“Berapa banyak saya perlu mencetak buku sekiranya saya ingin supply ke setiap kedai buku seluruh Malaysia?”

Soalan ini kami tanyakan kepada seorang pengedar buku.

Dia memberikan cadangan terbaik supaya penerbit buku atau penulis terbit sendiri tidak tercekik cashflow sekiranya buku tidak terjual.

Ada dua perkara yang wajib kita buat:

Pertama, sekiranya kita ingin beri kepada pengedar buku, jangan beri 1 judul buku sahaja.

Kita mesti ada lebih daripada 3 (jumlah paling kurang) judul buku.

Jika 1 judul sahaja, pengedar buku pun tidak mahu bertemu dengan kita. Buang masa mereka sahaja.

Kedua, hantar kaver dan sinopsis sahaja.

Pengedar buku hanya akan bawa katalog buku kita kepada kedai buku. Mereka tidak perlu bawa contoh buku.

Oleh itu kaver buku kita perlu cantik dan mencapai standard kedai buku.

Pengedar itu mencadangkan sebaiknya kaver buku itu kita tiru sahaja kaver buku luar negara dalam kategori yang sama.

Ini kerana kedai buku sudah biasa melihat kaver buku luar negara.

Tujuan kaver bagi situasi ini adalah memikat hati pekedai-pekedai buku.

Semakin banyak pekedai buku terpikat dengan kaver buku kita, semakin banyak buku yang mereka ingin tolong jualkan.

Cetak pada jumlah tempahan sahaja

Selepas tempahan dibuat, pengedar akan beritahu kita berapa jumlah buku yang mereka inginkan.

Pada saat itu barulah kita mencetak buku.

Mungkin jumlahnya sedikit, tetapi kita berjaya mengurangkan lambakan buku di dalam gudang atau rumah (bagi yang terbit sendiri) kita.

Kita bukan sahaja dapat menjimatkan RM10,000 bagi satu judul, bahkan lebih daripada itu!