Tersenyum melihat laporan rakan penyumbang di sekolahpenulisan (Ali Imran) ini apabila tulisan beliau tentang pelatih ’emas’ di Pizza Hut yang viral sehingga membawa kepada ganjaran yang besar kepada pelatih tersebut.

Screenshot from 2016 10 31 091119

Betapa karya beliau itu telah memberi ganjaran yang nyata kepada pelatih tersebut. Namun, kita percaya bahawa walaupun penulis di atas tidak dapat ganjaran wang ringgit, beliau pasti berasa seperti seorang pemenang.

Mengapa jadi begitu?

Kerana wang ringgit bukanlah satu-satunya ganjaran yang kita suka daripada hasil penulisan kita.

Biasa kita dengar ayat ini:

“Aku menulis bukan kerana nama”

Itu tanda penulis tersebut bukanlah mahu mengejar glamor dengan karya mereka. Mereka berkarya dengan ikhlas sebagai ekspresi diri ataupun demi memeriahkan industri.

Kita juga biasa dengar ayat ini:

“Saya menulis bukan kerana wang ringgit”

Itu tanda penulis tersebut menulis tanpa peduli ganjaran wang ringgit yang mereka akan terima. Namun tidak pula bermaksud hasil kerja mereka itu mereka tidak harapkan ganjaran.

Ganjaran yang sebenar yang penulis sentiasa nantikan adalah impak yang nyata daripada penulisan mereka. Impak pertama adalah karya mereka dibaca dan dikupas. Itu petanda karya yang telah berjaya memberi nilai kepada khalayak.

Impak yang kedua pula adalah karya mereka diraikan khalayak tadi. Mesej tersebut disebarkan kepada lebih ramai khalayak. Zaman kini, fenomena ini dipanggil ‘viral’. Biasa berlaku di sosial media.

Impak ketiga pula adalah karya tadi memberi manfaat kepada mereka yang memberi inspirasi karya tersebut dihasilkan. Apabila karya tersebut diraikan dan disebarkan khalayak, mesej karya tadi akan sampai kepada mereka yang lebih tepat untuk membantu dan memberi ganjaran kepada inpirasi karya tadi.

Tiga impak tersebut adalah ganjaran yang nyata yang memberi kepuasan kepada penulis yang menulis. Ganjaran tersebut lebih nyata dan pantas tiba dengan bantuan media sosial online yang mudah menyebarkan (viral) penulisan kita.