Masih lagi saya teringat pengerusi PTS, Puan Ainon Mohd pada tahun 2010 mengatakan bahawa industri buku akan mengalami perubahan besar setiap 5-7 tahun.

PTS mengambil kesempatan atas perubahan besar pada tahun 2005 dan berjaya kawal kerosakan pada tahun 2010. Kini, pada tahun 2016 industri perbukuan tempatan sekali lagi mengalami perubahan besar.

Kita semua maklum dengan ulasan tentang industri buku yang merudum daripada artikel Industri Buku Hampir Mati?

Antara lain artikel tersebut menyenaraikan pelbagai faktor yang membawa kepada kehancuran industri buku. Berikut adalah rumusan ringkas daripada artikel tersebut:

  • Royalti 2015 masih belum dibayar. Sekarang sudah masuk fasa hujung 2016
  • Pesta buku lebih banyak dibuat, untuk kejar sales short term
  • Kedai buku dulu rakan industri, sekarang cekik darah penerbit
  • BB1M sebenarnya api dalam sekam
  • Internet dan Terbit Sendiri bantu penulis lompat pagar penerbit
  • Dalam dunia yang konten adalah percuma, bagaimana industri nak selamat?

Daripada poin yang ditunjukkan memang kita akan hiba dengan industri yang kita cintai ini.

Secara peribadi, ada satu poin yang menarik yang tidak disentuh di situ, iaitu perihal KotaBuku. KotaBuku yang dilihat sebagai penyelamat industri akhirnya seperti tidak berupaya menggunakan modal besar yang dianugerahkan kepada mereka untuk mengubah industri perbukuan negara.

Sejujurnya, lebih terasa impak daripada ITBM berbanding KotaBuku. Tapi, itu cerita lain.

Memang banyak betul perincian yang sepatutnya membuatkan kita menangis hiba di bucu katil sambil merenung rak buku kesayangan kita sambil mengenangkan masa depan yang suram. Tetapi, masa depan akan betul-betul suram jika kita terus menangis hiba.

Masa depan masih belum tiba, dan kita masih boleh berusaha memastikan ianya tidak suram, tetapi gemilang. Malah, ada pancaran sinar yang halus kelihatan menerobos keluar daripada awan gelap itu.

Ada dua trend yang menarik untuk kita lihat yang memberi bukti bahawa bukan industri buku yang kian menghancur, tetapi model bisnes buku sedia ada yang tidak sesuai lagi dengan lanskap penulis-pembaca sekarang.

Peningkatan Jumlah Penulis Baru

Trend yang pertama adalah peningkatan jumlah penulis baru yang menghadiri bengkel-bengkel penulisan seluruh negara. Rakan yang aktif dalam bidang bengkel penulisan khas untuk terbit buku, Tuan Zamri Mohamad dan Cikpuan Azzah Rahman dan juga bengkel penulisan khas untuk karya Facebook, Tuan Khairul Hakimin Mohamad kelihatan semakin sibuk dengan aktiviti bengkel yang tidak putus-putus.

Termasuk juga dengan pelbagai bengkel penulisan karya akademik peringkat universiti dan juga bengkel penulisan sastera yang masih bergerak. Begitu juga dengan peningkatan exposure penulis-penulis indie di internet dan juga penerimaan mereka secara mainstream.

Sebagai orang yang memerhati industri buku, tahun 2016 jelas menunjukkan penulis semakin ramai di media umum. Ini jelas menunjukkan bahawa kita tidak kekurangan penulis dan karya untuk diterbitkan. Jadi, faktor penulis dan kekurangan karya bukanlah faktor merudumnya industri buku.

Terbit Buku Sendiri

Trend yang kedua pula adalah telah wujud satu niche kecil yang membesar dengan pesat dalam industri buku iaitu Terbit Sendiri. Penulis yang sedia ada audiens memilih untuk terbit sendiri karya mereka dalam jumlah yang kecil dengan margin keuntungan (per buku) yang lebih kecil hanya semata-mata untuk melayan permintaan audiens mereka.

Sekecil manakah jumlah cetakan tersebut? Paling minimum adalah 50 unit sahaja. Dan paling besar pernah telinga saya dengar adalah 500 unit SETIAP BULAN. Tuan Ariffudin adalah individu yang banyak membantu ramai penulis untuk terbit sendiri buat pertama kali. Beliau adalah rujukan utama bagi industri terbit sendiri buat masa sekarang.

Ada penulis yang jualan buku terbit sendiri mereka sudah melebihi royalti Zamri Mohamad. Tidak tahu mahu sedih atau mahu gembira dengar berita sebegini.

Ini juga jelas menunjukkan bahawa pembaca tempatan bukan berhenti membeli buku. Cuma ‘buku apa’ yang mereka beli itu sudah berubah. Ada niche yang mana pasarannya semakin meranum.

Perubahan Dalam Industri Buku

Persoalan yang lebih teknikal, iaitu ‘Apa sebenarnya perubahan yang berlaku dalam industri buku?’ kita simpan untuk artikel yang lain.

Dalam erti kata lain, ya betul jualan buku semakin merudum. Tidak, bukan semua jualan buku merudum.

Cara pembaca mencari dan membeli buku sudah berubah. Perubahan tersebut mengakibatkan model bisnes industri buku yang lama tidak mampu ditampung lagi. Model Bisnes yang selari dengan perubahan pembaca ini semakin berkembang pesat.

Naik turun industri buku 2016 ini adalah berita baik bagi penulis, tetapi berita buruk bagi penerbit.