Pada masa ini ramai kenalan yang telah berjaya menjual ebook mahu masuk ke dalam dunia penerbitan buku bercetak.

Ini kerana mereka sudah seronok menerima pulangan balik hasil jualan ebook dan buku bercetak sendiri. Mereka mengandaikan jika menerbitkan buku orang lain, pulangannya akan berganda juga.

Ada juga yang baru masuk MPH atau Popular beberapa bulan, sudah termimpi-mimpi mahu terbitkan buku orang lain.

Juga kerana banyak mendengar cerita-cerita kejayaan orang menerbitkan buku.

Adalah lumrah apabila orang cenderung berkongsi tentang cerita-cerita kejayaan, tetapi merahsiakan kegagalan.

Penerbit pun begitu juga. Mereka menceritakan buku-buku yang laku dan diulang cetak berkali-kali. Mereka tidak menceritakan buku-buku yang tidak laku.

Bisnes penerbitan buku adalah bisnes yang besar modalnya. Jika kita sudah berjaya menjual buku tulisan sendiri, belum tentu kita berjaya menjual buku tulisan orang lain.

Bagi rakan yang ingin menerjah dunia penerbitan dengan menerbitkan buku orang lain, boleh mulakan dengan terbit ebook dahulu.

Kosnya jauh lebih murah berbanding buku bercetak. Risikonya juga rendah.