Pada satu hari yang indah, langit cerah disinari cahaya mentari. Burung-burung berkicauan dengan girang ibarat terjumpa seguni cacing tanah segar kemerah-merahan dan Pak Atan berpeluang melayan kopi pekat bancuhan Mak Senah di bawah pohon durian, nasib aku terbalik 180 darjah.

Seperti mana warga kota yang lain keluar pagi mencari rezeki, aku turut serta dalam bondongan manusia menunggang motorsikal ke pusat bandar Kuala Lumpur. Bezanya pagi itu, aku tidak terus ke pejabat tetapi ke KLCC dahulu.

Pagi itu, aku diperlukan untuk hadir ke pelancaran kereta BMW 7 Siries yang baharu. Memang dahsyat – kunci kereta dia pun siap ada touch screen display. Hebat. Boleh ‘auto-park’ kereta sambil pemandu ada di luar kereta, dan periksa ‘milage’ kereta pada bila-bila masa. Belum cerita lagi tentang radio dia boleh kawal suara guna hayunan ala Harry Potter sahaja.

Majlis pelancaran dibuat menggunakan TIGA dewan di Kuala Lumpur Convention Centre. Satu dewan untuk tunggu lepak minum sebelum acara mula, satu dewan untuk perkenalkan kereta dan satu dewan lagi untuk ‘refreshment’ sambil mempamer kereta dan bagi semua orang rasa sendiri kehebatan kereta (tanpa pandu uji).

Di situlah kita jolok orang-orang besar BMW tanya dia tentang ‘market insights’ pada pendapat mereka, prestasi jualan terkini mereka, perancangan ke hadapan dan persepsi mereka terhadap cabaran dan saingan untuk tahun ini.

Maklumat banyak. Selesai tugasan, aku balik ke pejabat. Lepas lelah dan angkut semula beg untuk ke tugasan kedua.

Kali ini aku bergerak ke kawasan yang pernah dikenali sebagai ‘Heritage Row’ satu ketika dahulu. Nak senang, ingat Sup Doraisamy. Situlah.

Bangunan Heritage Row yang dahulu menjadi syurga para kaki cucuk langit kini sudah berubah wajah sama sekali. Dengan nama baru ‘The Row’ (http://www.therowkl.com), ia bukan lagi tempat orang cari ‘ketenangan jiwa’ dengan berdansa dan mambuk-mabukan. Kini menawarkan ruang kedai dan pejabat, ‘event space’ serta ruang pejabat untuk usahawan ‘startup’.

Aku suka tempat ini, dan di waktu acara hampir mula, seperti biasa aku gagau perut beg, mencari buku nota untuk aku catat apa yang patut.

Gagau sekali – tak jumpa apa yang aku cari.

Gagau kali kedua – masih gagal dapat apa yang dihajati.

Gagau kali ketiga – kini aku pasti bahawa buku notaku tiada disitu.

Telan air liur, jantung berdegup maha laju, dan aku rasa muka aku dah pucat lesi waktu itu. Tapi sebab acara dah nak mula, aku tahankan sahaja dan buat muka macho.

Nak pasang recorder, suasana tidak membenarkan. It was too technical to describe, lain kali aku cerita.

“Mr. Imran do you have any question?” soal juruacara majlis kepada aku.

“No, not for the time being,” jawabku.

Hakikatnya, aku tak dengar pun apa yang mereka bebelkan di hadapan. Tak boleh fokus. Ligat otak aku fikirkan, di mana letaknya buku notaku itu. Segala nota dari acara pagi tadi ada dalam itu.

Nak bikin lagi parah, paling kurang, ada lagi dua temubual dalam buku nota itu yang aku belum proses jadi story.

Kata-kata sumpahan, macam-macamlah keluar. Apa sahaja kata maki yang ada dalam otak kau sekarang, semua tu aku seranah dalam hati kepada diri sendiri.

Kalaulah sekali sebut ‘babi’ itu, muncul seekor depan mata – aku yakin secara tiba-tiba di waktu itu seluruh pelusuk KL akan bergema teriakan ‘oing-oing’ merata-rata.

Fikir-fikir, tak dapat ingat di mana letak buku biru dengan huruf ‘B’ sebesar alam di kulitnya itu. Tiba-tiba penganjur ajak ‘walking tour’ pula…

Dan disitulah aku teringat – buku nota aku letak dalam ‘goodie bag’ daripada BMW tadi. Selepas acara aku makan di medan selera di KLCC dan waktu aku balik ke pejabat, aku perasan aku hanya berlenggang dengan beg sandang hitamku itu.

Sah! Pasti tertinggal selepas makan tadi.

Walaupun dalam perasaan gundah, ajakan penganjur aku turutkan sahaja. Walaupun aku resah, aku ada tugas di situ. Juga, mahu lihat bagaimana bangunan yang aku kunjungi dahulu berubah rupa.

Cantik – itu sahaja aku boleh kata. Kalau ada duit, mahu aku sewa satu ruang di sini.

Di akhir lawatan, kami dibawa ke restoran. Tamat sesi soal-jawab aku terpaksa tinggalkan pizza yang maha sedap demi bergegas merempit ke KLCC dengan harapan yang amat tinggi mencari beg kertas berwarna kelabu dengan cetakan timbul lambang BMW di kedua-dua sisinya.

Aku terpa ke meja tempat aku nikmati fettuccini carbonara tadi, hampa. Yang duduk di situ adalah satu keluarga warga asing sedang menikmati hidangan dengan gembira.

Lalu seorang eksekutif kebersihan, aku tegur dan tanya,

“Cik, ada jumpa beg kertas warna kelabu tengah hari tadi?”

Adik manis itu ambil sedikit masa untuk memanggil rakan sekerja lantas menyuruh aku ikut rakannya itu ke ruang makan yang baharu dibuka dekat situ.

“Beg itu ada isi apa?” soalan dilempar kepada aku.

“Ada buku nota warna biru, ada kertas-kertas beberapa barang lain,” balasku.

“Kami jumpa ini tadi tengah hari jadi kami simpankan. Encik periksa betul atau tidak, dan cukupkah barang-barang di dalamnya?” balas puan yang aku kira mungkin ‘supervisor’ para eksekutif pembersihan di situ.

Aku terima beg kertas kelabu dengan syukur, dan jadi teramat syukur bila lihat buku nota biru aku selamat tidak berusik dalam beg itu. Barang-barang lain pun ada. Satu pun tidak hilang.

Mimpi ngeri aku tamat. Aku ucap ribuan terima kasih kepada puan bos eksekutif lalu memecut pulang, menunggang kuda hitam beroda membelah lautan kereta yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Sehingga hari ini, aku masih dihantui mimpi ngeri itu. Sanggup simpan dua buku biru dalam beg pada satu-satu masa, siap siaga dengan rekorder setiap masa dan pen – biar banyak jangan tak ada sentiasa.

Buku nota, bagi kami para wartawan – adalah nyawa.

buku-nota-wartawan

Buku nota itu bukan hanya tempat kami salin maklumat bila nak buat berita. Tetapi ia juga harus disimpan walaupun dah habis diguna semua mukasuratnya.

Mana tahu kalau satu hari nanti artikel yang kami tulis, ada yang tak suka dan cari pasal bawa ke muka pengadilan, itulah antara bukti yang kami boleh guna untuk pertahankan diri.

Ia bukan hanya alat kami mencari rezeki. Ia adalah sahabat baik kami setiap masa.