Memahami cara kerja Ikram Al-Banjari:
~ Pengamatan sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

Jujur cakap, aku baru kenal beliau pada tahun lepas. Sebelum itu aku tak pernah tahu kewujudan dirinya. Projek Travellution buat kami berkenalan.

Di bawah Thukul Bersekutu, Ikram dan aku sama-sama ada satu buku. Ikram dengan Kembara Peniaga Jalanan serta aku dengan No PC No Jolok.

Buku beliau, setiap hari ada dalam carta Top 10 di reruai kami (yang menang kategori gerai terbaik itu).

Buku beliau laris.

Tidak tinggal walau satu naskah pun di reruai. Jangan kata pengunjung, Ikram sendiri pun tidak dapat beli buku yang dia sendiri tulis.

Buat yang belum kenal Saudara Ikram, beliau ini dah harung macam-macam benda dalam bisnes. Daripada pasar malam sampailah import export itu semua tersemat rapi di dalam dada.

Sepanjang seminggu dengan beliau di #PBAKL aku banyak memerhati cara beliau kerja. Banyak benda bagus boleh kita pelajari bersama.

Aku bentangkan satu per satu.

1. Hadir ke lokasi.

Ikram adalah antara penulis yang konsisten hadir ke reruai, setiap hari tanpa gagal.

Beberapa hari di awal pesta memang dia tak datang sebab di luar negara tetapi lepas itu, muka dia jadi figura tetap di sini.

Biasanya beliau akan hadir awal. Bahkan pada hari terakhir iaitu semalam beliau hadir ke reruai paling awal. Sesiapa pun tak sampai lagi termasuklah pekerja booth Jakim.

2. Pasang Channel.

Kalau aku hanya mengharap jualan secara ‘live’, Ikram ada beberapa orang yang buat kerja buat jualan dalam talian.

Orang-orang ini akan ambil order, kemudian datang ke reruai untuk dapatkan buku dan tandatangan Ikram.

Aku perhati, biasanya sekali datang mereka ini ambil tidak kurang 5 buku. Walaupun ada juga masa hanya 2 buku. Ada masa sampai berjengkal tingginya.

Dan satu hari bukannya mereka hanya datang sekali. Aku rasa mereka ini diarahkan untuk segera, pantang ada order terus diproses tak kisah berapa pun unit dibeli.

3. Intim pembeli.

Setiap autograf ditulis nama pembeli oleh Ikram sendiri.

Daripada pembeli bernama Syuskeri Annuar Baha Nordin

Ucapan beliau juga tidak generic. Ikram akan tailor made ikut keadaan pembeli (lihat item 4 untuk penjelasan panjang).

Tulisan – Aku tak tahu sama ada tulisan dia memang lawa atau dia ada berlatih, tapi kalau kau tengok autograph dia, memang bergaya!

4. Penghargaan kepada pembeli buku.

Ok ini poin mahal.

Untung orang yang datang live ke reruai, mereka akan sempat ditemubual Ikram dengan beberapa soalan:

a. Siapa nama?
b. Datang dari mana?
c. Ada berniaga apa-apa?
d. Kalau tak niaga, kerja apa?
e. Kalau niaga, lokasi berniaga di mana?

— Ikram akan ulas beberapa hal tentang bisnes yang dibuat dan lokasi niaga. Dan kalau dia ada plan nak ke tempat itu, dia beritahu dan kalau sempat, nak melawat perniagaan itu

Lepas itu dia akan masuk TAWARAN MAHAL

f. Dah ‘friend’ di Facebook?
– Kalau sudah, baguslah.
– Kalau belum, beliau akan offer — Hantar PM gambar dengan buku, bagitahu bila berjumpa dan nanti beliau akan ‘add friend’.

Semua ini berlaku dalam tempoh tak lebih 30 saat. Cuma ada masa, sembangnya jadi panjang bila tak ramai orang.

g. Swafoto. Di akhir sesi autograf, kalau pembeli tidak minta bergambar dengan Ikram, dia sendiri yang akan minta bergambar dengan pembeli. Guna kamera dia sendiri.

Kalau aku yang jadi pembeli, memang dah terasa kembang semangkuk weh!

5. Walk the talk sebagai ‘peniaga jalanan’

Sempat beberapa kali Ikram buat gaya meniaga pasar malam untul panggil pengunjung masuk ke reruai.

Aku pun ada buat benda sama tapi yang Ikram buat jauh lebih real menjadi. Iyalah aku mana pernah meniaga pasar malam. Nampak sangat fake bila aku buat.

Tiga benda yang aku perhati dia buat waktu memanggil pelanggan masuk-

a. Intonasi suara tidak memaksa. Suara sekadar orang boleh dengar dan faham apa yang dikata. Tidak jerit-jerit.

b. Bahasa badan. Sambil menyeru pelanggan, bahasa badan digunakan sesuai dengan apa yang dikata.

c. Alert keadaan sekitar. Aku paling suka bila sambil-sambil dia menyeru, dia nampak abang Pyanhabib sedang menjual di lantai.

Tiba-tiba keluar skrip “Ok..harga lantai…harga lantai…”

Masa itu aku kata pada diri sendiri. Sah dia ini memang peniaga sejati.