Bagaimana caranya menulis rencana menggunakan pendekatan allahyarham Dato’ Hasbullah Awang, pengulas sukan terbaik di negara kita?

Bunyinya aneh, kerana suara dan wajahnya lebih dikenali sebagai pengulas sukan, bukannya penulisan.

Tetapi, beliau mempunyai beberapa elemen yang dapat ditiru semula oleh penulis rencana akhbar dan majalah.

Elemen-elemen dalam ulasan sukan beliau dapat membantu bagi mencetuskan situasi tarik-menarik emosi antara pembaca dan penulis.

Kekuatan penyampaian beliau dapat diterjemahkan dalam tiga komponen iaitu:

  1. mengekalkan,
  2. menggerakkan dan
  3. mencipta kejutan ke atas pembaca.

Dalam tip ringkas ini, saya menggunakan perkataan Formula Hasbullah bagi memudahkan pembaca melihat bagaimana bakat ulasan beliau dapat dialihkan menjadi cara kerja penulisan rencana.

Formula Hasbullah #1: Mengekalkan

Kata kunci, alihkan.

Alihkan perhatian pembaca bagi mendapatkan tumpuan yang sebenar

Cuba kita analisa ulasan ini.

“Safiq membawa bola.. oh maafkan saya .. Safee Sali di situ.. Safiq diseberang sanaa menanti bola”

Safee Sali

Bermula dengan memberi satu informasi yang diterima penonton, kejutan diberikan dengan memberi maklumat sebaliknya.

Apabila dihasilkan dalam bentuk penulisan rencana, ia akan menjadi ayat berikut;

Rusia nampaknya bersedia memainkan peranan menjadi kuasa dunia melalui penstrukturan kuasa politiknya.

Tetapi nanti dahulu, kelihatan bekas kesatuan Soviet ini memberi peluang kepada China menggerakkan percaturan terlebih dahulu.

Formula Hasbullah #2: Menggerakkan

Kata kunci, analogi.

Gunakan analogi yang mempunyai visual mudah diingati.

Kita analisa ulasan beliau yang kedua;

“Rashid terbang bagaikan kupu-kupu…” ulasan beliau ketika Piala Thomas pada tahun 1992.

Penggunaan analogi bagi memberi ciri-ciri yang tepat kepada khalayak.

Kita menggunakan contoh dan perumpamaan dalam kerangka fikiran pembaca umum.

Apabila dihasilkan dalam bentuk rencana, kaedah ini dapat digunakan seperti ayat  berikut;

Hutang seperti kencing manis, lukanya sedikit, tetapi melarat.

Formula Hasbullah #3: Kejutan

Kata kunci, kejutan.

Kita analisa ulasan beliau yang ketiga

“Bola masuk saya rasa, oh tidak, tidak, tidak. Maafkan saya saudara.”

Kejutan dapat digunakan dalam penulisan rencana melalui kaedah mematahkan feel good pembaca terhadap topik. Pada peringkat awal, kita memberikan maklumat-maklumat yang menyokong emosi mereka.

Selepas itu diberikan satu maklumat baru yang menunjukkan ia belum selesai sepenuhnya.

Apabila dihasilkan dalam bentuk rencana, kaedah ini dapat digunakan seperti ayat  berikut;

Kita sudah mempunyai sepuluh kriteria pendidikan kelas dunia bagi mengatasi negara serantau. Itu melayakkan kita meraikan bersama. Tetapi, cerita ini belum lagi selesai.

Formula kesebelas kejayaan tidak lagi dipenuhi bagi mencapai kemenangan mutlak aras tinggi kualiti pendidikan negara.

Formula Hasbullah dalam penulisan rencana, mengekalkan, menggerakkan dan mencipta kejutan ke atas pembaca.

Kita tidak dapat mengekalkan legasi suara dan kata-kata spontan yang sama ke atas susuk tubuh orang lain.

Hari ini beliau dijemput kembali. Tetapi legasinya dapat dihidupkan melalui gaya penulisan rencana kita selepas ini.