yang lain.



Misalnya, dalam situasi penerbitan gawat pada ketika ini, mesej seperti, “Penerbit akan melewatkan pembayaran royalti,” berakhir menjadi “Penerbit tidak membayar royalti.”



Ini menjadi fitnah dalam komuniti perbukuan.

Apabila bertelingkah dengan rumah penerbit, jangan jadikan Facebook sebagai rumah ratapan. Situasi ini tidak ubah seperti suami-isteri bergaduh, satu kawasan kejiranan dapat dengar pelik lolong dalam rumah. Tingkap, pintu dan setiap lubang dalam rumah habis dibuka luas-luas untuk tontonan awam.

Buruk lagi memburukkan.

Penerbit Pun Perhatikan Kita

Kita sangka sedang diselamatkan apabila penerbit yang menerbitkan buku kita sekarang.

Sedangkan penerbit yang mewakili karya kita sekarang membaca dengan berhati-hati ratapan di Facebook dan cerita kita sampaikan mengenai penerbit lain.

Dalam kepala, mereka berfikir, “Kalau selepas ini kita, apa pula yang dikata-kata oleh dia. Sekarang ini senyum-senyum sahajalah.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *