Puisi Itu Hanya Dua Baris …

Selepas isu buku Hafiz Hamidun yang dikatakan hanya selfie, kemudian kes buku yang puisinya hanya dua baris, dan seterusnya lawak doraemon dalam buku Acah-Acah Deep, ramai yang komen, “Kalau macam ni aku pun boleh tulis buku.” Ada juga yang tulis, “Nenek aku pun boleh tulis.”

Secara umumnya kenyataan itu betul. Semua orang boleh tulis buku.

Soalan yang lebih valid adalah, adakah ia akan terbit? Kita akan jawab soalan itu nanti.

acah-acah-deep

Buku Sebagai Merchandise

Kita cuba lihat dulu situasi ini.

Dunia buku adalah dunia yang dinamik. Sentiasa berubah, sentiasa berkembang mengikut zaman. Akan sentiasa wujud genre-genre baru.

Pada zaman ledakan media sosial sekarang, wujud pula buku yang sifatnya lebih kepada ‘merchandise’. Wujud sebagai barang kenang-kenangan. Ia lebih mendahulukan nilai sentimental.

Jadi siapa yang layak untuk ada ‘merchandise’ dalam bentuk buku? Orang itu mestilah selebriti laman sosial. Sama ada facebook, youtube, tweeter, blog, ataupun instagram.

Mereka ada follower, ada peminat mereka yang tersendiri. Mereka sudah dikenali dan ia memudahkan penerbit dalam urusan pemasaran.

Tidak bermakna buku yang wujud daripada ledakan laman sosial tidak ada isi. Ia ada isi dan hikmahnya yang unik, tetapi ia akan lebih difahami dan dihargai oleh para peminat mereka sendiri.

Namun, ada juga yang isinya memang luar biasa bagus dan boleh diterima ramai. Misalnya buku Mat Luthfi, Aiman Azlan, Saiful Nang, geng Komrad Buku, geng Tarbiah Sentap, dan beberapa lagi yang tidak sempat dinyatakan di sini.

saiful-nang

Begitu juga dengan buku-buku yang menjadi kecaman di media sosial sekarang. Penulis-penulis itu ada khalayak mereka sendiri. Ada pembelinya dan itu menjadi penyebab pihak penerbit berani menerbitkan buku-buku sebegitu. Sekiranya, kita bukan termasuk khalayak itu, jangan beli. Jelas ia bukan untuk kita.

Modal Untuk Terbit Buku Bagus

Mengapa pula penerbit mahu terbitkan buku seperti itu?

Di Malaysia, untuk menerbitkan buku-buku yang penuh ilmu dan sastera, perlu modal yang tidak sedikit. Modal itulah yang diperoleh daripada penjualan buku-buku begitu. Adakah buku akademik dan sastera tidak laku?

Kita jujurlah dengan diri sendiri. Buku-buku itu laku, tetapi ia belum cukup untuk membesarkan syarikat, belum cukup untuk memberi margin keuntungan kepada pekedai, dan belum cukup untuk kenaikan gaji kakitangan setiap tahun.

Harga bahan mentah pun sentiasa naik, semua naik, tetapi harga buku tidak boleh terlalu naik. Apa pilihan yang penerbit ada selain membuat apa mereka paling pandai buat iaitu membuat buku? (Tanpa mengira genre buku yang diterbitkan)

Apa Pegangan Penerbit?

Adakah penerbit dan penulis melanggar prinsip mereka?

Kita tidak perlu berprinsip yang aneh-aneh. Misalnya berprinsip, kami tidak mungkin terbitkan buku begitu, saya tidak akan tulis novel begini, tidak akan baca buku ini.

Cukuplah pegang prinsip, ‘saya tidak mahu menulis / menerbit / membaca buku-buku yang membebankan saya di kubur’. Jadi, mudah untuk kita saling terbuka dalam menerima bahan bacaan. Mudah untuk saling lintas genre tanpa terikat pada prinsip yang aneh-aneh.

