Jika penulis melihat dari aspek penulis dan karya, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan satu contoh bagaimana mengalihkan pengetahuan menjadi penulisan yang hayatnya berpanjangan.

Pada tahun 2009, beliau disenaraikan sebagai tokoh berpengaruh dalam buku “The 500 Most Influential Muslims”.

8 Prinsip Menyampaikan Ilmu

Ada lapan perkara diikat dalam disiplin ilmu pengkaryaan beliau.

Mudahkan

[1] Menulis kembali ilmu dalam pemilihan perkataan yang senang difahami dan contoh tempatan yang mudah kepada khalayak membacanya. Mereka yang berpendidikan rendah sehingga yang berpendidikan tinggi mendapat kemanisan ilmu yang sama dari buku yang serupa.

Pecahkan

[2] Memecahkan topik-topik kepada buku-buku yang berbeza bagi kemudahan pembaca mengikuti satu persatu. Ini menjadikan tempoh bernafas pembaca lebih panjang bagi menghadam satu persatu topik besar yang dipecahkan secara berangkai.

Teruskan

[3] Fokus dan konsisten menulis dari satu tahun ke satu tahun, sebagaimana penulisan mingguan dalam akhbar Harakahdaily yang dilabel sebagai penulis ‘penyejuk minda’.

Bukakan

[4] Membuka peluang kolaborasi penulis lain bergabung dengan beliau untuk beberapa siri penulisan ilmu. Tiada pintu tertutup untuk se’kulit buku’ mendapat sedikit berkat bersama tuan guru. Semua diraikan.

Visualkan

[5] Banyak menggunakan contoh dan analogi yang memudahkan pembaca. Seperti mana Al Quran menggunakan perumpamaan, jejak yang sama diaplikasikan dalam penulisan beliau.

Gabungkan

[6] Menggabung jalin fakta sejarah dan situasi hari ini menjadikan apa yang dahulu masih relevan sehingga sekarang. Apa yang berlaku dalam sirah Nabi, para sahabat, ulama terdahulu dan tamadun sebelum ini diangkat segar menjadi perbincangan kontemporari.

Ulangkan

[7] Fokus dan konsisten pada satu topik yang diulang-ulang dalam kuliah dan penulisan beriringan. Pasak ilmu dan pasak kefahaman semakin mendalam ke atas diri pembaca.

Jalinkan

[8] Ulasan ilmu dunia diikat bersama ilmu wahyu melalui tafsir Quran, hadis dan pandangan para ulama bidang. Bagi penulis umum, bersandarkan tafsiran rujukan daripada mereka yang ahli.

Pengkaryaan Tuan Guru, satu ikhtiar memudahkan pembaca dengan memberi pengetahuan yang menyelamatkan kita dua dunia.

Buku yang ditulis di dunia dicetak di atas kertas, di skrin menjadi ilmu yang didigitalkan dan di alam kubur ia menjadi mentol yang menerangi kegelapan.

Allah jua yang memberi reda atas usaha Tuan Guru. Kami para penulis mengikut prinsip kerjanya.

“Keep fighting in your writing.”