Berapa banyak modal jika mahu cetak buku sendiri?

Dalam artikel sebelum ini sudah saya kongsikan tentang 6 jenis kos yang perlu diperolehi bagi menerbitkan buku sendiri. Ia melibatkan kos design kaver, layout dan editing, kos cetak, kos pemasaran, kos gudang simpanan dan juga kos penghantaran buku.

Jadi berapa jumlah modal yang diperlukan oleh penulis yang mahu terbit buku sendiri? Modalnya bergantung kepada tuan-tuan. Sekiranya tuan dapat melakukan sendiri sebahagian daripada 6 jenis kos di atas, tuan boleh menjimatkan beberapa ratus ringgit. Kemudian hanya sediakan kos cetakan saja.

Kos cetakan pula bergantung kepada jenis buku yang kita mahu terbitkan. Ia berkait langsung dengan :

  1. Jumlah muka surat
  2. Berapa muka surat berwarna
  3. Berapa muka surat hitam putih
  4. Jenis binding
  5. Saiz buku yang mahu dicetak
  6. Jumlah unit cetakan

Sekiranya tuan-tuan sudah mempunyai 6 maklumat di atas, tuan boleh dapatkan sebut harga mencetak buku. Kos cetakan bagi 300 unit ke bawah adalah lebih tinggi berbanding 1000 unit dan ke atas.

Anggaran kos cetakan bagi seunit buku pula bermula daripada RM14.00+- sehingga RM3.00+ -Bagaimanapun ia sentiasa berubah berdasarkan kepada 6 maklumat di atas. Jika salah satu daripada 6 perkara itu berubah, maka kos cetakan juga akan berubah.