5 Faktor Penting Penulisan Cerpen

Tak kenal maka tak cinta. Ini masalah cinta.

Sudah kenal tetapi tidak ambil tahu pun akan bermasalah juga. Jatuh cinta dengan penulisan cerpen, tetapi tidak mengenalinya betul-betul juga bermasalah.

Takut-takut berlaku kemalangan jiwa mereka yang membacanya.

 

Jadi, mari kita bertanya khabar dan berkenalan lebih lanjut dengan genre penulisan yang dipanggil cerpen.

Panjang cerpen atau short stories biasanya di sekitar 500 hingga 20 000 patah perkataan.

Jadi bagaimana kita mahu mengisi jumlah ribuan perkataan ini supaya cerpen kita menjadi lebih indah.

Apa ciri-ciri yang perlu ada dalam sebuah cerpen?

Baik, terdapat LIMA ciri yang perlu ada dalam sebuah cerpen.

Tema + Plot + Watak + Masa + Lokasi = Cerpen

Mengapa kali ini saya gunakan elemen ‘tambah’?

Sebab, ada elemen yang boleh tiada dalam cerpen.

Mari kita lihat elemen ini satu per satu.

Tema

Tema adalah perkara asas yang dipegang oleh watak utama dalam cerpen. Menurut Kamus Dewan, tema adalah perkara yang menjadi dasar sebuah cerita. Dalam penulisan cerpen, hanya perlu ada SATU tema sahaja.

Sebagai contoh, kita menulis cerpen dengan tema ‘tanggungjawab seorang anak soleh’. Fokus kepada tema ini. Usah campurkan dengan tema masalah pendidikan di rumah atau kesilapan cara ayah mendidik.

Tema yang evergreen ialah Agama, Sejarah dan Politik.

Plot

Ramai yang menganggap plot itu sebagai susunan cerita. Ia tanggapan yang tidak tepat.

Plot adalah sebab dan akibat.

Dalam penulisan cerpen, ia adalah perkara yang menyebabkan sesuatu konflik terjadi kepada watak utama. Seperti contoh tadi, menjadi anak soleh adalah akibat dan sebabnya adalah kesedaran daripada nasihat.

Tidak perlu ada subplot dalam cerpen. Seperti contoh sebelum ini, kita tidak boleh menambah masalah anak dengan guru disiplin atau konflik anak yang mahu jadi anak soleh tadi dengan kumpulan pelajar samseng di sekolah. Nanti, cerpen kita akan menjadi novel.

Watak

Disebabkan had kepanjangan, tema dan plot, tidak perlu banyak watak dalam cerpen. Paling banyak TIGA watak sahaja.

Contohnya, ada tiga watak dalam cerita anak soleh tadi iaitu anak, ayah dan seorang perempuan yang bertindak sebagai pelerai. Guru saya ajarkan, watak ini berperanan sebagai pari-pari dalam cerita.

Seperti dalam cerita dongeng, watak pari-pari dimunculkan bagi meleraikan kekusutan Cinderella. Dalam cerita ini, perempuan yang menjadi pelerai tadi berfungsi menyedarkan anak mengenai tanggungjawabnya kepada ayah.

Latar Masa

Cerpen tidak perlu latar masa yang terlalu panjang atau ia akan menjadi janggal. Apabila latar masa panjang, pasti banyak perkara yang mahu dimasukkan. Ia akan mengganggu fokus tema dan watak terutama kepada penulis baru.

Mengapa saya kata begini?

Sebab penulis baru mempunyai satu masalah dalam mengawal perkara yang mahu ditulis. Jadi, sebagai langkah awal selesaikan masalah ini dengan menyusun LATAR MASA YANG PENDEK seperti 3 bulan.

Saya beri contoh.

Cerita anak soleh itu hanya berlaku dalam satu hari, melibatkan perbualan singkat anak soleh dengan perempuan pari-pari yang menyedarkan anak mengenai tanggungjawabnya kepada ayah.

Latar Tempat

Seperti masa, latar tempat bagi cerpen juga terhad. Cukup dengan satu latar sahaja, supaya flow cerita mudah dikawal. Menambah lokasi dalam cerita akan membawa kepada penambahan babak yang kemudian menjurus kepada penambahan subplot.

Dalam cerita anak soleh, perbualan tadi berlaku di pintu masuk sebuah masjid. Di situ, watak anak soleh bertemu kakak pari-pari dan mereka berbual sehinggalah si anak tahu apa yang perlu dilakukan sebagai anak.

Bagi yang mahu membaca cerpen anak soleh, boleh klik pautan ini: bit.ly/diaRM

Jadi, sudah tahu pasal perkara yang mencirikan cerpen?

Masih ingat saya kata ada eleman yang boleh tiada daripada cerpen?

Ia adalah plot. Ada cerpen yang ditulis tanpa plot.

Insya-Allah, saya ulaskan hal ini dalam artikel akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *