Macam mana encik cari masa untuk menulis? Saya sudah cuba macam-macam cara tapi tidak dapat juga nak konsisten.

Ini antara soalan yang biasa aku dapat dan aku ada cara mudah menjawabnya.

Untuk pengetahuan, mencari masa untuk menulis bukanlah masalah spesifik orang yang baru hendak mula menulis sahaja.

Orang yang kau lihat hari-hari keluar status panjang-panjang itu pun hadapi masalah yang sama.

Beza dia dengan kau adalah, cara dia menghadapi masalah itu.

Ada DUA cara utama menulis di FB.

a. Siaran Tertangguh (ST)
b. Siaran Langsung (SL)

Siaran Tertangguh

ST adalah cara yang paling selamat dan banyak diguna oleh orang-orang terkenal yang kau biasa lihat di FB.

Caranya ialah menulis sesuatu post lebih awal dan disimpan dalam satu tempat (biasanya di cloud atau emel) lalu disiarkan bila tiba waktunya.

Sebab itu namanya ST. Sudah lama siap tulis tapi ditangguh daripada dimuat naik ke FB.

Jadi kau boleh guna apa juga sela masa yang kau ada untuk siapkan sesuatu post yang akan disiar pada masa hadapan.

Kau akan ada masa yang cukup untuk buat kajian, survey, observation massa dan boleh revise penulisan bila ada maklumat baharu berkaitan hal yang kau tulis.

Mungkin tulis hari ini untuk esok. Mungkin juga tulis hari ini untuk bulan depan!

Jadi kau tak perlukan satu masa khusus untuk pulun tulis.

Sebaliknya lepa masa yang sikit-sikit itulah kau guna untuk tulis seperti waktu tunggu makanan siap dimasak, tunggu bas atau buang air besar.

Namun bagi penulis tegar, meskipun guna ST, mereka akan tetapkan juga masa khusus untuk menulis. Cuma mereka boleh pilih masa yang mereka mahu.

Kalau hari-hari mereka up status pukul 8 pagi, boleh jadi mereka menulis pukul 3 pagi.

Dua orang yang hebat menulis gaya ST adalah Khairul Hakimin Muhammad dan Izwan Wahab. Aku pernah tengok stockpile Izwan dan aku rasa macam dalam syurga.

Jadi kalau nak tahu lebih tentang cara ini, hubungi mereka. KHM memang sedang buka kelas online tapi kalau Izwan, kau kena berdoa lebih sikit agar dia buka semula masterclass dia.

Siaran Langsung

Beralih kepada SL – Ini mudah sahaja hendak dijelaskan.

Kau tulis dan terbit pada masa yang sama.

Aku guna cara ini. Sebabnya? Sebab malas hendak buat stockpile cara SL.

Lagipun aku dah kenal pasti satu poket masa yang aku ada setiap hari untuk menulis.

Setiap hari selepas aku lambai kepada isteri dan anak pergi ke pejabat/taska, aku ada masa lebih kurang 30 minit untuk menulis sebelum aku pi mandi dan siap nak pi kerja.

Status ini yang kau sedang baca ini, inilah dia. Baru tadi mereka jalan, aku tulis benda ini kejap dan kejap lagi pi mandi.

Cara SL sesuai diguna oleh orang yang tiada masalah merangka penulisan hanya menggunakan minda.

Penulis SL juga tiada masa spesifik untuk buat kajian/pemerhatian jadi dia perlu melakukan benda-benda ini sepanjang masa.

Ini bererti dia kena sentiasa baca berita, keep up with whats trending in social media dan simpan semuanya itu dalam kepala.

Jika artikel beliau perlukan gambar, bukan waktu tulis baru hendak pergi tangkap tetapi memang sudah standby siap watermark lagi, ready anytime untuk diguna.


Pada aku, tidak kisah kau guna ST atau SL, apa yang penting adalah kau selesa dengan cara yang kau guna.

Asalkan kau dapat siarkan post secara konsisten, itu pun dah cukup bagus sebenarnya.

Tip Maha Utama yang aku nak pesan adalah – don’t overthink!

Kadang-kadang orang nak tunggu sampai dapat capai level perfection baru nak tulis.

Dalam penulisan mana ada benda perfect. Hal yang nampak elok di mata kau, buruk di mata orang lain. Begitulah juga vice versa.