Penulis adalah orang golongan kreatif. Golongan kreatif ini memang nafasnya ada hanya untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Karya yang menjentik emosi pembaca.

Karya yang mampu membuatkan pembaca termenung panjang, berfikir dalam-dalam.

Karya yang mampu membuatkan pembaca melompat dari kerusi dan menjerit kegembiraan kerana masalah beliau sudah nampak jalan penyelesaian.

Itu sememangnya fitrah seorang penulis.

Editor perolehan dan penerbit pula adalah golongan bisnesman. Golongan ini memang nafasnya ada untuk menghasilkan jualan.

  • Untuk survive dalam pasaran yang mencabar ini.
  • Untuk membayar gaji editor kreatif, pasukan gudang dan pencetak.
  • Untuk memastikan ada duit cetakan buku bestseller untuk jualan bulan hadapan.

Itu sememangnya fitrah penerbit.

Kehendak dan Keperluan Kita Berbeza

Penulis menghasilkan karya bermutu, Penerbit menjual karya bermutu.

Namun selalu juga kita dengar bisikan-bisikan halus di meja kopi penulis, meluahkan perasaan yang penerbit ini berat sebelah. Hanya cetak buku bestseller untuk kantung sendiri. Karya bermutu tidak dicetak walhal itulah wadah yang sepatutnya masyarakat baca.

Kita juga selalu dengar bisikan-bisikan lelah di meja kopi penerbit, meluahkan perasaan tentang penulis yang memaksa mereka mencetak dan menjual karya mereka. Mencetak dan menjual karya ‘bermutu’, tetapi apabila diletak di rak, tiada siapa pun mahu sentuh. Jualan setelah 6 bulan tidak mampu membayar kos kertas. Justeru tidak diulangcetak, dan penulis itu marah-marah di facebook.

Penulis marah-marah, kata “Buatlah marketing! Hantarkan pasukan jualan yang lebih baik, yang mampu menerangkan mutu buku ini kepada pembaca!”.

Ehem, kita ada masalah komunikasi. Kita ada masalah salah faham.

Kita salah faham apakah yang dimaksudkan dengan ‘karya bermutu’.

Kita juga tidak sefahaman tentang ‘apa yang pembaca mahu VS apa yang pembaca perlu’.

Kita bergaduh tentang “Mana lebih penting? Buku bermutu atau Untung Jualan?”

Walhal kita sama-sama tahu, kedua-duanya sama penting!

Apa yang kita tidak tahu, dan sekarang sudah tahu, adalah “Buku yang bermutu untuk pembaca sekolah tidak sama dengan buku bermutu untuk pembaca indie, juga tidak sama dengan buku bermutu untuk pembaca eksekutif, juga tidak sama dengan buku bermutu untuk pembaca sastera”.

Ya, setiap buku ada kelompok pembacanya. Ibarat setiap keris ada sarungnya yang tersendiri.

Salah sarung memang tidak muatlah keris itu. Rosaklah alurnya.

Salah pembaca memang tidak terjuallah buku itu. Rosaklah mutunya.

Membandingkan buku bermutu dan untung jualan, ibarat membandingkan hujan di gunungan dengan air di laut. Tidak sama namun berkait. Jika buku bermutu sampai pada pasaran pembaca yang betul, maka untung jualan pasti tiba.

Penulis dan penerbit turut sama-sama gembira.

**********************

Dapatkan ebook ’97 Templat Tajuk Memikat’ di sini –>> http://yezza.net/umum/custom/97-templat-tajuk-memikat-946