Mengapa tidak kata sahaja, ‘saya akan menulis / menerbit buku yang memberi pahala dan manfaat kepada dunia’? Itulah matlamat kita.

Kita mahu sesuatu yang menerangi kubur. Namun, dalam kita mengejar matlamat, ramai terlupa untuk menetapkan syarat minimun. Sehingga ada yang menghalalkan cara (yang tidak halal) hanya untuk mencapai matlamat. Itulah perlu syarat minimun tadi, iaitu tidak membebankan kita di kubur.

Mengumpulkan Peminat

Tentang tulisan yang pendek-pendek, puisi yang hanya dua baris, cuba tahan diri kita daripada memandang remeh perkara itu.

Seperti yang diberitahu tadi, buku sebegitu mendepankan nilai sentimental. Kekuatan ‘nilai’ sebegini adalah, ia akan tembus ke hati penggemarnya. Walaupun hanya ada satu baris ayat. Malah sebenarnya, tulisan mereka yang dikecam dan viral itu hanya sebahagian daripada buku. Ada 70 ke 90 peratus lagi bahagian buku yang panjang penulisannya

Anda mungkin boleh menulis 1000 muka surat novel yang menang anugerah, tetapi apa jaminan ada ayat-ayat dalam novel itu yang menembusi, yang memberi kesedaran kepada pembaca?  Tetapi tidak mustahil, bukan?

Begitu juga dengan tulisan pendek-pendek tadi. Ia tidak ada jaminan, namun dalam masa yang sama, tidak mustahil juga untuk ia berlaku begitu kerana ia ada elemen sentimental untuk para peminatnya.

Cubalah buat ujikaji ini.

Taip nama penulis yang kita suka pada ruangan search di google, facebook, twitter, ataupun instagram, dan lihat apa keputusan yang keluar. Adakah nama penulis itu keluar bersama dengan quote-quote? Atau nama penulis dengan tajuk buku?

Sekiranya nama penulis tadi muncul bersama petikan / quote daripada buku mereka, itu tandanya ada bahagian daripada penulisan mereka sudah menembusi hati pembaca, dan membuat pembaca ingat dan mahu mengabdikannya, walaupun mungkin buku itu tidak menarik.

Sekiranya nama penulis keluar dengan tajuk buku sahaja tanpa quote, bukan bermakna ia tidak bagus, malah menunjukkan cerita atau isi buku itu bagus. Orang ingat ceritanya, rasa terhibur dan berbaloi. Ibarat, menonton filem dan rasa puas hati dan gembira.

Namun, biasanya akan keluar kedua-dua perkara. Tajuk buku dan petikan daripada buku itu sekali. Itulah bukti, bahawa tulisan-tulisan pendek juga mampu menyentuh hati pembaca.

Walaupun tulisan-tulisan dalam buku begini bersifat ringkas, namun untuk sampai kepada tahap ‘ringkas’ itu, mereka perlu melalui proses yang sangat panjang. Bertahun-tahun mereka mengumpul peminat mereka di laman sosial. Itu susah payah yang ramai tidak tahu. Malah mungkin tidak mahu ambil tahu.

Jadi, kita jawab soalan mula-mula tadi, sekiranya kita dan nenek kita menulis lebih bagus daripada mereka, adakah ia akan terbit?

Ya, sekiranya kita dan nenek kita punya fan base yang besar. Sekiranya status kita like pun tak sampai lima, macam mana? Masih boleh terbit juga, tetapi dengan merogoh kocek kita sendiri.

Akhirnya, sentiasa ingat, jaga hak kita sebagai pembaca. Hak kita sebagai pembaca adalah memberi kritik buku yang SUDAH kita baca.

Bukan kritik pada buku yang BELUM kita baca. Kita ini pembaca, golongan istimewa, bukan peramal. Jadi, jangan cabul hak istimewa kita, hanya kerana emosi terpancing dengan puisi dua baris itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *