Ada syaitan dalam diri kita yang berselindung di sebalik perkataan ‘Writer’s Block. Syaitan ini sering menyebabkan penulisan kita terbantut atau terus berhenti.

Syaitan tersebut adalah rasa ‘Takut’!

“Siapa pula yang takut menulis?” Soal rakan saya.

Kita tidak sedar kita sebenarnya ada rasa takut apabila menulis. Malah kita takut untuk mengakuinya.

Pelajar sekolah yang hanya perlu menghantar karangan kepada cikgu juga rasa takut menulis. Dia takut tulisan tangannya dikritik dan digelakkan rakan sekelas.

Sebijak-bijak pelajar tahap PhD yang perlu siapkan tesis juga menghadapi ketakutan untuk menulis. Dia takut tesis yang ditulisnya selama berbulan dicampak pensyarah.

Malah profesor juga ada yang takut untuk menulis buku. Dia takut buku yang ditulisnya dikatakan tiada nilai ilmu oleh rakan seprofesor.

Mari kita tanya diri kita.

Mengapa sampai sekarang kita tidak menulis buku lagi? Atau lebih senang, mengapa kita masih belum hantar proposal buku lagi kepada editor?

Proposal yang perlu dihantar kepada editor itu hanyalah isi tempat kosong dengan lebih kurang 3 muka surat sahaja. Itupun masih belum dihantar.

Ada 3 ketakutan yang dihadapi oleh penulis.

Takut Gagal

Kita takut kegagalan kerana kita tidak membahagikan tugas yang perlu disiapkan dengan emosi diri sendiri.

Oleh itu kita takut dimalukan apabila dikritik hebat. Bagaimana hendak keluar daripada ketakutan jenis ini?

  • Mengaku yang kita takut untuk gagal.
  • Sedar diri setiap kali dikritik, gaya penulisan kita berubah menjadi lebih baik.
  • Setiap kegagalan mendekatkan kita ke arah kejayaan.

Takut Direjek!

Sewaktu kita menulis kita terfikir-fikir:

“Ada orang mahu bacakah artikel aku ini?”

“Editor mahu terimakah buku ini?”

Bagaimana kita dapat mengelakkan rasa takut direjek ini?

  • Kita harus tahu kita tidak mampu puaskan hati semua orang.
  • Jadikan menulis sebagai satu aktiviti latihan otak.
  • Terima sahaja penolakan tersebut. Dan tanya kepada perejek, apakah yang boleh kita buat untuk menambah baik tulisan kita.

Takut Risiko

Adakah ada pekerjaan yang tiada risiko? Jawapannya ada, duduk sahaja di kerusi zon selesa anda.

Itu pun mungkin ada risiko, iaitu risiko ketiadaan duit untuk makan. Kita sudah dibiasakan dengan habit untuk melakukan perkara yang sama berulang.

Jika ditukar atau diberi tekanan luar sedikit, kita mula rasa tidak selamat.

Soal diri kita.

Mahukah kita hanya menjadi orang yang menulis di facebook dan syok sendiri? Atau mahukah kita mempunyai buku sendiri dan dibaca ratusan (letak matlamat kecil dahulu) orang?

Bagaimana untuk menghadapi takutkan risiko ini?

  • Mengambil risiko memang memerlukan keyakinan diri. Setiap kali kita mampu bertahan pada setiap tahap risiko, pengetahuan dan skil kita akan berkembang.
  • Soal diri kita. Apakah perkara buruk yang mungkin berlaku jika saya mengambil risiko ini? Adakah saya akan mati? Jika tidak, teruskan.

Kesimpulan

Menulis merupakan perkara yang menakutkan. Tetapi tidaklah seteruk dipukul perompak, atau bertembung dengan harimau.

Ada satu ketakutan yang baik dalam menulis. Takut berdosa. Solusinya tulis perkara yang menyebabkan pembaca melakukan kebaikan.

Dan setiap kali kita menulis simpan cita-cita ini di dalam hati:

Semoga tulisan ini memberi pahal berterusan selepas kita mati.