Dalam dunia penulisan fiksyen, salah satu cara cepat untuk membina nama adalah melalui penerbitan cerpen di akhbar, majalah atau antologi penerbit yang tumbuh semakin banyak.

Secara tidak langsung, menghantar karya supaya terbit di ruang terbitan berkala menjadi platform yang baik membina momentum dan semangat untuk terus berkarya.

Sementara menanti manuskrip novel dibukukan, kaedah ini ada masanya dilakukan ramai penulis tempatan. Kita juga tidak mahu menjadi penulis yang berputus asa kerana tidak ada karya yang terbit.Hari ini, saya mahu berkongsi mengenai penerbitan karya secara eceran di majalah tempatan.

Bagaimana mahu melihat karya terbit di majalah?

Langkah Pertama: Beli majalah

Buat pelaburan awal anda dengan membeli majalah yang ada di pasaran. Penulis yang baik, tindakannya dirancang dan bermatlamat.

Sudah ada majalah?

Semak TIGA perkara.

(a) Satu, maklumat editorial dan ruang kolum majalah. Ada ruang karya pembaca? Jika ada, adakah ia ruang cerpen atau puisi?

(b) Dua, periksa nama pengelola ruangan (jika ada) dan ambil maklumatnya.

(c) Tiga, lihat maklumat penerbitan. Adakah ia diterbitkan secara mingguan, bulanan atau selang dua bulan? Mengetahui maklumat ini, penulis boleh mencongak masa untuk membuat follow up status karya.

Langkah Kedua: Kaji

Selepas memeriksa tiga perkara asas tadi, kita lanjutkan kajian.

(a) Baca isi majalah secara keseluruhan dan lihat jenis konten yang dikongsi. Tajuk-tajuk perkongsian para kolumnis, sering menjurus ke mana? Bahasa penyampaiannya, bagaimana?

(b) Juga, kaji karya yang terbit. Apa yang saya maksudkan dengan kaji? Periksa tema, jumlah perkataan dan bahasa. Adakah karya mesti diselitkan hadis atau ayat al-Quran? Adakah kebanyakan karya yang terbit menggunakan POV1? Bahasanya, santai atau bagaimana?

Mengapa perlu baca isi majalah?

Untuk dapatkan ilmu baru, yang penting sebagai input dalam karya kita nanti. Kita adalah apa yang kita baca.

Langkah Ketiga: Tulis

Sudah tahu jenis karya yang terpilih untuk diterbitkan, mula merangka dan tulis karya kita. Bersesuaian dengan tema majalah berkenaan.

Sudah siap, edit sendiri. Pastikan karya kita minimal kesalahan tatabahasa dan ejaan.

Jika tak mahu edit, dapatkan khidmat editor bebas. Biasanya, harga servis di antara RM3.50 – RM6 per halaman, bergantung kepada tugasan yang diedit.

Siapkan juga satu dokumen lagi yang mengandungi profil penulis.

Apa yang perlu diisi dalam profil penulis?

  • Nama penuh
  • Nama pena (jika ada)
  • Emel
  • No telefon
  • Alamat surat-menyurat
  • Maklumat bank (nama bank dan no akaun)
  • Perakuan (penulis mengaku karya yang dihantar adalah bukan karya ciplak atau plagiat, juga belum pernah diterbitkan di mana-mana ruang online dan offline).

PENTING: Letak nama dokumen dengan lengkap.

Contoh: Cerpen Pangkat – Mingguan Wanita – Rahmah Mokhtar.docxCerpen Pangkat – Profil Rahmah Mokhtar.docx

Langkah Keempat: Hantar

Apabila karya sudah siap, buka emel, karang isinya dan hantar. Lampirkan kedua-dua dokumen, karya dan profil penulis.

Apa yang perlu ditulis dalam isi emel?

Ini yang selalu dikongsikan oleh guru-guru saya.

  • Ucapan salam, doa
  • Perkenalkan diri
  • Maklumat karya – sinopsis keseluruhan (setengah halaman A4)
  • Maklumat lampiran – nama dokumen yang dilampirkan.

Langkah Kelima: Tulis lagi

Selepas menghantar karya, kita terus menulis cerpen seterusnya.

Tempoh menunggu karya terbit, selalunya di antara 1 hingga 6 bulan. Sepanjang tempoh itu, kita hasilkan karya lagi untuk majalah yang sama atau majalah lain pula.

Bila masa yang sesuai untuk buat follow-up?

  • Sehari atau dua hari selepas hantar emel, untuk tanya status penerimaan.
  • Selepas dua minggu, untuk tanya status penilaian (kala majalah mingguan).
  • Selepas sebulan, untuk status penilaian (kala majalah bulanan).

Letak tajuk emel yang jelas.

Contohnya, Pertanyaan: Status Penilaian KaryaBagaimana jika tiada khabar selepas enam bulan?

Selalunya, ia bermakna karya ditolak. Tenang sahaja, emel editor dan tanya status penilaian karya sekali lagi.

Jika tiada maklum balas, hantar emel kedua dengan tajuk yang jelas; Menarik Semula Karya (Judul: Pangkat).

Dah tarik balik karya, edit dan sesuaikan dengan Ruangan Pembaca di majalah lain pula.

Baik, sampai di sini sahaja.

Selamat menulis!

Rahmah Mokhtar
Suka menulis cerpen untuk majalah.
Pengasas TulisCerpen101.com