Pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, kedengaran keluhan beberapa penerbit baru mengenai kehilangan buku.

Hilang adalah perkataan yang baik. Sebenarnya yang berlaku adalah buku dicuri!

Kenapa orang mencuri buku di pesta buku?

1. Bibliokleptomania

Merupakan masalah psikologi, kecenderungan mencuri buku yang tinggi.

Pada kurun ke-19, Rev. W.F. Whitcher seorang pastor Methodist didapati mencuri buku-buku edisi terhad yang dijual di kedai buku.

Manakala pada tahun 1990, Stephen Blumberg, didakwa mencuri buku-buku yang membawa nilai $5.3 juta. Sejumlah 23,000 buah buku pelbagai judul ditemui.

2. Pasaran gelap

Pemilik kedai buku-buku agama yang kami temui memberitahu, buku Indahnya Syariat tulisan Ustaz Ismail Kamus merupakan buku yang paling kerap hilang di kedai buku pada tahun ia diterbitkan.

Buku mahal yang dicuri dapat dijual pada harga lebih rendah.

3. Best-seller

Meletakkan perkataan best-seller pada kulit buku diibaratkan gula yang berteraburan yang dihurungi semut. Buku-buku ini dilihat berpotensi mudah dijual secara cepat oleh pencuri buku. Selain best-seller, nama penulis yang kerap diangkat dalam media sosial juga berhadapan situasi yang sama.


Buku apa yang hilang?

Soalan paling menarik yang dapat diangkat dalam hal kecurian buku. Kategori buku mana yang paling banyak dicuri? Adakah buku-buku sastera yang dijual pada pesta buku mengalami perkara yang sama?

Perbandingan ini menarik disebabkan satu perkara.

Kegiatan curi buku di pesta buku menggambarkan nilai pasaran sesuatu judul yang dapat dijual semula dalam tempoh singkat dan pada kuantiti yang banyak.