Buku bukan fiksyen, khususnya buku-buku bisnes mengundang banyak persoalan yang melibatkan kredibiliti penulis. Antara soalan yang kerap berlegar dalam fikiran penulis baru adalah:
“Adakah nama aku cukup kredibel untuk buku bawah topik bisnes ini?”
Persoalan tersebut semakin kuat bergema apabila penulis tersebut tidak pernah terjun dalam bidang yang ingin ditulis. Contohnya, mahu tulis tentang buku teknik pemasaran tetapi beliau sendiri tidak pernah memasarkan produk.
Ini adalah isu persepsi.
Kita sebagai penulis harus membuang persepsi ‘buku ini tentang diri saya’. Itu adalah persepsi yang salah.
Setiap buku adalah entiti yang tersendiri. Buku non-fiksyen mampu berdiri dengan sendiri tanpa logo penerbit mahupun nama penulis.
Ada 3 jalan untuk membina kredibiliti buku tanpa bersandar kepada nama penulis mahupun jenama penerbit.
1: Didokong Bahan Kajian
Setiap isi penting dalam buku kita harus disertakan dengan sumber asal fakta.
Fakta tidak boleh disanggah tanpa fakta lain yang lebih kukuh dan diakui. Fakta adalah sesuatu yang berkredibiliti tinggi.
Maka, kita sebagai penulis harus mengumpulkan dengan tersusun bahan-bahan sumber asal buku kita agar memudahkan kita membuat rujukan semasa penulisan.
2: Disokong Pengalaman Orang Industri
Ada juga isi yang datang daripada pengalaman orang lain yang berkredibiliti.
Contohnya kenyataan Doktor yang terbit dalam akhbar, ataupun perkongsian pakar dalam interview yang kita jalankan.
Cara ini memberi 2 kelebihan dalam satu masa.
Kelebihan pertama adalah isi buku kita kini boleh berdiri sendiri atas kapasiti pengalaman pakar tersebut.
Kelebihan kedua adalah kita boleh menjalinkan hubungan yang baik dengan pemain industri.
Pakar dan penggiat industri secara ringkasnya suka untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka kepada penulis.
Jika ada antara mereka yang ‘kedekut’ atau lokek ilmu, kemungkinan besar cara penulis mendekati mereka tidak betul atau menjengkelkan. Perbaiki dan dekati semula mereka.
3: Bahasa/Gaya Penulisan Berbudaya Tinggi
Ya, bahasa dan gaya penulisan juga memainkan peranan dalam membentuk persepsi kredibiliti buku.
Bahasa yang berpengaruh adalah Bahasa Melayu Tinggi.
Sentiasa menulis menggunakan konsep Bahasa Melayu Tinggi, iaitu menghormati pembaca.
Tulis menggunakan tulisan penuh (BUKAN tulisan SMS), panggilan yang terhormat (Tuan/Cikpuan, BUKAN abang/kak/pakcik).
Ayat yang pendek dan tepat (short and concise) adalah simbol intelek aras tinggi. Maka sentiasa tulis dan berkata-kata menggunakan ayat yang pendek dan tepat.
Ketiga-tiga cara ini akan membantu buku kita berdiri dengan sendiri dan memiliki kredibitili dengan sendirinya.
Ya, penulis itu tidak perlu kredibiliti yang melampau hebat untuk menulis buku.
Ini kerana, pembaca mahukan isi yang benar, bukannya pengesahan daripada kerajaan.