Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini menyaksikan kemunculan booth yang dipenuhi dengan buku oleh penulis yang menerbitkan sendiri buku mereka.

Juga kemunculan banyak penerbit kecil yang cuba untuk belajar dan merasai pengalaman ‘Hari Raya Industri Buku’ ini.

Maka panduan ini ditulis untuk berkongsi secara pandangan mata burung tentang pecahan peratusan bajet yang sesuai untuk memastikan aktiviti bisnes di PBAKL berjalan dengan lancar.

Ini kerana, rata-rata penerbit sendiri dan penerbit kecil akan mengalami masalah yang sama setiap kali PBAKL. Tanpa pengalaman dan ‘bergesel bahu’ dengan mereka yang sudah biasa di PBAKL, mereka ini biasa termasuk dalam golongan ‘membakar duit sia-sia’ di Pesta Buku.

Mengapa sia-sia?

Kerana buku yang dicetak dan diletakkan di reruai tidak laku selaju penerbit-penerbit besar yang lain.

Mengapa pula buku tersebut tidak selaku itu? Dari sudut kualiti buku, kita boleh lihat masing-masing punya kualiti yang tersendiri. Dari sudut populariti penulis pula, kita boleh lihat ada penerbit kecil dan penulis terbit sendiri yang mampu menyaingi majoriti penulis bawah payung penerbit besar.

Beza paling ketara sebenarnya adalah pada: aktiviti pemasaran.

Bajet Yang Ramai Terlupakan

Penerbit besar sudah siap sedia dengan bajet aktiviti pemasaran untuk memastikan jualan mereka berjalan lancar.

Maka, pecahan bajet bagi mana-mana aktiviti pesta buku haruslah memasukkan aktiviti pemasaran sebagai salah satu kategori yang memerlukan bajet.

Pecahan yang sesuai bagi PBAKL adalah seperti berikut:

1. 40% untuk cetakan
2. 40% untuk pemasaran
3. 20% untuk operasi sepanjang pesta

Ya, bajet aktiviti pemasaran seharusnya sama banyak dengan bajet cetakan. Ini khusus bagi buku yang penulisnya aktif melakukan pemasaran sendiri.

Ya (sekali lagi!), bajet pemasaran harus disusun mengikut keaktifan penulis itu sendiri dalam memasarkan buku beliau yang akan muncul di PBKAL.

Penulis yang malas buat pemasaran? Abaikan mereka. Kita mahu mereka yang bekerjasama. Bukan yang malas.

Kepada penulis: ya, zaman industri malap ini kita harus sama-sama bantu membantu. Sedangkan penulis yang popular seperti Ramlee Awang Mursyid dan Fattah Amin pun bersungguh-sungguh bantu penerbit untuk pemasaran, apatah lagi kita yang tidak popular ini.

Kos Operasi

20% kos operasi juga ada dalam pecahan di atas. Namun ia sekadar jadi peringatan agar penerbit tidak pula terlupa tentang kos-kos lain yang mungkin lebih kecil, tetapi ianya tetap kos yang wujud dan tidak boleh diabaikan.

Contohnya adalah kos reruai, kos lojistik, kos makan minum, kos pembantu reruai dan pelbagai kos rencam yang lain.

Seperkara lagi: peratusan bagi setiap pecahan adalah cadangan penulis. Lain penerbit dan lain penulis memerlukan pecahan yang berbeza. Ikutlah strategi bisnes masing-masing.

Namun, daripada pengalaman membantu bisnes kecil bawah payung #notabisnes, jelas dilihat bahawa bajet pemasaran bukanlah bajet yang kecil. Apatah lagi terlalu kecil hingga boleh diabaikan.

Bajet pemasaran adalah antara bajet yang terbesar bagi mana-mana aktiviti bisnes yang jualannya laju.

Apakah aktiviti pemasaran yang boleh dibuat?

Mengapa pula penerbit yang perlu buat pemasaran, sepatutnya penganjur PBAKL lah yang buatkan?

Itu kita akan jawab dalam artikel akan datang.