“Waaah!”

“Rupanya boleh buat begitu dalam perkara ini!”

“Saya tidak terfikir begini.”

Ini merupakan respon terbaik bagi menilai samada idea kita itu boleh terjual atau tidak. Sebelum kita menulis, cuba kita bercerita idea itu kepada rakan kita dahulu.

Apabila kita ingin menerbitkan sendiri buku informasi, kita tidak bermain dengan idea yang selamat. Kita bermain dengan idea baru yang segar.

Idea selamat atau asas telah diterbitkan oleh penerbit besar.

Sekiranya bakal pembeli sudah dapat meneka keseluruhan idea hanya dengan melihat judul pada kaver buku kita, kita sudah kehilangan separuh pembeli yang berpotensi.

Secara umumnya ada dua golongan pembeli buku informasi:

Golongan pertama merupakan orang luar yang berada dalam bidang lain. Mereka ini mencari informasi luar bidang mereka bagi menambah pengetahuan atau ingin menukar selera.

Golongan kedua, orang yang berada dalam bidang tersebut. Mereka ini mencari-cari idea segar dan praktikal dalam bidang mereka. Selalunya individu begini dijadikan pakar rujuk dalam bidang tersebut oleh individu pertama.

Jadi jika kita menulis buku dengan idea selamat, kita hanya menarik minat golongan pembeli pertama.

Jika kita menulis dengan idea segar, kita dapat menarik golongan pembeli kedua. Malah mungkin golongan inilah yang akan mempromosi buku kita kepada golongan pertama.

Contoh:

Idea Selamat – Pengurusan Disiplin Sekolah.

Idea Segar – Pengurusan Disiplin dengan Teknik Nabi Muhammad.

Apabila kita menulis idea segar, buku kita itu tidak perlu bersaing dengan buku lain dalam kategorinya. Ia bakal mencari sendiri siapa pembelinya.

Apakah risikonya?

Bukan semua idea baru mendapat sambutan. Ia perlukan strategi promosi yang konsisten supaya ia terpahat dalam minda golongan pembeli kedua.

Yang penting, pastikan idea baru itu mendapat respon seperti pendahuluan yang saya tulis di atas.