“Bagaimana saya mahu jual buku saya ini?”

Ramai orang tulis dulu bukunya dan kemudian baru berfikir kepada siapa dia boleh menjual buku tersebut.

Atau lebih teruk lagi, dia tidak bertanya kepada siapa dia harus menjual, dia hanya bertanya, “Pengedar mana yang boleh jual buku saya ini?”

Pengedar buku tidak ingin jual buku yang penerbitnya sendiri tidak tahu bagaimana mahu jual.

TETAPI, jika sudah siap menulis dan terpaksa juga jual buku itu, maka caranya hanya satu:

CARI GORILA SAMPAI DAPAT!

Daniel J Simmons dan Christopher E. Chabris melakukan eksperimen ‘Selective Attention Test’.

Dalam eksperimen itu, mereka meminta sekumpulan pelajar menonton video dua tim sedang bermain melontar bola keranjang. Pelajar-pelajar itu diarahkan untuk mengira berapa jumlah lontaran yang dilakukan.

Di pertengahan video itu, seorang pelakon yang memakai kustom gorila berjalan di tengah-tengah permainan.

Apabila ditanya berapa jumlah lontaran, hampir kesemua pelajar dapat menjawab dengan tepat.

Tetapi apabila ditanya siapa yang nampak gorila dalam video itu, lebih 50% pelajar tidak menyedarinya langsung!

Hal yang sama berlaku dalam bisnes.

Univac antara pemain awal dalam pasaran komputer. Tetapi mereka percaya bahawa pasaran komputer adalah untuk para saintis.

Maka mereka membuat komputer yang sesuai untuk pasaran itu sahaja. Mereka terlepas peluang melihat Gorila sebenar dalam pasaran itu.

Gorila dalam pasaran komputer pada ketika itu adalah orang bisnes. Komputer untuk saintis tidak dapat dijual kepada orang bisnes.

Kerana itu kita hanya kenal IBM, tetapi tidak pernah dengar nama Univac.

Lain kategori lain gorila

Langkah mencari gorila ini memang payah.

Gorila untuk pasaran buku remaja berbeza dengan Gorila pasaran buku kanak-kanak.

Jika pensyarah itu sudah siap tulis tesis dan mahu jual, maka janganlah fokus kepada pasaran kedai buku.

Gorila buku akademik memang tiada di kedai buku.

Memang payahkan?

Tetapi siapa yang suruh tulis dulu sebelum buat survey!

.

Jika tidak jumpa juga Gorila itu, maka cara seterusnya adalah kita revamp manuskrip kita itu sesuai dengan kehendak pembaca yang kita jumpa sepanjang proses mencari Gorila.