“Angan-angan itu percuma.”

Disebabkan ia percuma, maka jika tidak laksanakannya kita juga tidak akan rugi dari sudut kewangan.

Kita semua ada kuasa untuk memilih. Adakah kita mahu mati berjuang ataupun mati menonton televisyen?

Adakah kita mahu belajar berenang ataupun selamanya berada di gigi air sambil melihat orang menyelam hingga ke dasar lautan. Kita ada peluang untuk memilih.

Kita juga boleh mula menulis ataupun menangguhkan sehingga kita ada masa untuk menulis.

“Saya tiada masa untuk menulis.”

Apabila kita sebut tentang masa, sebenarnya Tuhan sudah kurniakan kita masa yang cukup dalam sehari untuk melakukan banyak perkara.

Tuan-tuan pernah lihat seorang menteri boleh berada di tiga negeri dalam masa satu hari? Adakah beliau mempunyai 48 jam sehari ataupun 24 jam sehari sama seperti kita?

Masa ibarat emas. Jika tidak diuruskan dengan betul, ia ibarat kita kehilangan emas hampir setiap saat dan waktu.

Bayangkan jika ada orang mencuri duit dari dalam dompet kita, pastinya kita berasa ingin pukul orang tersebut dengan steering lock. Tetapi apabila diberitahu bahawa kita sendiri yang mencurinya, apa yang ingin kita lakukan?

Apa yang perlu dibuat ialah mengurus masa dengan betul. Sebelum tidur pastikan kita ambil masa 15 minit bagi menyusun jadual untuk hari esok bermula selepas kita bangun lagi hingga tidur semula.

“Saya perlu duduk 12 jam untuk menulis sepanjang hari. Saya tiada masa sebanyak itu.”

Tuan-tuan, jika kita seharian duduk menghadap skrin dan menaip manuskrip. Itu bukan menulis namanya, itu menjemput penyakit.

Menulis tidak semestinya memaksa kita duduk sehingga berjam-jam lamanya. Apa yang perlu dibuat adalah aturkan masa sekitar 20 minit setiap hari untuk menulis.

20 minit itu ibarat tuan-tuan dikurung dalam sebuah penjara yang tidak ada talian komunikasi dengan dunia luar dan media sosial. Yang ada hanyalah laptop dan juga Microsoft Word. Game kad pun tidak ada dalam laptop itu.

Maka teruskan menulis sehingga minit ke 20. Selepas itu boleh rehat dan update status di facebook.

“Saya perlu cari idea, jadi 20 minit tidak cukup untuk saya menulis.”

Insya-Allah ada kaedahnya. Tetapi saya perlu beransur sekarang. Saya akan kongsikan bagaimana caranya untuk kita duduk dan terus mula menulis selama 20 minit tanpa perlu mencari idea dalam masa yang sama.