Mengapa Mahu Jadi Penulis Cerpen

Sebelum bermula, tanyakan soalan ini kepada diri sendiri. Seperti kanak-kanak yang sentiasa mahu tahu, tanyakan diri kita dengan soalan ‘mengapa?’ ini.

Ya, mengapa kita mahu menjadi penulis? Lebih tepat, mengapa kita mahu menulis cerpen?

Menurut panduan yang digariskan oleh Buya Hamka, pengarang dan ulama terkenal Indonesia, penulis yang jelas dengan tujuan menulis akan dapat menghasilkan karya yang baik.

Ada dua kategori penulisan.

  1. Penulisan berasaskan nyalarasa (passion)
  2. Penulisan berasaskan keuntungan (profit)

Antara minat (passion) dan keuntungan (profit), yang mana harus didahulukan? Suka saya mahu datangkan, kita boleh menulis kerana kedua-duanya, selagi ia tidak membelakangkan syariah. Matlamatnya, supaya kita menjadi penulis yang disayang Allah.

Passion x Profit = PP (Penulis Prolifik)

Penulisan berasaskan nyalarasa.

Bagaimana kita boleh mengetahui yang minat ini boleh dikembangkan? Salah satu cara bereksperimen adalah dengan menulis cerpen. Ramai penulis prolifik seperti Abdul Latip Talib, Ain Maisarah, dan Damya Hanna bermula dengan menulis cerpen.

  1. Tuan Abdul Latip Talib, penulis novel sejarah nombor satu negara bermula dengan menulis untuk pertandingan dan sayembara penulisan cerpen.
  2. Puan Ain Maisarah, penulis buku remaja nombor satu negara bermula dengan menulis cerpen untuk MAXIS. Kata Puan Ain, penulisan cerpen boleh membantu penulis mencari genre dan gaya penulisan yang sesuai dan selesa  buat penulis.
  3. Puan Damya Hanna, penulis novel best-seller Alaf 21 bermula dengan cerpen-cerpen autobiografi semasa di sekolah.

Bagaimana mahu mengekalkan nyalarasa ini?

Ada ketika, kita sangat bersemangat dan seronok kerana memilih mahu menjadi penulis. Tetapi, ada masanya kita hilang semangat dan berasa langsung tidak bermotivasi. Jadi, bagaimana hendak memastikan nyalarasa sebagai penulis ini tidak mati? Ada enam kaedah mendapatkannya, seperti yang dikongsikan oleh Barrie Davenport, seorang jurulatih kerjaya.

1. Kenal diri sendiri.

Sebelum ‘suara’ kita didengar oleh orang lain, penulis perlu mendengar ‘suara’ sendiri dahulu. Seorang penulis mesti tahu apa yang membuatkan dirinya terusik, gembira, sedih, termotivasi, rasa bertenaga dan paling utama, dia tahu pegangan yang dia pilih dalam hidup.

2. Kenalpasti kualiti diri.

Apa kekuatan penulis? Apa skil yang dikuasai penulis, yang membuatkan hasil tulisannya lebih mudah ditulis dan ‘sampai’ kepada pembaca? Ada penulis yang mudah terganggu apabila perlu menulis cerita pengalaman dengan sudut pandang pertama, tetapi ada penulis lain boleh menulis dengan laju apabila menggunakan teknik yang sama.

3. Cipta matlamat.

Sesudah kenal diri dan mengenalpasti kekuatan diri, sediakan matlamat realistik yang boleh dicapai. Sebagai Mukmin, kita manfaatkan pesanan Tuhan dalam surah adz-Dzariyat ayat 56, “Tidaklah Aku mencipta jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” Ya, jadikan penulisan itu ibadah dengan menulis dan berkongsi hal-hal baik yang menjuruskan kita ke jalan menuju Tuhan.

4. Alihkan halangan.

Isu dalaman seperti rasa tidak percaya diri, ragu-ragu dan lain-lain yang berkaitan akan timbul dan mengganggu rentak. Kenalpasti semua halangan kecil ini dan atasi satu per satu. Seperti yang disebutkan sebelum ini, menulis cerpen adalah fasa mencari genre dan keselesaan penulis, yang juga menjadi platform membina keyakinan diri.

5. Reset minda.

Beri kebebasan kepada diri kita. Berhenti berkata kepada diri, “Saya mesti buat ini.” Ubahkan perkatan mesti itu kepada “Saya pilih mahu melakukan ini.” Mengapa? Supaya kita tidak rasa terbeban dengan apa jua yang kita lakukan. Hidup ini pilihan.

6. Sediakan perancangan.

Sudah buat pilihan yang perlu? Akhir sekali, siapkan rancangan yang mendekatkan kita dengan kejayaan. Ikut langkah itu satu demi satu dan mulalah menulis dengan nyalarasa yang sudah dijumpai. Setiap kali tersangkut, kembali kepada persoalan pertama, “Mengapa saya menulis?” Insya-Allah, ia akan buat kita mahu jalan terus.

“Fill your paper with the breathings of your heart.” – William Wordsworth

Untung?

Ia akan datang apabila penulis tahu apa yang dia lakukan. Insya-Allah.

Yang baik itu daripada Allah. Segala kekurangan dan kesilapan itu adalah daripada kelemahan saya sendiri.

Jom selfie. Mari muhasabah diri.

2 Comments

  1. Tuan Aiman, terdapat pelbagai cara bagi berkongsi hasil tulisan (cerpen).
    1. Blog.
    2. Hantar karya ke akhbar, majalah, atau laman web.
    – Untuk akhbar dan majalah, tuan boleh semak bahan bacaan berkenaan dan dapatkan person-in-charge.
    – Untuk laman web (contoh: ilham karangkraf), hanya ikuti panduan memasukkan karya di laman web.

    Insya-Allah, saya akan kupas isu ini dalam artikel akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *