Baru-baru ini, saya bersama empat rakan penulis telah secara sukarela terbang ke Jakarta bagi menyertai kemeriahan Indonesia International Book Fair (IIBF) 2016 di Balai Sidang Jakarta, Senayan.

Kami berkampung di sana selama lima hari, dari 29 September hingga 3 Oktober 2016 atas nama aktiviti Writers Trip: Jakarta Book Hunting.

Tahun ini adalah kali kedua saya ke IIBF, selepas 2011 dahulu, pun secara sukarela. Segala kos ditanggung sendiri. Bezanya, kali ini ada Malaysia sebagai Tetamu Kehormat IIBF. Jadi, ada Pavilion Malaysia dan banyak acara pentas yang melibatkan panel dari Malaysia di sana.

This slideshow requires JavaScript.

Saya sempat menghadiri beberapa sesi forum dan bual bicara yang diadakan. Antaranya;

  • Forum: Mengantarabangsakan Karya Nusantara. Panel: Dr Saleeh Rahamad (Presiden PENA Malaysia) dan Bapak Nung Atasana (Pengarah Borobudur Agency). Moderator: Shake Faisal.
  • Talkshow: Indonesia Untuk Dunia – Menuju Frankfurt Bookfair 2016. Panel: M Aan Mansyur (Penyair) dan Mayumi Haryoto (Ilustrator).
  • Talkshow: Sastra Korea. Panel: Prof Shin Yeong-deok (pensyarah Bahasa Korea, Universiti Pendidikan Indonesia) dan Prof Ibnu Wahyudi (sasterawan / pensyarah Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya, Universiti Indonesia).
  • Meet & Greet: Hanif Thamrin, Pemburu Di Manchester Biru. International Producer of City TV, Manchester City.
  • Meet & Greet: Puuung, ilustrator novel grafik Love Is (Korea Selatan).
  • Forum: Penerbitan Indie Nusantara. Panel: Ronny Agustinus (Marjin Kiri), A S Laksana (sastrawan), ZF Zamir (Thukul Chetak), Khairul Hakimin Muhammad (DuBook Press). Moderator: Rozlan Mohamed Noor.
  • Pra Peluncuran buku Nisan Batu karya Mak Dizdar (Penyair Ternama Bosnia), diterjemahkan oleh Bapak Sapardi Djoko Damono (Penyair Ternama Indonesia). Terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia.

9 Nasihat Buat Penulis Kreatif

Disebabkan saya penulis kreatif, maka saya senaraikan di sini beberapa poin berkenaan penulisan kreatif yang saya perolehi daripada acara-acara di IIBF 2016.

  1. Bapak Nung Atasana menyatakan bahawa, buku yang mudah diterima di peringkat antarabangsa ialah buku sastera dan buku kanak-kanak. Di Indonesia, komik mereka malah berjaya dilesenkan ke Jepun, pengeluar manga paling besar di dunia.
  2. Dr Saleeh Rahamad menegaskan, penulis Malaysia perlu lebih berani berkreatif. Jangan hadkan menulis cerita tentang Malaysia hanya ada satu kaum. Sedangkan, Cina di Malaysia tidak sama dengan Cina di China. India di Malaysia juga tidak sama dengan India di India.
  3. Tuan Shake Faisal membuat kesimpulan, untuk mengantarabangsakan karya nusantara, tulis konten tempatan yang isunya global.
  4. M Aan Mansyur terkenal dek puisi-puisi yang dikarangnya buat Cinta mewakili Rangga dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2. Buku puisi Tidak Ada New York Hari Ini mengumpulkan koleksi puisi filem itu. Hakikatnya, Aan sendiri tidak pernah ke New York. Beliau mengkaji peta New York selama enam bulan, menghantar banyak e-mel kepada fotografer di New York untuk melihat foto-foto jalanan kota itu, dan membaca buku Humans of New York dan buku-buku tentang ekspatriat di New York bagi mendapatkan rasa tanah paling banyak penduduk di Amerika itu untuk dimasukkan ke dalam puisi Rangga.
  5. Kata Aan, “Selama ini cara kita memandang penyair, kerjanya mengelamun, murung, patah hati, jatuh cinta. Sebenarnya, tidak. Saya ketika menulis puisi itu sama sahaja keadaannya dengan mahasiswa sedang menulis tesis. Saya melakukan research dan mengumpulkan bahan. Cuma model dan cara bertuturnya sahaja berbeza. Saya tidak putus cinta. Saya tidak jatuh hati. Jadi kalau itu teorinya untuk orang menulis puisi, maka saya tidak mampu selesaikan (buku Tidak Ada New York Hari Ini).”
  6. Menurut Aan lagi, “Dunia penulisan membantu saya dalam banyak hal. Kita mahu berbual dengan seseorang, tetapi kita tidak perlu bertemu dengan orangnya. Saya bukan orang yang mudah bergaul, berbasa-basi. Jikalau orang ramai begini, saya rasa tenaga saya disedut banyak sekali. Saya berasa cemburu melihat penulis-penulis klasik, buku mereka dibaca oleh banyak orang tetapi mereka tidak perlu bertemu pembacanya. Tapi dunia berubah, saya merasakan perlu belajar dan mengatasi itu dengan bertemu pembaca saya. Cuma itu membuatkan saya berasa dapat membalas waktu mereka membaca dan mendengar puisi saya, menghabiskan wang untuk membeli buku-buku saya. Akhirnya saya belajar dan itu bukan pekerjaan yang mudah.”
  7. Prof Ibnu Wahyudi mengatakan, “Hallyu wave (gelombang Korea) menjadi sebuah kehadiran yang penting, ternyata Korea bukan hanya SNSD, Super Junior, ataupun drama-drama. Korea juga mengeksport sebuah karya sastera yang bagus (The Vegetarian). Han Kang, sebagai wanita pertama Korea yang memenangi Man Booker International Prize, saya kira luar biasa. Dari Indonesia ada juga penulis yang masuk senarai panjang Man Booker Prize iaitu Eka Kurniawan. Tapi mungkin kita harus belajar banyak daripada Korea yang memang mempunyai tradisi sastera yang jauh lebih tinggi, lebih dahulu, dan lebih intensif. Ini waktu yang tepat bagi kita untuk tidak hanya melihat Korea dari hanya K-Pop dan drama-drama yang menyebabkan kita menangis. Tetapi ternyata ada karya yang mengajak kita memahami hidup ini dengan lebih mendalam.”
  8. A S Laksana apabila ditanya tentang penggunaan bahasa dalam karya indie Indonesia, beliau berkata, “Kami menerbitkan buku yang kami cintai. Jadi, bahasanya juga dijaga.”
  9. Hampir semua karyawan Indonesia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa, memanfaatkan media sosial bagi memasarkan jenama diri dan karya-karya mereka. Menurut Bapak Nung, “Penulis Indonesia berinisiatif sendiri menggunakan media sosial dan blog. Malah bukan sekadar blog, mereka juga mewujudkan laman web dalam Bahasa Inggeris. Bagi yang belum lagi aktif, kami (penerbit dan ejen literari) mendorong mereka melakukannya.”

Industri Buku Indonesia Giat Berkembang

Pengusaha industri di Indonesia bergerak pantas dan bebas berkreatif. Buku-buku terjemahan dari seluruh pelosok dunia begitu banyak dan segera diterbitkan demi memandaikan bangsa melalui bahasa mereka sendiri. Hampir tiada buku Bahasa Inggeris di toko-toko buku melainkan di satu rak khas dalam kedai buku besar seperti Gramedia.

Daripada IIBF dan aktiviti memburu buku yang kami lakukan sepanjang lima hari di Jakarta, saya mendapati Malaysia masih jauh keciciran dalam banyak hal. Indonesia sangat meraikan buku, penulis, dan pembaca.

Jumlah rakyat Indonesia yang berkali-kali ganda lebih berbanding jumlah rakyat Malaysia, tidak sepatutnya menjadi alasan mengapa industri buku kreatif Malaysia tidak mampu menjadi sebesar mereka. Lebih syahdu lagi, kerajaan Malaysia menyediakan banyak dana bagi menggerakkan industri. Sedangkan penerbit dan karyawan Indonesia, mendanai kerja mereka sendiri.

IIBF 2016 menjadi medan menginsafi diri. Tidak boleh lagi melayan halusnya jiwa seni.

Karya-karya kita harus disebarkan lebih luas lagi dan itu memerlukan komitmen besar untuk menolak segala perbalahan pendapat dan perdebatan sombong jauh ke tepi.