“Tuan, berapakah kos untuk menerbitkan satu judul buku?”

Soalan diajukan. Semua peserta sudah berangan-angan mahu menerbitkan buku sendiri.

Saya diam sebentar memikirkan apakah jawapan yang paling tepat untuk soalan ini.

Ada racun yang mampu membunuh semangat kita di kemudian hari jika ia tidak diuruskan dengan baik.

Mampu Cetak Vs Mampu Jual

Kos menerbitkan satu buku amat berkait rapat dengan berapa jumlah unit yang kita mampu jual.

Sekiranya kita bincang bab cetak sahaja memang nampak mudah. Semakin banyak kita cetak, kosnya akan jadi lebih murah. Begitu juga sebaliknya.

Jika kita cetak bawah 200 naskhah kosnya akan melambung tinggi sedikit, mungkin kerana pencetak akan menganggapnya dalam servis POD (Print on Demand).

Sebagai contoh, jika kita cetak 2000 unit, kosnya untuk per buku mungkin dalam RM3. Tetapi jika kita cetak hanya 100 unit, kosnya mungkin RM7 per buku.

Jarang kita lihat pada sudut berapa yang mampu kita jual. Pendekatan yang perlu kita ambil adalah melihat kadar mampu jual.

Bagi menjawab soalan tadi, saya menyoal kembali, “Berapa banyak yang tuan boleh jual dalam tempoh 6 bulan?”

Tempoh 6 bulan diambil kira kerana itulah tempoh yang paling ekstrem bagi mengelakkan duit kita tercekik akibat belum balik modal.

Apabila kita melihat dari sudut mampu jual, kita tidak teringin untuk mencetak banyak. Malah mungkin kita berpuas hati dengan cetak sedikit, tetapi duit tidak hangus.

Komitmen Harian Bagi Menjual Buku

“Saya rasa boleh jual 2,000 unit!” kata peserta itu.

Sekarang kita bahagikan 2,000 unit itu dengan 6 bulan. Lebih kurang 333 unit yang perlu kita jual setiap bulan.

333 itu kita bahagikan lagi dengan 30 hari (sebulan bersamaan 30 hari). Lebih kurang 11 unit.

Maksudnya setiap hari, termasuk Sabtu dan Ahad, tanpa sebarang cuti, kita perlu menjual sekurangnya 11 unit buku.

Jika kita mampu jual sebanyak itu, maka barulah terus untuk mengira kos penerbitan lain yang termasuklah editing, layout, design cover, marketing, dan lain-lain lagi.