Ada banyak jalan kehidupan yang kita boleh pilih. Setiap jalan yang dipilih akan menuju ke destinasi berbeza. Mungkin beberapa jalan akan bertembung dan saling berselisih. Ada masanya kita akan tersesat di jalan gelap, tidak jumpa kebenaran.

Pilihan jalan untuk menjadi penterjemah juga pelbagai. Ada yang masuk jalan ini secara tidak sengaja. Ada yang sudah menyimpan angan-angan untuk menjadi penterjemah, namun masih belum mengorak langkah pertama.

Ada yang sudah masuk, tapi berhadapan pelbagai halangan, cabaran dan tekanan. Itu biasa. Walaupun kita benar-benar minat dan suka kerja yang dilakukan, pasti ada stres dalam segala-galanya.

Jadi, jalan mana yang sesuai diambil untuk menjadi penterjemah?

Sebenarnya, tidak ada satu jalan sahaja untuk bermula sebagai penterjemah.

Lain orang lain kisahnya. Saya sendiri masuk ke dalam dunia penterjemahan secara tidak sengaja. Tidak pernah terfikir langsung pada ketika itu.

Cari Geng Sama Wangi

Ini bukan isu kita mandi ke tidak mandi ya. Ini isu mencari geng yang sama wangi. Kata-kata Puan Ainon Mohd ini saya memang ingat sampai bila-bila. Lebih kurang begini bunyinya, “Sekiranya kita mahu jadi wangi, berkawanlah dengan penjual minyak wangi. Pasti tempias wangian akan terkena pada kita.”

Ini pula saya tokok tambah, “Lama-lama kita akan jadi sama wangi atau mungkin lebih wangi daripada penjual minyak wangi itu!”

Maksudnya senang sahaja. Sekiranya kita mahu menjadi penterjemah, carilah geng penterjemah yang lain.

“Mahu cari di mana? Saya tidak kenal penterjemah lain.”

Alahai. Sekarang dunia di hujung jari. Masuk FB pun wajib setiap hari kan? Itu semua lubuk maklumat. Buat carian sama ada di Goggle atau di FB, kata kunci ‘penterjemah’. Pasti banyak hasil carian yang muncul. Kemudian, tambah penterjemah itu sebagai rakan dunia maya. Berkenalan dengannya. Borak-borak dengannya. Minta izin dia berkongsi pengalaman.

Namun, sekiranya tidak ada respons daripada individu itu, usah gusar. Tidak ramai akan terbuka hati untuk berkongsi kisah dan pengalaman hidup mereka dengan si asing yang tiba-tiba menegur di laman sosial.

Carilah penterjemah yang mahu berkongsi. Habis membaca nukilan ini, kalian sudah kenal sekurangnya seorang penterjemah yang mahu berkongsi!

Betulkan Bahasa Kita Dahulu!

Jangan ingat kita tahu dua bahasa atau lebih, kita sudah boleh menjadi penterjemah untuk kesemua bahasa itu. Semuanya palsu belaka.

Walaupun kita fasih berbual-bual dalam bahasa itu, kita perlu ada bakat bahasa yang bagus.  Sekiranya menulis sms dan status di laman sosial pun, asyik guna bahasa pendek yang entah apa-apa dan ayat pun merapik meraban, mungkin kerjaya sebagai penterjemah ini bukan untuk kita.

Penterjemah sama seperti penulis yang perlu mencatatkan setiap idea bernas dan jalan cerita hebat dalam bahasa yang sedap dan mudah difahami semua. Bezanya, penulis menzahirkan idea mereka sendiri ke atas kertas atau skrin dan penterjemah menzahirkan idea penulis bahasa asal.

“Tetapi saya benar-benar mahu menjadi penterjemah!”

Sekiranya status fb kita pun merapu-rapu dalam bahasa pasar yang perlu dibaca 10 kali, baru boleh difahami, (kadang-kadang tak faham langsung, walaupun sudah baca banyak kali!), lupakan niat itu.

Usaha perbaiki bahasa kita dahulu. Berlatih menulis dengan bahasa yang betul di laman sosial. Ejaan mesti betul. Ayat mesti penuh. Struktur ayat mesti ada. Penyataan yang ditulis mesti sedap dibaca dan mudah difahami semua.

Bersedia Melabur

Kita perlu bersedia melabur untuk mempertingkatkan kemahiran kendiri. Melabur bukan setakat duit. Ia termasuk masa dan juga usaha.

i. Pelaburan duit.

Daftarkan diri untuk menghadiri kursus dan bengkel penterjemahan. Sekiranya sekadar mengharapkan pada bakat bahasa juga tidak boleh. Mantapkan lagi bakat itu dengan teknik penterjemahan yang betul. Ada dua institusi yang menawarkan kursus penterjemahan iaitu ITBM dan DBP dengan kerjasama PPM. Pergi Google untuk cari maklumat lanjut.

Ada juga bengkel penterjemahan yang boleh dihadiri. Saya sendiri ada menganjurkan bengkel asas penterjemahan eksklusif sekali setahun. Sebarang maklumat akan dikongsikan di laman FB Penterjemahsuper.

Guna duit untuk membeli bahan rujukan yang sesuai untuk membantu mengasah kemahiran menterjemah. Kamus? Tidak perlu. Sekarang, kamus maya lebih mudah diakses. Tidak perlu pikul kamus yang gedabak ke hulu hilir sebagai rujukan. Beli buku tip dan teknik penterjemahan. Beli buku terjemahan yang pernah memenangi anugerah seperti buku Cina Bisnes di Lautan Pasifik, terbitan PTS. Beli bahan bacaan dengan bahasa yang sedap dibaca untuk menambah kosa kata kita.

ii. Pelaburan Masa

“Saya tidak ada masa lapang untuk belajar tentang penterjemahan.”

Hai, belum bermula pun sudah ada alasan, lupakan sahaja niat untuk menjadi penterjemah.
Masa itu emas. Itu sebab kita perlu gunakan sebaik mungkin dengan perkara bermanfaat. Hadir kursus penterjemahan. Labur masa berharga untuk belajar teknik penterjemahan yang betul. Pergi bengkel, masa terisi dengan ilmu.

Luangkan masa untuk membaca semua buku yang dibeli. Mungkin tidak sempat membaca kesemuanya sekali. Faham sangat. Jadi, pilih buku yang dapat memberikan input bahasa yang bagus dan ilmu penterjemahan yang betul.

iii. Pelaburan Usaha

Tidak kira apa sahaja yang kita lakukan, semua perlukan usaha. Berusaha berlatih menterjemah supaya kemahiran ini dapat digilap. Sekiranya dapat dilakukan setiap hari, lebih baik. Itulah sebabnya, saya buat juga tugasan yang kecil molek comel lote, walaupun sependek satu baris. Ya, satu baris!

Kita boleh buat penterjemahan mudah seperti menyiarkan post FB yang dwibahasa. Itu sudah dikira sebagai latihan penterjemahan. Usaha mesti ada.

Usaha dengan langkah kecil dahulu. Lama-lama kemahiran dan bakat kita akan semakin bersinar. Insya-Allah.

Ha! Sekarang sudah tahu kesemua cara itu, bola tindakan ada dalam tangan kita.

Apa tunggu lagi? Mudahan tidak akan sesat jalan lagi.