Kebelakangan ini, banyak mesej diterima bertanyakan soalan tentang cara untuk menceburi bidang penterjemahan.
Ada banyak jalan kehidupan yang kita boleh pilih. Setiap jalan yang dipilih akan menuju ke destinasi berbeza. Mungkin beberapa jalan akan bertembung dan saling berselisih. Ada masanya kita akan tersesat di jalan gelap, tidak jumpa kebenaran.
Kerjaya sebagai penterjemah semakin disedari kewujudannya. Setiap penterjemah pasti ada sebab tersendiri mengorak langkah menceburi bidang ini.
Khas buat bakal penterjemah di luar sana,
Penterjemah sememangnya bukan kerjaya yang popular. Pasti ia bukan cita-cita kita sejak kecil dahulu. Jadi, kenapa mahu menjadi penterjemah?
Ingat lagi kisah mengenai kerjaya penterjemah yang buat tugasan secara senyap-senyap sehingga menimbulkan pelbagai salah sangka? Penterjemah, kerjaya dalam rahsia.
Namun, semua itu akan berubah.
Bagaimana?
Sedikit demi sedikit, rahsia dunia penterjemahan akan dibongkarkan!
Ingat lagi tak, soalan popular yang sering ditanya oleh cikgu masa sekolah dahulu.
Soalan apa itu?
Soalan ini...
Apa cita-cita kamu apabila besar nanti?
Jawapan paling popular adalah mahu jadi cikgu, doktor, askar dan polis.
Walaupun saya tidak ingat apa jawapan saya kepada soalan cikgu itu, namun saya yakin penterjemah bukan jawapannya. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi penterjemah.